Jumaat, 29 Januari 2010

Habatussauda bantu rawat penyakit Alzheimer


DR. Maznah Ismail menunjukkan produk fraksi kaya timokuinon daripada habatussauda di Institut Biosains, UPM, Serdang, semalam.

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan makanan tambahan berasaskan habatussauda yang boleh bertindak sebagai ejen membantu merawat penyakit Alzheimer dan berkaitan kardiovaskular.

Ketua Laboratori Bioubatan Molekul institut tersebut, Prof. Dr. Maznah Ismail berkata, makanan tambahan fraksi kaya timokuinon (TQRF) itu diekstrak daripada habatussauda atau jintan hitam yang banyak digunakan dalam perubatan zaman silam di rantau Asia Barat.

"Habatussauda dipilih sebagai bahan asas terhadap produk TQRF kerana ia mempunyai banyak kebaikan dan khasiat untuk kesihatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Alzheimer merupakan penyakit berkaitan daya ingatan, manakala penyakit kardiovaskular berkaitan dengan tahap kesihatan jantung, darah tinggi dan tahap kolesterol dalam darah.

Dr. Maznah berkata, habatussauda dari Yaman, Iran dan Sudan dipilih kerana mempunyai kualiti yang tinggi dan boleh menghasilkan minyak TQ sehingga 40 peratus lebih tinggi berbanding daripada dari India dan Sri Lanka.

Katanya, kelebihan produk TQRF juga ialah ia mempunyai antioksida yang tinggi iaitu berpotensi mengurangkan penyakit kardiovaskular dan mempunyai kesan perlindungan terhadap ketoksikan protein amiliod beta yang menjadi penyebab utama penyakit Alzheimer.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Dr. Abu Bakar Salleh berkata, teknologi supercritical fluid exraction (SFE) yang digunakan dalam kajian itu masih di peringkat prakomersial dan perlu menjalani kajian klinikal ke atas manusia sebelum boleh dikomersialkan sepenuhnya.

"Sudah ada syarikat yang berminat untuk membeli produk dan teknologi yang kami gunakan namun semuanya masih dalam proses perbincangan.

"Peluang masih terbuka kepada syarikat lain yang berminat untuk mengkomersialkan produk ini ke peringkat antarabangsa dan dihasilkan dalam bentuk minyak, emulsi dan gel lembut," jelasnya.

Tiada ulasan: