Jumaat, 27 November 2009

Mahu calon ada latar belakang agama

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Pemimpin Pas Kelantan menyifatkan sesiapa saja yang dilantik menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat apabila Menteri Besar Kelantan itu berundur kelak, perlu mempunyai latar belakang agama yang kuat, selaras dasar Islam dilaksanakan parti itu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, dilihat sebagai orang paling layak mengambil alih tempat Nik Aziz apabila tiba masanya memandangkan beliau seorang ulama serta tidak terbabit dalam kontroversi.

Namun, Ahmad sebaliknya berkata, sesiapa saja dalam kepemimpinan Kerajaan Kelantan ketika ini yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah, layak diangkat sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, berkata Pas Kelantan tidak terdesak membincangkan perkara itu secara terbuka, sebaliknya menyerahkan kepada kepemimpinan negeri atau Nik Aziz sendiri membuat keputusan.

“Saya minta semua pihak (dalam Pas Kelantan) memberi tumpuan terhadap tugas masing-masing kerana ia adalah amanah dan bukan perkara main-main,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Kelmarin, Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang selama ini dikatakan calon paling sesuai menggantikan Nik Aziz mengumumkan beliau bukan calon yang layak memegang jawatan itu.

Beliau sebaliknya menamakan Ahmad sebagai pemimpin paling layak mengambil alih jawatan itu.

Tiada ulasan: