Isnin, 28 Disember 2009

Ean Yong terkejut sikap ketua polis S'gor

MALAYSIA KINI


Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah melahirkan rasa terkejutnya terhadap polis Selangor yang mendakwa beliau mengarahkan polis menghentikan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Dalam ucapan tersebut, Guan Eng meluahkan pendapat bahawa Teoh Beng Hock dibunuh dan ucapan tersebut dianggap sebagai cuba menghasut dan mempengaruhi orang awam oleh pihak polis," katanya hari ini.

"Sebenarnya (dalam) kenyataan di Malaysiakini, saya hanya menyeru kepada pihak polis supaya menghentikan siasatan ke atas Guan Eng dengan serta-merta, kerana rakyat ingin polis menyiasat kisah sebenar kematian Teoh."

Bekas ketua Teoh itu, yang mati dalam keadaan kontroversi Julai lalu sewaktu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar seperti dilaporkan media hari ini.

Ean Yong menambah, beliau sedia disiasat polis berhubung kenyataannya itu.

"Jika polis mendapati saranan (saya) sebegini keterlaluan, mereka boleh membuat keputusan dengan sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya ingin menegaskan bahawa walaupun saya merupakan seorang ahli exco, tetapi saya langsung tiada sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak polis untuk membuat sesuatu. Hanya menteri dalam negeri atau perdana menteri mempunyai kuasa tersebut."

Tiada ulasan: