Jumaat, 26 Februari 2010

7 Mac hari jatuh hukum untuk MP Nibong Tebal

KLPOS.COM

Nasib Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng bakal diketahui pada 7 Mac nanti setelah keputusan yang dinasihati Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) disahkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali berkata, Lembaga Disiplin mengadakan pertemuan dengan Tee Beng, semalam, untuk Ahli Parlimen itu menjawab pertuduhan ke atasnya.

“Keputusan muktamadnya 7 Mac nanti dan Lembaga Disiplin telah berjumpa dengan Tee Beng pagi tadi (semalam),” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, keputusan yang bakal dikenakan ke atas Tee Beng mungkin dicapai lebih awal.

“Ini berikutan malam nanti (malam semalam) ada mesyuarat mingguan Biro Politik yang diadakan setiap Rabu mungkin turut membincangkan hal tersebut dan apabila MPP sudah mengesahkannya keputusan itu mungkin diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya Lembaga Disiplin menangguhkan pertemuan Tee Beng menjawab pertuduhan, kelmarin.

Menurutnya, surat telah dihantar kepada Tee Beng pada pertengahan bulan ini dan beliau telah diberi pilihan tarikh untuk menjawab pertuduhan iaitu sama ada 23 Februari ataupun 6 Mac namun beliau tidak menjawab surat tersebut sehingga 22 Februari lalu.

“Tee Beng hanya memberitahu media yang beliau akan hadir 23 Februari tapi tidak memaklumkan kepada parti. Parti hantar melalui surat, jadi beliau harus jawab melalui surat bukannya media,” katanya kepada :Sinar Harian: semalam.

Tee Beng yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang dihadapkan ke Lembaga Disiplin setelah lantang mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain Tee Beng, turut dihadapkan ke Lembaga Disiplin itu ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang kini di luar negara berikutan laporan polis yang dibuat beliau terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Tiada ulasan: