Jumaat, 26 Februari 2010

Bekas PM Kanada Desak Najib Gugur Kes Anwar

SABAH DAILY /suarakeadilan


Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kuncu-kuncu beliau di dalam Umno dan Barisan Nasional sibuk merancang pelbagai helah untuk menafikan Ketua Umum KEADILAN sebarang akses kepada keadilan berhubung perbicaraan “ala Gestapo” yang dihadapi beliau, kerisauan dan tekanan masyarakat antarabangsa semakin meningkat.

Terbaru bekas Perdana Menteri Kanada Paul Martin memberi amaran supaya kerajaan Najib mengugurkan tuduhan yang berunsur politik terhadap Datuk Seri Najib sekiranya Malaysia masih impikan untuk berada dikalangan negara-negara progresif dunia.

Dalam satu komentar beliau di dalam laman web akhbar “The Globe And Mail” Martin berkata Datuk Seri Anwar hendaklah dibenarkan bergerak bebas merealisasikan visi beliau terhadap Malaysia sebagai sebuah negara demokratik yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

“Kehadiran ramai perwakilan asing semasa perbicaraan Anwar adalah bukti amat jelas betapa prihatinnya masyarakat antarabangsa terhadap kes beliau.

“Ini adalah satu isu di mana seluruh dunia perlu bersuara lantang mengenainya,” kata bekas Perdana Menteri berusia 71 tahun itu.

Martin yang menerajui kerajaan Kanada dari 2003 hingga 2006 berkata beliau mengenali Datuk Seri Anwar sejak kedua-dua mereka menjadi Menteri Kewangan bagi negara masing-masing pada tahun 1990an.

“Anwar adalah seorang yang amat komited kepada demokrasi, keadilan dan negara hukum. Saya menyaksikan dengan penuh rasa takjub bagaimana beliau telah diperlakukan sebegini rupa hanya kerana komitmen beliau kepada prinsip-prinsip tersebut.

“Beliau kini dilihat sebagai ancaman kepada pegangan kuasa kerajaan yang memerintah pada pilihan raya akan datang – faktor utama yang mendalangi tuduhan terbaru terhadap beliau,” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu Martin bersependapat dengan Ahli Parlimen Australia Michael Danby bahawa seluruh institusi kehakiman Malaysia dimanipulasi demi menyingkirkan Datuk Seri Anwar daripada arena politik tanahair.

“Danby berkata pendokong demokrasi Asia terkejut besar melihat apa yang berlaku kepada Anwar dan seluruh rakyat Malaysia berserta masyarakat antarabangsa maklum bahawa Anwar tidak bersalah dalam kes ini,” kata Martin lagi.

Tiada ulasan: