Sabtu, 27 Februari 2010

Kelantan sedia bincang lancar filem dakwah

Mohd Nor Yahya


KUBANG KERIAN: Sikap keterbukaan kerajaan Kelantan dalam aspek hiburan diteruskan lagi apabila bersetuju mengadakan perbincangan dengan mana-mana penerbit filem di negara ini bagi menjadikan negeri ini sebagai tapak pelancaran filem-filem yang berasaskan dakwah mahupun pengajaran.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kerajaan juga sedang mengkaji jenis filem yang akan dipilih untuk ditayangkan kepada masyarakat di negeri ini dan ia semestinya membawa unsur-unsur dakwah dan juga bermoral tinggi.

“Mungkin agak sukar untuk kita berbincang dengan penerbit filem di negara kita sekiranya filem yang mereka keluarkan hanya bermotifkan keuntungan, kerana kalau filem berunsurkan dakwah boleh dikatakan tidak semua remaja meminatinya dan itulah yang kita sedang mengkaji terlebih dahulu,” katanya lagi.

Beliau menyatakan demikian semasa ditemui di Majlis Jalinan Mesra Bersama Masyarakat Tionghua di Kampung Sungai Limbat dalam Dun Pasir Tumboh, semalam.

Sebanyak 30 keluarga masyarakat Tionghua mengadakan sesi dialog bersama wakil rakyat sempena Tahun Baru Cina. Ahmad Baihaki juga turut menyampaikan hamper kepada keluarga yang hadir. (gambar sebelah)

Sebelum ini Kelantan telah mengadakan hari hiburan Islam dengan menayangkan sebuah filem dari Indonesia ‘Ketika Cinta Bertasbih’ yang diadaptasikan daripada novel tulisan Habiburrahman El-Syirazi dan mendapat sambutan menggalakkan.

Ahmad Baihaki juga berkata, Kelantan dahulu lagi tidak menyekat hiburan tetapi terpaksa mengkaji dahulu jenis hiburan yang sesuai dengan kehendak Islam.

“Kita tidak mahu hiburan yang boleh melalaikan remaja di Kelantan dan sebab itulah kita mengambil langkah menutup panggung wayang dan kalau kita nak tayangkan pelbagai filem, ia boleh dibuat di dewan-dewan tertutup seperti di Balai Islam, Pusat Dagangan Kelantan( KTC) maupun di dewan Pusat Tarbiah PAS Kelantan(Putik),” ujarnya.

Tiada ulasan: