Sabtu, 28 November 2009

Agong jalani pembedahan di Jerman

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin akan berangkat ke Munich, Jerman bagi menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar, Munich Isnin ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini, keberangkatan Seri Paduka turut diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah serta dua anakandanya.

Turut sama mengiringi Tuanku Mizan ialah dua pakar perubatan iaitu Pakar Ortopedik Kanan Hospital Selayang, Dr. Ramli Baba dan Pakar Ortopedik Hospital Besar Kuala Lumpur, Dr. Mohd. Asri Ghapar.

Pembedahan itu akan dilakukan oleh sekumpulan pakar perubatan pusat tersebut yang diketuai oleh Profesor Andreas B. Imhoff.

Kenyataan itu turut memberitahu, Tuanku Mizan dijangka menjalani rawatan pemulihan selama seminggu di sana setelah menjalani pembedahan.

''Seri Paduka juga meminta seluruh rakyat agar tidak merasa gusar dan mendoakan pembedahan tersebut berjalan lancar serta sentiasa dipelihara oleh Allah SWT agar segera pulih bagi menjalankan tugas seperti biasa,'' kata kenyataan tersebut.

Tiada ulasan: