Isnin, 28 Disember 2009

Lagu P. Ramlee popular di Kanada

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Siapa sangka, lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tidak hanya kerap berkumandang di corong-corong radio di negara ini tetapi turut mendapat perhatian stesen Radio Kampung Ku di Kanada.

Boleh dikatakan setiap kali program Radio Kampung Ku yang disiarkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di seluruh Kanada, lagu P. Ramlee menjadi permintaan ramai komuniti Melayu di negara tersebut.

Radio Kampung Ku disiarkan seminggu sekali di Toronto pada setiap hari Ahad (6.00 hingga 8.00 pagi), Vancouver (7.00 hingga 8.00 pagi) dan Calgary (8.00 hingga 9.00 pagi).

Lebih menarik, radio Kampung Ku itu dikendalikan oleh rakyat negara ini dikenali sebagai R. Malavzhi berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dia yang telah mendirikan rumah tangga dengan rakyat Kanada, David Lear, 48, ialah tenaga kerja utama yang mengendalikan program Radio Kampung Ku.

David Lear yang lebih dikenali sebagai 'Encik Daud' di kalangan pendengar berkata, lagu P. Ramlee memang menjadi lagu wajib yang sering disiarkan.

''Selain lagu P. Ramlee, lagu-lagu nyanyian Alleycats, Ziana Zain, Awie, Sudirman, Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris juga kerap diminta oleh pendengar masyarakat Melayu di Kanada," katanya.

Dia ditemui ketika menghadiri majlis sambutan Hari Natal wartawan akhbar New Straits Times, Jason Gerald di Ayer Keroh di sini kelmarin.

David yang juga Pengarah Perhubungan Awam Radio Kampung Ku dan petah berbahasa Melayu berkata, siaran radio khusus dalam bahasa Melayu itu tidak hanya boleh didengar di seluruh Kanada tetapi juga di Amerika Syarikat (AS).

''Isteri saya menjadi deejay dan dia bercakap dalam bahasa Melayu. Selain membaca berita apa yang berlaku di Malaysia, turut diselitkan temu bual dengan para pendengar.

''Program ini mendapat sambutan yang baik di kalangan kira-kira 3,000 komuniti Melayu di Toronto. Program ini juga diharap dapat merapatkan silaturrahim di kalangan orang Melayu dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya yang bercuti selama dua minggu di Malaysia.

Ujarnya, bahan-bahan berita yang disiarkan diperoleh daripada sumber-sumber tertentu iaitu menerusi laman web dan rakan-rakan yang berada di Malaysia.

Selain itu, katanya, Radio Kampung Ku pernah menemu ramah bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

''Saya sendiri tidak sangka Radio Kampung Ku, satu-satunya program yang ke udara dalam bahasa Melayu di Kanada mendapat sambutan yang begitu menggalakkan," katanya.

Tiada ulasan: