Ahad, 31 Januari 2010

Muhyiddin lancar laman web rasmi My-Malaysia

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan laman web rasmi beliau My-Malaysia sebagai medium interaksi dua hala antara beliau dengan rakyat.

Ia boleh dilayari di www.my-malaysia.com.my yang turut memaparkan liputan berita dalam dan luar negara mengenai beliau, aktiviti kemasyarakatan dan politik, galeri video, koleksi ucapan dan pautan ke laman-laman web utama kerajaan.

''Hari ini, saya melancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi.

''Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita berikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu yang diadakan serentak dengan Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri di sini.

Pada majlis itu, beliau berdialog dengan lebih 1,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjelaskan pelbagai isu semasa termasuk penggunaan kalimah Allah dan kebebasan bersuara di Malaysia.

Muhyiddin berkata, langkah mewujudkan laman web itu adalah sebagai salah satu usaha beliau untuk mendekati anak-anak muda melalui media sosial.

Beliau berkata, anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang dikatakan lebih telus, dalam erti kata menjelaskan dan menjawab apa sahaja isu yang dibangkitkan.

''Dalam berinteraksi dengan anak-anak muda, kita tidak perlu menganggap bahawa teguran atau kritikan itu sebagai petanda mereka bersikap anti kerajaan sebaliknya kerana sayangkan negara.

''Kerajaan harus mendengar dan sekiranya teguran ini wajar, maka ambil langkah pembetulan dan kita tidak harus menjadi bebal dan enggan berubah untuk kebaikan.

''Saya juga ingin mengingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial secara berhemah. Perbezaan pendapat bukan lesen untuk seseorang itu memaki hamun dan mencerca orang lain,'' katanya.

Sementara itu, pada dialog berkenaan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sempat melontarkan beberapa idea baru yang diharapkan akan menjadi topik perbincangan dalam laman web beliau.

''Rakyat boleh memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.

''Orang ramai juga boleh memberi pendapat mengenai kemungkinan had usia kanak-kanak yang mendaftar ke darjah satu diturunkan kepada enam tahun berbanding tujuh tahun sekarang,'' ujarnya.

Tiada ulasan: