Isnin, 28 Disember 2009

2 klinik swasta terbabit jual bayi

Sedia khidmat kelahiran, keluarkan dokumen sebelum diserah kepada keluarga angkat

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


SERI KEMBANGAN: Polis mengenal pasti dua klinik swasta dipercayai terbabit dalam sindiket penjualan bayi yang ditumpaskan dalam Ops Kasih di sekitar Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata kedua-dua klinik yang beroperasi di Selayang dan Klang itu dipercayai terbabit dalam menyediakan perkhidmatan kelahiran dan proses mengeluarkan dokumen.

"Setakat ini, kita telah kenal pasti dua klinik itu dan kita akan mengambil keterangan doktor serta pegawai mereka dalam waktu terdekat.

"Kita percaya klinik berkenaan terbabit dengan proses mengeluarkan dokumen bayi sebelum diserahkan kepada ibu dan bapa angkat mereka," katanya pada Hari Mesra Bersama Masyarakat Dengan Polis di sini, semalam.

Pada majlis itu, pihaknya menerima sebanyak lima motosikal yang disumbangkan oleh mySAFEBOX Sdn Bhd kepada Balai Polis Seri Kembangan untuk kemudahan rondaan.

Pada 14 Disember lalu, polis Selangor menumpaskan sindiket penjualan bayi selepas menahan sembilan ejen termasuk dalang dan empat pembeli di sekitar Banting, Klang dan Kajang.

Polis turut menyelamatkan lima bayi berusia lingkungan dua minggu hingga sembilan bulan serta seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Dua wanita warga Indonesia yang sarat mengandung serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah turut diselamatkan dalam operasi itu.

Susulan penahanan itu, seorang ejen insurans dan dua anak perempuannya dipercayai terbabit dalam sindiket penjualan bayi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan memperdagangkan tiga bayi berusia sehari pada 15 Disember lalu.

Ditanya mengenai penafian pihak Hospital Metro Maternity di Jalan Pasar, Klang berhubung pembabitan mereka dalam sindiket penjualan bayi itu, Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan: