Jumaat, 29 Januari 2010

'Semua askar AS pulang dari Iraq'

LAPORAN- AFP


WASHINGTON: Peperangan di Iraq akan tamat dan semua anggota tentera Amerika Syarikat akan pulang, kata Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, sambil terus berikrar untuk menyokong rakyat Iraq dalam perutusan 'State of the Union' secara langsung, kelmarin.

"Ketika terus menentang al-Qaeda, kita akan meninggalkan Iraq dengan secara bertanggungjawab kepada rakyatnya," kata Obama kepada ahli Kongres.

"Tetapi, perlu ditekankan bahawa peperangan ini akan tamat dan semua anggota tentera kita akan pulang," tambahnya, sambil diberi tepukan gemuruh anggota Kongres.

Beliau mengulangi ikrarnya bahawa semua anggota tentera Amerika akan meninggalkan Iraq menjelang penghujung Ogos depan, lebih tujuh tahun selepas serangan pada 2003 diketuai Amerika bertujuan menumbangkan pemimpin negara itu, Saddam Hussein.

"Kita akan sokong kerajaan Iraq ketika ia mengadakan pilihan raya dan terus membantu rakyatnya bagi membantu kemakmuran dan keamanan serantau," tambah Obama.

Presiden Amerika itu mengubah tumpuan tentera Amerika dari Iraq ke Afghanistan bagi menentang pergerakan Taliban dan menggempur militan al-Qaeda yang dipercayai bersembunyi di sepanjang sempadan dengan Pakistan.

Tentera Amerika ketika ini mempunyai 107,000 anggota di Iraq dan kira-kira 70,000 lagi di Afghanistan, dengan tambahan 30,000 dijangka tiba dalam tempoh beberapa bulan.

Askar Amerika keluar dari kawasan bandar dan kampung Iraq pada Jun tahun lalu di bawah perjanjian di antara Baghdad dan Washington.

"Pada masa ini, semua askar kita, di Iraq, Afghanistan dan di seluruh dunia mesti tahu bahawa kita menghargai, menyanjung serta menyokong mereka sepenuhnya."

Tiada ulasan: