Khamis, 25 Februari 2010

Kedah rombak barisan Exco bulan depan

BERITA HARIAN ONLINE


ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sedia ada digugurkan bagi memberi peluang kepada muka baru, sempena istiadat angkat sumpah jawatan yang diadakan minggu depan.

Azizan berkata, beliau akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi memaklumkan baginda mengenai rombakan itu, selain memohon perkenan terhadap senarai barisan Exco baru kerajaan negeri, dalam tempoh terdekat.

"Istiadat mengangkat sumpah jawatan diadakan awal Mac ini dan saya akan menghadap Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan.

"Selain itu, berlaku perubahan terhadap portfolio anggota Exco selain ada muka baru yang akan dilantik," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Ditanya sama ada pengguguran beberapa Exco mempunyai kaitan dengan kegagalan atau kemerosotan prestasi mereka, Azizan berkata, ia langsung tidak ada kaitan.

"Biasalah, kita mahu memberi peluang kepada muka baru yang berkelayakan menggalas tanggungjawab sebagai anggota Exco. Selain itu, akan ada beberapa perubahan membabitkan bidang tugas mengikut kelayakan bersesuaian.

"Ia macam kedudukan perabot rumahlah, dulu sofa di depan, almari di tepi dan kita ubah kedudukannya.

"Ia hanya perubahan biasa dan kuota pembahagian jawatan mengikut parti komponen masih sama. Saya akan cuba menyusun barisan anggota Exco baru yang terbaik," katanya.

Ditanya siapa Exco yang kemungkinan dalam senarai yang digugurkan, Azizan berkata, masih terlalu awal untuk dimaklumkan dan beliau perlu menghadap Sultan terlebih dulu.

Ketika ini Kedah mempunyai 11 barisan Exco yang lapan daripadanya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas, manakala tiga lagi Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: