Selasa, 29 Disember 2009

Tun Mahathir persoal keputusan ganti jet MiG-29

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan adakah kepentingan orang tengah mempengaruhi keputusan mengisytiharkan jet pejuang MiG-29 Tentera Udara Di-Raja Malaysia tidak dapat digunakan.

"Penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta) kepada orang tengah.

"Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk beli yang baru?" beliau mempertikaikan.

Beliau juga mempersoalkan, dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk pesawat ganti?

"Jika kita beli ganti lagi ratusan juta diperlukan," katanya

Dr Mahathir percaya, ada cara untuk membaikpulih pesawat pejuang dan pesawat lain.

"Tak bolehkah kita baikpulih MiG-29 ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh.

"Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan juta hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang," kata beliau dalam blognya.

Beliau mengingatkan, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah daripada buatan Amerika, tetapi wang yang banyak terpaksa dibelanja juga ratusan juta ringgit akan hilang jika pesawat yang ada diisytiharkan tidak boleh digunakan lagi.

Beliau membangkitkan, banyak negara-negara lain, termasuk India, menggunakan pesawat ini.

"Apakah mereka juga tidak dapat guna MiG-29 mereka lebih daripada 20 tahun?

"Apakah mereka sudah kondem pesawat MiG mereka seawal ini?"

Beliau juga mengingatkan, walaupun pesawat Amerika kononnya tahan lebih lama, tetapi apabila wang untuk membeli MiG-29 digunakan untuk membeli pesawat F/A-18, "akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh Amerika Ayarikat".

"Mereka tidak beri "source code" yang mana ini menghadkan kegunaan F/A-18 untuk pameran sahaja," katanya.

Dr Mahathir berharap, kerajaan membatalkan keputusan untuk mengisytiharkan MiG-29 tidak boleh digunakan dan pesawat sedia ada dibaikpulih.

Tiada ulasan: