Isnin, 30 November 2009

KPDNKK tubuh skuad pantau peniaga naikkan harga

BERITA HARIAN ONLINE


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperkenalkan empat langkah utama bagi membendung kegiatan peniaga menaikkan harga sewenang-wenangnya sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2009 yang bermula esok.

Ketua KPDNKK Cawangan Langkawi, Azmi Dan, berkata antara langkah terbabit ialah mengarahkan pegawai penguat kuasa mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Langkah lain ialah mewujudkan bilik gerakan untuk membolehkan orang ramai membuat aduan, menghantar pegawai penguat kuasa tambahan serta mengarahkan peniaga supaya akur kepada Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan peniaga mengambil kesempatan dengan kehadiran puluhan ribu pengunjung Lima 2009 yang mula masuk ke pulau bebas cukai itu.

Azmi berkata, pihaknya mengadakan operasi terhadap semua kedai, restoran dan hotel serta chalet bagi mendapatkan senarai caj perkhidmatan dan harga makanan yang ditawarkan kepada pengguna.

"Senarai harga yang kita dapatkan dari peniaga dan pemilik hotel sebelum ini akan digunapakai untuk membuat perbandingan dengan harga yang ditawarkan kepada pengguna sepanjang berlangsungnya Lima 2009.

"Jika ada perbezaan harga atau caj perkhidmatan yang dikenakan, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebuah bilik gerakan bersepadu dibuka di pejabat KPDNKK di Kuah antara 8 pagi dan 10 malam setiap hari mulai hari ini bagi membolehkan orang ramai membuat aduan mengenai kenaikan harga barangan ataupun perkhidmatan.

Tiada ulasan: