Sabtu, 26 Disember 2009

Najib kecewa YB tak datang sidang Dewan

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Zanariah Abd Mutalib


COPENHAGEN: Datuk Seri Najib Razak kesal dengan ketidakhadiran ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu, bagi meluluskan Bajet 2010 sehingga memungkinkan belanjawan negara tidak diluluskan.

Kegagalan meluluskan Bajet 2010 itu mungkin menyebabkan Parlimen dibubarkan dan BN terpaksa menghadapi pilihan raya untuk membentuk semula kerajaan.

Sambil menegaskan beliau memandang serius perkara itu, Perdana Menteri berkata arahan sudah diberikan supaya semua Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen hadir persidangan dewan.

"Ia tidak sepatutnya berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil. Saya sudah dapat senarai mereka yang tak hadir dan kita akan menyusulinya dengan tindakan sewajarnya.

"Sekurang-kurangnya kita kena buat satu perjumpaan untuk mengingatkan tanggungjawab mereka untuk hadir pada persidangan Parlimen," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini malam kelmarin.

Perdana Menteri diminta mengulas kejadian Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi menerusi undi belah bahagian, iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.

Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada 11.15 malam itu.

Seramai 74 Ahli Parlimen BN tidak hadir ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan. Kehadiran Ahli Parlimen BN hanya 48 peratus, iaitu 66 daripada 137 anggota berbanding 77 peratus pembangkang, iaitu 63 daripada 82 anggota.

Mengikut konvensyen yang diamalkan di negara lain, termasuk negara Komanwel, Parlimen akan dibubarkan dan Perdana Menteri digantikan jika bajet nasional tidak diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, baru-baru ini berkata apabila pembentangan bajet tidak diambil serius oleh Ahli Parlimen, terutama penyokong kerajaan, maka kerajaan terpaksa membubarkan Parlimen untuk menghadapi pilihan raya sekali lagi.

Katanya, apabila Bajet 2010 gagal diluluskan, bermakna tahun depan tiada perbelanjaan dan ia menyukarkan kerajaan beroperasi.

"Secara konvensyen apabila itu berlaku (kerajaan kalah dalam undi), ia seperti undi tidak percaya (terhadap kerajaan yang memerintah) dan terpaksa bubar dewan," katanya.

Di KUALA LUMPUR, beberapa pihak berpendapat Perdana Menteri wajar mengambil tindakan terhadap Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sengaja tidak hadir pada persidangan Isnin lalu.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata sebarang urusan dalam Dewan tidak boleh dipandang mudah oleh Ahli Parlimen BN kerana ia bukti sokongan mereka terhadap agenda kerajaan termasuk bajet yang amat penting kepada negara.

"Saya hairan ramai yang tidak ada kerana menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk berada dalam dewan walau selewat mana pun persidangan tamat. Tidak adil jika mereka sengaja tidak hadir, kecuali yang mempunyai urusan rasmi," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany berkata, sebarang tindakan susulan yang akan diambil Perdana Menteri harus dihormati bagi memastikan kejadian itu tidak berulang, sekali gus dapat memperkasa institusi wakil rakyat..

"Ada sesetengah Ahli Parlimen mempunyai sebab wajar tapi kita serahkan kepada Perdana Menteri membuat tindakan yang sepatutnya termasuk mengadakan perbincangan," katanya yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, kejadian itu harus dijadikan iktibar untuk semua Ahli Parlimen BN.

"Kita akur kepada sebarang keputusan Perdana Menteri kerana jika kejadian Isnin lalu berulang, ia akan membawa padah," katanya.

Tiada ulasan: