Jumaat, 27 November 2009

Sesi penerangan ganti EGM ke-2

Oleh Norliza Wasilan dan S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) ke-2 MCA yang dijadualkan, Sabtu ini dibatalkan dan digantikan dengan sesi penerangan bersama lebih 1,300 perwakilan.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar pandangan akar umbi khususnya Jawatankuasa Memulihkan Integriti MCA (Jamin) yang mahu ia dibatalkan sebagai sebahagian usaha memulihkan krisis dalaman parti.

Berikutan itu, Liow juga percaya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA yang dijadualkan 5 Disember ini ditunda bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

“Kami melihat pembatalan EGM ini sebagai tanda hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melihat krisis kepemimpinan parti selesai segera.

“Kami amat menghormati dan menghargai sumbangan serta komitmen Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang mahu melihat kestabilan dalam MCA bagi mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada parti itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Berikutan keputusan itu, Liow berkata, sesi penerangan khas untuk perwakilan akan diadakan di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, jam 10.30 pagi esok.

Turut hadir sidang media itu ialah Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun; Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, Datuk Wee Jeck Seng, Datuk Liew Yuen Keong dan Wong Nai Chee.

Mengulas mengenai sesi penerangan itu, Liow berkata, ia bertujuan untuk memberi taklimat mengenai perkembangan terkini krisis kepemimpinan parti, selain berbincang mengenai tarikh sesuai untuk mengadakan pemilihan baru MCA.

“Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan (Timbalannya) Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, minggu lalu turut bersetuju bahawa pemilihan baru parti adalah jalan penyelesaian terbaik untuk memulihkan MCA,” katanya.

Tiada ulasan: