Jumaat, 26 Februari 2010

Teliti sebelum ambil tindakan ke atas Ku Li

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - UMNO sedang meneliti keadaan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil ke atas Tengku Razaleigh Hamzah berhubung pendiriannya yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat berkaitan isu royalti minyak di Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau hairan mengapa Tengku Razaleigh masih terus dengan pendiriannya seolah-olah beliau seorang saja memperjuangkan nasib rakyat Kelantan manakala kerajaan dianggap tidak mempunyai pertimbangan.

''Kita sedang meneliti keadaan, semua orang tahu banyak kenyataan dan apa yang beliau lakukan, walaupun bersifat peribadi, ia agak tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan dan kepimpinan parti.

''Jadi, kita akan lihat perkembangan seterusnya, mungkin akhirnya beliau sedar bahawa ini bukan soal hendak menganiaya rakyat Kelantan, (sebaliknya) kita beri penjelasan atas perkara yang hak dan betul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Transformasi Politeknik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, rakyat Kelantan diharap dapat memahami apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah sama seperti yang dilakukan kepada Terengganu.

''Ia atas dasar pertimbangan dan kebijaksanaan Kerajaan Persekutuan, bukan soal royalti tapi ihsan bagi membantu," katanya.

Dalam hal ini, beliau mengulangi pendirian kerajaan bahawa jika Kelantan menganggap langkah memberikan wang ihsan bercanggah dengan undang-undang, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah.

''Bagaimanapun saya nampak seperti apa yang dikatakan oleh Datuk Mustapa Ali (Setiausaha Agung Pas) bahawa perkara (rujuk kepada mahkamah) itu tidak akan dilakukan.

''Mereka hendak politikkan suatu yang sudah jelas dari sudut undang-undang dan kita tidak membuat sesuatu yang bercanggah," katanya.

Katanya, tindakan parti-parti pembangkang yang mempolitikkan isu royalti bukan suatu cara yang baik.

''Rakyat Kelantan terutamanya di kalangan golongan profesional dan peguam boleh meneliti perkara itu.

''Saya telah banyak mendengar sendiri daripada golongan akademik menyatakan tindakan kerajaan adalah tidak salah dari segi undang-undang atau terdapat perkara yang kita selewengkan," katanya.

Tiada ulasan: