Khamis, 31 Disember 2009

Pengerusi Hindraf fail saman RM100 juta

BERNAMA


Pengerusi Hindraf hari ini mengemukakan saman RM100 juta terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, enam media tempatan dan tiga yang lain atas dakwaan menyiarkan artikel yang memfitnahnya serta pertubuhan itu, beberapa bulan lalu.

p waytha moorthyP Waytha Moorthy memfailkan saman dan pernyataan tuntutan itu melalui peguamnya P.Uthayakumar di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur jam 9 pagi ini.

Dalam saman itu, Waytha Moorthy, selaku plaintif, menamakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Prof Dr P.Ramasamy, ADUN Perak A.Sivanesan, pemimpin DAP V Ganabatirau dan penolong penguatkuasa polis ASP K.Vasantha Kumar sebagai defendan pertama hingga keempat.

Enam media yang turut disaman ialah Makkal Osai Sdn Bhd, Tamil Nesan Sdn Bhd, Malaysian Nanban Sdn Bhd, Malaysiakini.Com Sdn Bhd, The Malaysian Insider Sdn Bhd dan Star Publications Berhad yang dinamakan sebagai defendan kelima hingga ke-10.

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa defendan pertama telah menulis dan menyiarkan artikel palsu yang berunsur fitnah mengenainya dalam akhbar Makkal Osai bertarikh 11 Ogos lepas bertajuk "Di mana wang RM700,000 yang telah dikutip, tunjukkan akaunnya, Dr Ramasamy mencabar Waytha Moorthy."

Plaintif juga mendakwa defendan kedua, ketiga dan keempat memfitnahnya melalui beberapa artikel yang disiarkan dalam akhbar Makkal Osai, The Star, Malaysia Nanban, Tamil Nesan serta akhbar portal The Malaysian Insider dan Malaysiakini pada Julai dan Ogos lepas.

Plaintif mendakwa defendan pertama, kedua, ketiga dan keempat telah menggunakan defendan kelima hingga ke-10 untuk memfitnah dan mencemarkan nama baiknya sebagai pengerusi Hindraf.

"Perkataan fitnah itu membawa erti bahawa plaintif adalah seorang pemimpin Hindraf yang tidak berwibawa dan telah menipu wang masyarakat India di Malaysia untuk tujuan memfailkan guaman sivil terhadap kerajaan British di London.

"Akibat penulisan, percetakan, penerbitan dan pengedaran perkataan itu oleh defendan, plaintif telah dimalukan dengan teruk dan mengakibatkan beliau dicemuh dan dibenci," kata plaintif dalam tuntutannya.

Plaintif menuntut ganti rugi fitnah sebanyak RM10 juta daripada setiap defendan, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi daripada mahkamah bagi menghalang kesemua defendan daripada terus menerbitkan apa-apa artikel fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon beberapa lagi perintah mahkamah, antaranya injunksi bagi menghalang defendan pertama, kedua, ketiga dan keempat daripada membuat sebarang
kenyataan akhbar berkenaan Hindraf.

Tiada ulasan: