Isnin, 30 November 2009

Isu MCA dilapor kepada PM esok

BERNAMA


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh pemimpin MCA bagi mengatasi masalah dalaman parti itu akan dikemukakan kepada perdana menteri esok.

Timbalan perdana menteri berkata beliau juga akan melaporkan kepada Datuk Seri Najib Razak sebaik kembalinya beliau ke tanah air esok mengenai hasil yang dicapai dalam perbincangan antaranya (Muhyiddin) dengan pemimpin MCA dalam usaha mencari jalan kepada krisis parti itu.

"Sebahagian besarnya syor (diterima). Tetapi apa pun pun keputusan muktamad kita akan umumkan selepas perdana menteri meneliti pelan itu dan nanti akan diumumkan apakah hasil itu," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perkembangan terbaru usaha menyelesaikan krisis parti itu berikutan pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin MCA semalam.

Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata beliau telah berjumpa dan berbincang dengan ketiga-tiga kumpulan pemimpin MCA yang berbalah itu dan mereka telah mengemukakan beberapa syor bagi penyelesaian kepada krisis parti itu.

"Saya lihat ada komitmen (ketiga-tiga kumpulan pemimpin MCA ini) umumnya, daripada hampir semua pemimpin yang saya temui untuk mencari jalan menyelesaikan kemelut politik MCA," katanya yang ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam beberapa pemimpin penting parti MCA mengadakan perjumpaan dengan Muhyiddin, yang diberi mandat oleh Najib sebagai pengerusi BN untuk menangani masalah MCA, dengan melaksanakan langkah-langkah proaktif secepat mungkin sebelum krisis itu berlarutan dan menjadi lebih buruk.

Muhyddin pada Isnin lepas berkata beliau memberi tempoh selama seminggu kepada dirinya sendiri untuk mencari jalan penyelesaian terhadap krisis kepimpinan MCA, dan satu formula akan dirangka dalam tempoh tersebut bagi mendapatkan kata sepakat di kalangan pemimpin parti yang sedang bertelagah itu.

MCA terjerumus dalam krisis kepimpinan selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) 10 Okt lepas yang menyaksikan timbulnya kumpulan-kumpulan yang menyokong Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan kumpulan yang menyokong Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, selepas Ong dan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berdamai.

Keadaan menjadi bertambah gawat apabila Ong memecat Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong daripada menganggotai Majlis Presiden selepas kedua-dua mereka mendakwa presiden parti menyalahguna kuasa.

Kumpulan penyokong Liow dalam pertemuan semalam pula meluluskan satu deklarasi 1128 yang menuntut supaya MCA mengadakan pemilihan baru peringkat jawatankuasa pusat (CC) dalam tempoh 60 hari, namun ia ditolak oleh Ong dengan alasan sebarang keputusan yang dibuat perlu mendapat sokongan majoriti anggota CC.

Tiada ulasan: