Ahad, 29 November 2009

Bekas Peninju Terengganu Ditemui Mati Dalam Kereta

BERNAMA


BESUT: Mayat seorang lelaki yang juga bekas peninju Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) ditemui di dalam sebuah kereta di tepi jalan utama Jertih-Kota Baharu dekat Kampung Padang Landak di sini, kira-kira pukul 8 malam semalam.

Salleh Awang, 46, berasal dari Kampung Simpang Tiga Che Mohid, Guntung Dalam, Setiu pernah mewakili Terengganu dalam beberapa kejohanan tinju kebangsaan anjuran Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), kini bekerja sendiri dengan membawa kereta sewa di bandar Jertih.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata Salleh dilihat memberhentikan keretanya oleh orang ramai di kawasan itu kira-kira pukul 5 petang semalam.

Menurutnya pada masa itu, orang yang lalu lalang di situ tidak mengesyaki apaapa kerana menyangka beliau hanya tidur dan berhenti berehat.

"Bagaimanapun, seorang penduduk yang melintasi keretanya kirakira pukul 7 petang mula mengesyaki sesuatu apabila melihat mangsa terbaring di dalam keretanya tanpa bergerak lalu melaporkan kepada polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemeriksaan awal polis mendapati mangsa telah meninggal dunia beberapa jam sebelum itu, dipercayai kerana sesak nafas dan masalah jantung.

Mayat Salleh kemudiannya dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat kira-kira pukul 10 malam.

Sementara itu, Naib Presiden PTAT, Kamarulzaman Ideris yang dihubungi berkata Salleh merupakan peninju harapan persatuannya pada tahun 1990an dan pernah memenangi pingat emas dalam kejohanan yang disertainya.

Kamarulzaman berkata allahyarham merupakan peninju tidak mudah mengalah dan digeruni pihak lawan kerana mempunyai tenaga dan tumbukan padu untuk kategori 55 kilogram.

Tiada ulasan: