Ahad, 31 Januari 2010

Masa depan politik Liow dalam MCA berkubur?

BERNAMA



Harapan mengadakan pemilihan baru dalam MCA kini musnah setelah jawatankuasa pusat (CC) yang cukup berpengaruh memutuskan untuk tidak mengadakannya.

Kini berakhirlah teka-teki bagi mereka yang menaruh harapan tinggi untuk melalui jalan ini bagi menyelesaikan krisis kepimpinan dalam MCA.

Walaupun dari segi teknikal pemilihan baru masih boleh diadakan jika dua pertiga daripada CC meletak jawatan, sentimen untuk cara begini juga lenyap.

Alasannya mudah bila rancangan ini terbantut: tidak ramai anggota CC berminat untuk melepaskan jawatan masing-masing yang begitu penting.

Orang-orang dalaman parti percaya selama ini puak yang diketuai Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai tahu ia tidak akan mendapat banyak sokongan untuk memaksakan pemilihan baru, namun tetap meneruskan usaha untuk memberi gambaran seolah-olah ia mendapat sokongan luas akar umbi.

Petanda Liow tiada sokongan majoriti

Orang dalaman itu mengesani bahawa tanda pertama Liow dan 12 anggota lain CC tidak mendapat sokongan yang diperlukan ialah apabila mereka memutuskan mengubah Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA yang dipanggil oleh mereka pada 28 November tahun lalu kepada sesi taklimat.

Puak Liow mengisytiharkan mereka mempunyai lebih 1,300 perwakilan, tetapi siasatan oleh ibu pejabat parti mendapati hanya kira-kira 600 perwakilan pusat hadir, amat kurang dari satu-pertiga perwakilan yang diperlukan untuk meluluskan sebarang usul di EGM parti, kata orang dalaman itu.

MCA mempunyai kira-kira 2,400 perwakilan pusat dan satu pertiga bererti kira-kira 800 perwakilan.

Tanda kedua ialah bila puak itu bersetuju dengan pembentukan jawatankuasa pemilihan semula parti diketuai timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagi mengkaji kemungkinan mengadakan pemilihan baru.

"Dengan menyetujuinya, ini bererti anda sebenarnya tidak mempunyai bilangan yang cukup. Jika anda punya bilangan cukup, anda tidak akan bersetuju dengannya (jawatankuasa) dan tetap meneruskan EGM bagi membuka jalan mengadakan pemilihan baru dengan menerima beberapa usul tertentu," kata seorang daripada mereka.

Seorang daripada anggota CC yang enggan dinyatakan identitinya berkata semasa mesyuarat CC semalam, Liow terus berhujah bahawa parti itu perlu menetapkan tarikh bagi pemilihan baru.

Tetapi anggota-anggota lain CC menentang dengan mengatakan bahawa parti tidak dapat berbuat demikian kerana pencadang langkah itu tidak mendapat bilangan anggota yang cukup menyokongnya untuk berbuat begitu, dedah beliau.

"Hakikatnya ialah jawatankuasa pemilihan semula parti menyatakan tidak terdapat bilangan anggota CC yang cukup untuk meletak jawatan bagi membolehkan pemilihin baru," kata seorang lagi anggota CC.

Permainan angka MCA

Anggota CC ketiga, Eng Hiap Hon, berkata desakan untuk pemilihan baru telah berkurangan dengan puak Liow sewajarnya menerima keputusan jawatankuasa pemilihan semula yang dibentangkan pada mesyuarat hari ini bahawa korum tidak mencukupi untuk mengadakan pemilihan baru.

"Ini merupakan permainan angka. Jika anda tidak mempunyai angka, anda tidak boleh mendapatnya, itu sahaja."

Pandangannya dikongsi oleh seorang lagi anggota CC, Datuk Ti Lian Ker, yang berkata bahawa pemilihan baru bukan lagi satu isu kerana para penyokong tidak berupaya untuk mendapatkan sokongan.

"Isu itu sekarang telah ditutup. Kita tidak boleh membenarkan parti untuk berdiam diri sepanjang masa sebagai pra syarat bagi pemilihan baru dipenuhi. Parti perlu terus bergerak," katanya.

Seorang lagi anggota CC, Datuk Chong Itt Chew, mendakwa bahawa beliau mendapati terdapat "perpecahan" di kalangan kumpulan 13 anggota CC itu yang pada asalnya mahukan pemilihan baru memandangkan sebahagian daripada mereka membayangkan bahawa mereka mahu menarik balik surat perletakan jawatan tanpa tarikh yang dialamatkan sebelum itu kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Wong Foon Meng.

Beliau berkata perpecahan itu timbul apabila seorang anggota CC, yang sebelum itu membuat kenyataan mendesak pemilihan baru diadakan, untuk keluar dari mesyuarat CC hari ini tidak menerima sokongan padu kerana hanya tiga daripada 13 puak itu meninggalkan mesyuarat.

Anggota veteran parti Datuk Yap Pian Hon berkata beliau percaya ada kemungkinan bahawa Liow akhirnya akan kembali dan menyokong kepimpinan parti selepas usahanya gagal untuk mendesak bagi pemilihan baru.

"Saya lihat bagaimana beliau telah bergabung dengan Presiden (Datuk Seri Ong Tee Keat) apabila parti mengadakan dialog dengan Huazong (Persekutuan Persatuan Cina Malaysia) hari ini. Kedua-dua mereka berjabat tangan," katanya.

Yap berkata Ong selama ini berkata "pintunya sentiasa terbuka buat Liow".

Bagi kebanyakan pemimpin parti dan penganalisis politik, hasil yang paling signifikan daripada mesyuarat CC bukanlah semata-mata keputusan parti untuk tidak mengadakan pemilihan baru tetapi mengenai pelantikan setiausaha penganjur kebangsaan yang baru Simon Lim, yang juga setiausaha politik kepada Menteri Pengangkutan Ong dan Tee Siew Keong, bekas setiausaha politik Dr Chua sebagai timbalan setiausaha penganjur.

"Mesejnya amat jelas bahawa Ong mahu pemilihan presiden diadakan secara terus dan membuat perubahan yang perlu kepada perlembagaan parti.

Beliau meletakkan orang yang boleh dipercayainya memegang jawatan-jawatan utama bagi membolehkan cadangannya dilaksanakan. Kita boleh menjangkakan bahawa pemilihan parti tahun depan akan diadakan berdasarkan sistem baru ini," katanya.


Tiada ulasan: