Sabtu, 28 November 2009

Parti Politik Digesa Tidak Halang Media Membuat Liputan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pusat bagi Kewartawanan Bebas (CIJ) semalam menggesa parti-parti politik tidak menghalang manamana organisasi media daripada membuat sebarang liputan majlis.

Pengarah Eksekutifnya V.Gayathry berkata persatuan itu tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Selangor pimpinan pakatan pembangkang yang tidak membenarkan Utusan Malaysia daripada membuat liputan sidang media yang diadakan. "CIJ percaya pengamal media adalah profesional, tanpa mengira parti politik mana yang menjadi gabungan media itu, mereka seharusnya dibenarkan membuat liputan majlis yang dianjurkan oleh kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Rabu lepas, wartawan Utusan Malaysia Abdul Yazid Alias mendakwa beliau telah dihalang menghadiri sidang akhbar Setiausaha Persatuan Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Selangor (Selproa), Ng Yap Hwa.

Gayathry berkata CIJ selain daripada menekankan perlunya pihak media dibenarkan membuat liputan sebarang majlis dan isu-isu yang menarik perhatian orang ramai, pihak media juga perlu memberikan liputan yang adil.

Katanya CIJ turut menegaskan apaapa bentuk halangan terhadap mana-mana organisasi media daripada membuat sebarang liputan adalah tidak boleh diterima. "Oleh itu, kepentingan awam hanya boleh dipenuhi jika media dibenarkan untuk melakukan tugas mereka berdasarkan prinsip-prinsip keadilan dan objektif. "CIJ inginkan masyarakat yang demokratik, bebas di mana rakyat menikmati kebebasan media dan kebebasan untuk mendedahkan, mencari dan menyampaikan maklumat," katanya.

Tiada ulasan: