Isnin, 30 November 2009

Chin Peng Harap Temui Najib Di Selatan Thailand

Oleh D. ARUL RAJOO


HATYAI: Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (CPM) Chin Peng berkata beliau tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi sebaliknya menggunakan saluran sesuai untuk menyampaikan hasratnya kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membenarkannya kembali ke Malaysia.

Jika boleh, beliau melahirkan hasrat untuk dapat bertemu Najib apabila Perdana Menteri itu melawat selatan Thailand yang dijadual pada minggu kedua bulan depan.

Mengenai kenyataan bekas Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Norian Mai bahawa Chin Peng telah menunggu begitu lama dan kini sudah terlambat baginya untuk pulang, bekas gerila itu berkata beliau tidak mahu berbalah dengan Norian, yang merupakan salah seorang perunding utama semasa perbincangan antara CPM dengan kerajaan Malaysia.

"...tetapi pada hakikatnya, saya pergi ke sebuah tempat yang dipilih untuk menemui wakil kerajaan, saya tidak ingat tempat sebenarnya, tetapi berhampiran dengan Hatyai. Tetapi saya tidak dapat menemui mereka, kemudian ada orang beritahu saya untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat...akhirnya juga saya tidak dapat jumpa mereka dan ini sebagai satu misteri kepada saya sehingga sekarang," katanya.

Chin Peng berkata apa yang beliau mahukan ialah untuk kembali ke Malaysia menemui keluarganya dan memberikan penghormatan kepada nenek moyangnya di Sitiawan, Perak.

"Saya sudah tua, berusia 85 tahun. Sebagai orang tua, saya harap dapat melihat keluarga saya dan memberikan penghormatan kepada nenek moyang saya. Ini peluang akhir saya untuk pulang ke tanah air. Kepulangan saya bukan untuk menimbulkan kekacauan," katanya dalam temubual di Lee Gardens Hotel di sini di mana beliau mengetuai kepimpinan CPM ke perjanjian menandatangani berakhirnya pemberontakan bersenjata komunis pada 2 Disember, 1989.

Chin Peng mempunyai seorang anak lelaki di Malaysia sementara anak perempuaanya kini di Australia.

Ditanya kenapa beliau tidak menonjolkan diri walaupun seorang yang dikenali dalam sejarah Malaysia, Chin Peng,yang memakai kemeja batik dan terpaksa dibantu untuk bergerak, berkata bukan mengejar publisiti, kecuali tidak dapat dielakkan.

Setelah CPM diharamkan pada tahun 1940an, beliau mula kelihatan dikhalayak ramai pada tahun 1955 semasa Rundingan Baling yang telah dibubarkan di mana beliau menemui Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman, sebelum keluar lagi untuk menandatangani Perjanjian Damai pada tahun 1989, tetapi tinggal menyendirikan diri sehingga beberapa bulan kebelakangan ini.

Chin Peng, yang diberikan pasport orang asing oleh kerajaan Thai, berkata beliau telah tinggal di Bangkok sejak beberapa tahun lepas, tetapi tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti perniagaan.

Beliau berkata CPM berhenti menerima sebarang bantuan daripada Parti Komunis China selepas menandatangani perjanjian itu, sambil menambah tidak ada sebab untuk meminta bantuan daripada mereka selepas itu.

Daripada maklum balas yang diterimanya, ketanya kebanyakan bekas rakannya yang telah kembali ke Malaysia kini berjaya dalam kehidupan baru mereka.

"Mereka dalam keadaan baik tetapi tidak semuanya," katanya sambil menambah bahawa ramai juga yang tinggal di empat perkampungan damai yang diwujudkan oleh kerajaan Thai di wilayah Yala yang bersempadan dengan Malaysia.

Di bawah perjanjian damai, 339 bekas anggota CPM kembali ke Malaysia dari sempadan Thai-Malaysia dalam 13 kumpulan antara Ogos, 1991 dan Disember, 1992, sementara sesetengahnya tinggal di beberapa perkampungan damai yang diwujudkan oleh kerajaan Thai di wilayah Yala.

Mengenai sesetengah laporan bahawa ada bekas anggota terbabit dalam pemberontakan kini di wilayah Selatan Thai yang penduduknya majoriti Muslim, Chin Peng berkata konflik itu tidak ada kaitan dengan mereka.

"Saya tidak tahu. Mengikut maklumat saya dan laporan daripada rakan Melayu saya di sana, tidak ada masalah...tidak ada sebab untuk sertai pemberontakan itu," kata beliau.

Ditanya apa telah terjadi setelah meletakkan persenjataannya sejak 20 tahun lepas, Chin Peng berkata parti itu masih hidup, tetapi tidak menyebabkan ancaman kepada sesiapa kerana ia dalam keadaan hibernasi.

"Ya, CPM masih hidup...dalam hibernasi. Kita tidak aktif lagi, hanya ada sedikit himpunan bersama di kalangan rakan kita," katanya yang mengetuai perang gerila di hutan menentang kerajaan Malaysia selama beberapa dekad.

Chin Peng berkata sejak perjanjian itu ditandatangani dengan kerajaan Malaysia di sini pada tahun 1989 yang membawa kepada pemberontakan bersenjata berakhir, beliau percaya kedua-dua pihak telah memenuhi kebanyakan tanggungjawabnya yang digariskan dalam perjanjian itu, tetapi keputusan menghalang beliau daripada kembali ke tanah air masih menjadi satu isu.

Beliau berkata perayaan pada Isnin untuk menandakan ulang tahun ke20 tahun perjanjian bersejarah itu, boleh dianggap kemunculan terakhirnya di khalayak ramai di Thailand.

Acara itu dianjurkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia Abad ke-21, dianggotai bekas anggota CPM yang tinggal di Malaysia selepas perjanjian itu.

Tiga syarikat selamatkan Bernama TV dari terus rugi

Azamin Amin


KUALA LUMPUR : Parlimen hari ini diberitahu bahawa terdapat tiga syarikat yang akan mengambil-alih dan 'menyelamatkan' Bernama TV daripada terus mengalami kerugian.

Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan I Datuk Joseph Salang anak Gandum (BN-Julau) ketika menjawab soalan tambahan daripada Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berhubung kerugian yang dialami oleh media terbabit.

Salahuddin bertanyakan sebab-seba berlakunya kerugian dan perbandingan format Bernama TV yang tidak menarik perhatian penonton.

"Kita lihat Astro Awani yang mempunyai persembahan yang ceria dan senitiasa menjemput tokoh-tokoh politik untuk berdiskusi sentiasa mendapat tarikan.

"Kenapa Bernama TV rugi dan terpaksa diambil alih oleh tiga syarikat?" katanya di sidang Dewan Rakyat pagi tadi.

Joseph mengakui kerugian yang dialami tetapi tidak menyebut secara terperinci sebab-sebab media terbabit mengalami kerugian, seperti yang dihebahkan sekitar RM15 juta.

Katanya operasi Bernama TV setiap bulan adalah sejumlah RM1.5 juta manakala tempahan iklan yang diterima hanyalah sekitar RM150,000 sebulan.

"Diharapkan dengan pengambil-alihan syarikat terbabit dapat mengelak Bernama TV dari terus rugi dan mendapat tempahan iklan yang banyak," katanya.

Beliau sebelum ini menjawab soalan Datuk Raime Bin Unggi (BN- Tenom) yang meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan peranan Bernama TV sebagai suara Kerajaan bagi menjayakan agenda pembangunan dan perpaduan, khususnya mengembangkan gagasan 1 Malaysia.

Sementara itu Joseph turut menjelaskan bahawa Bernama TV telah mengisi kekosongan dengan menjadi satu saluran TV di mana rakyat boleh mendapat berita dan informasi terkini sepanjang 24 jam.

"Berita-berita sensasi dan provokasi tidak akan diberi ruang bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan matlamat Gagasan 1Malaysia," katanya.
Next >

Tidak upaya hasilkan vaksin H1N1, tempah 400,000 dos harga RM14 juta

Azamin Amin


KUALA LUMPUR : Parlimen hari ini dimaklumkan bahawa sejumlah 400,000 dos vaksin H1N1 berharga RM14 juta telah ditempah dan dan bekalan pertama vaksin H1N1 berjumlah 46,000 dos telah diterima bulan ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (BN-Papar) bahawa menjelang bulan depan negara mempunyai 78,000 dos vaksin itu dan selebihnya dijangka diperolehi pada Januari depan.

"Vaksin ini akan diberikan kepada petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pesakit dan juga keselamatan negara serta kepada kumpulan berisiko tinggi," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah).

Rosnah memberitahu bahawa walaupun negara belum berupaya menghasilkan vaksin tetapi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan penyelidikan terhadap genetik virus A (H1N1).

Kerajaan katanya telah menubuhkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan bagi menyelidik dan menghasilkan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit seperti Influenza A (H1N1).

Syarikat itu, 9BI0, dijangka menjalankan penyelidikan dan menghasilkan vaksin bagi kegunaan tempatan dan negara-negara serantau, katanya.

Sebelum itu, Rosnah menjelaskan bahawa kementerian sedang bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal antarabangsa iaitu GlaxoSmithKline yang berpusat di London bagi mendapatkan vaksin tersebut.

Fong dalam soalan tambahannya mahu kementerian memberitahu langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan supaya pelawat, pelancong dan rakyat tidak bimbang dengan gejala yang berlaku, seperti di Austarlia di mana, tiada tanda ketakutan dan kerisauan kepada pelancong yang datang ke negara tersebut.

"Adakah langkah yang diambil seperti pengawasan di KLIA?

"Tiger Wood boleh datang ke Australia tanpa rasa bimbang dan Austraia menangani H1N1 seperti penyakit biasa. Adakah kerajaan mempunyai perancangan dan langkah-langkah seperti itu?" katanya.

Rosnah menjawab bahawa tindakan dan langkah-langkah kerajaan menangani penyakit tersebut dianggap antara yang cemerlang berbanding negara lain.

"Setakat ini jumlah kematian kekal 77 orang dan ianya tidak sampai satu peratus," katanya.

Royalti: Ku Li sedia hadir program penerangan di Kelantan

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR : Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah akan memberikan penerangan kepada rakyat berhubung isu royalti Petroleum Kelantan yang menjadi perdebatan hangat ketika ini.

Bekas pengerusi Petronas itu berkata, beliau mungkin akan menghadiri ceramah umum yang akan diadakan satu kumpulan di Kelantan untuk memberikan penerangan berhubung isu itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan hanya akan hadir ke program yang akan diadakan itu jika ianya tidak ada kaitan dengan politik sebaliknya menyentuh kepentingan rakyat.

"Suatu hari nanti kalau jadi saya akan beri penerangan yang jelas di Kelantan.Katanya kumpulan di Kelantan nak menganjurkan ceramah umum.Nanti saya beri penjelasan.

"Saya nak tengok supaya ini tiada kaitan dengan politik supaya ianya menyentuh kepentingan orang ramai.Kalaulah sepakat semua pihak nak adakan penjelasan secara umum, saya akan hadir," katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen siang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum itu ditanya berhubung keputusannya samaada akan mempengerusikan kaukus Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk bagi membincangkan pertikaian royalti minyak khususnya kepada Kelantan.

Menjawab pertanyaan itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau boleh membuat keputusan sendiri berhubung jemputan itu.

"Saya tak perlu terlalu banyak berfikir bekenaan jemputan ini. Saya sudah dewasa, saya boleh berfikir sendiri," katanya.

Beliau turut menegaskan, isu royalti petroleum tiada kaitan dengan mana-mana parti politik tetapi ianya melibatkan rakyat.

Minggu lalu, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Naib Presiden Umno, agar mempertimbangkan dengan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan berhubung jemputan itu.

Tengku Razaleigh juga berkata, kaukus itu perlu melibatkan semua ahli parlimen tanpa mengira parti.

Pada 18 November lalu pemimpin-pemimpin PR mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh bagi meminta beliau mempengerusikan satu kaukus mengenai pertikaian wang royalti minyak membabitkan kerajaan persekutuan dan Kelantan.

Malah pada minggu lalu, Tengku Razaleigh memberitahu wartawan bahawa beliau akan mempertimbangkan permintaan PR memandangkan pernah terlibat dalam "urusan minyak" sejak penubuhan Petronas dan penggubalan undang-undang yang berkaitan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan memainkan peranan bagi menyelesaikan isu itu "jika ia benar-benar adalah satu masalah."

Tengku Razaleigh telah terlibat secara langsung dalam menggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 bersama Tun Salleh Abas.

"Umno kini busuk hingga ke ususnya" - Mahathir

Harakahdaily


KUALA LUMPUR : Ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan Umno bercadang untuk menyokong PAS kerana "Umno busuk hingga ke ususnya."

"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," kata bekas pemimpin kanan Umno itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.

"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

" Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab Umno tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli Umno juga," tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

Kenyataan Media Zuraidah MP Ampang

SIASAH DAILY


Penduduk Bukit Antarabangsa menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mengubah semula status Laporan Siasatan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa. Sekali lagi, Menteri Besar Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam melindungi keselamatan dan kepentingan rakyat negeri Selangor.

Walau bagaimanapun, saya sungguh kecewa apabila penduduk Bukit Antarabangsa mengadu bahawa laporan yang sepatutnya dijual oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih belum boleh diperolehi. Ini berikutan keputusan Kementerian Kerja Raya untuk tidak mengeluarkan laporan tersebut dengan alasan Jemaah Kabinet tidak bersetuju untuk mengubah status laporan; dalam kata lain laporan ini masih menjadi rahsia Kerajaan.

Sebagai Ahli Parlimen Ampang, saya merayu agar Kerajaan Persekutuan membenarkan penyiaran laporan tersebut untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya tragedi lebih besar pada masa akan datang akibat kegagalan mendedahkan sebab musabab tragedi tersebut. Hasil laporan ini sangat penting untuk diketahui oleh orang ramai bagi melanjutkan perbincangan dalam usaha mempercepatkan proses mengeluarkan peraturan bagi pembangunan di kawasan cerun Bukit Antarabangsa dan kawasan tanah tinggi lainnya di negeri Selangor. Kerajaan Persekutuan tidak perlu takut dan patut bersikap terbuka, telus dan bertanggungjawab dan mencontohi Kerajaan Negeri Selangor dalam isu ini.

Pendedahan kandungan laporan ini penting bagi menjaga keselamatan penduduk Bukit Antarabangsa dan membantu mereka dalam perancangan masa depan mereka. Apatah lagi, Bukit Antarabangsa telah diklasifikasikan sebagai kawasan tadahan air di bawah Rancangan Fizikal Negara (2005) yang memerlukan usaha pemuliharaan yang tinggi.

Sesungguhnya slogan ’1Malaysia’ yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri semakin sayup dan malap bagi penduduk Bukit Antarabangsa yang telah menunggu selama satu tahun untuk mengetahui hasil siasatan tragedi tanah runtuh yang meragut lima nyawa.


HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang

Mohamad Sabu sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang akan diganti

SIASAH DAILY


Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu akan digantikan dengan seorang pemimpin baru yang telah dikenal pasti oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang tidak lama lagi.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, rombakan kecil yang dibuat itu adalah sebagai salah satu usaha untuk mengukuh dan memantapkan lagi PAS negeri Pulau Pinang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Calon yang layak untuk mengisi tempat tersebut telah pun dikenal pasti.Namun begitu pengumuman mengenai perkara tersebut akan dibuat tidak lama lagi.Rombakan kecil ini masih mengekalkan Mohamad Sabu sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Harian PAS Pulau Pinang.Beliau juga diberi kepercayaan untuk menganggotai Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Negeri.

"Tindakan mengadakan rombakan kecil ini juga adalah sebagai salah satu langkah untuk menawan semula kerusi-kerusi yang ada dalam negeri ini masih dikuasai oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya yang lalu."
Mohd Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata demikian semasa majlis korban di Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh.

Sebelum ini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat(PKR) Pulau Pinang, Dr.Mansor Othman turut membuat beberapa rombakan dalam PKR bagi memantapkan lagi parti dengan tujuan untuk menawan semula kerusi-kerusi yang turut dikuasai oleh Barisan Nasional(BN) dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Adalah difahamkan perubahan yang sedang diambil oleh parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat terutamanya di Pulau Pinang adalah bagi memberi satu komitmen penuh kepada usaha untuk merampas semula kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri yang masih dikuasai oleh Umno dan BN menjelangnya pilihan raya umum yang akan datang.

Kenyataan Media Wanita Keadilan : Kebajikan Anak-anak Malaysia diabaikan

SAIASAH DAILY


Wanita KEADILAN memandang serius pengakuan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun bahawa KPWKM masih sedang ’berbincang’ untuk menyelesaikan beribu-ribu kes-kes mahkamah yang melibatkan kanak-kanak! Jika Kementerian Pembangunan Wanita sendiri tidak berupaya untuk menyelesaikan kes-kes mahkamah juvana ini, maka kementerian mana yang boleh diharapkan untuk melindungi kanak-kanak dalam sistem perundangan agar tidak merencatkan pertumbuhan mereka yang sedang membesar.

Kami juga resah apabila KPWKM hanya bercadang untuk menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) dua (2) tahun dari sekarang - tahun 2011. Bagaimana Kementerian Pembangunan Wanita hendak menyelaras dan memantau isu-isu berkaitan kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak jika penubuhan jabatan kanak-kanak ini dilewatkan?

Begitu juga Pelan Tindakan bagi Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang melibatkan hampir kesemua kementerian. Apakah peruntukan ’cross-cutting budget’ dari kementerian-kementerian yang terlibat dan bagaimana KPWKM hendak memantau samada pelan tindakan itu telah berjaya dilaksanakan?

Ini mengambil pengajaran dari kegagalan pemantauan ’cross-cutting budget’ oleh KPWKM dalam Belanjawan 2008 terhadap empat (4) kementerian berkaitan – Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

Jelas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kurang peduli dalam melindungi hak kanak-kanak walaupun negara kita telah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan. Tidak hairan perogol-perogol wanita dan kanak-kanak kaum Penan lepas bebas tanpa pertanggungjawaban.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT

Oh...Rupa-rupanya ini yang Wan Hisham kata 'kejayaan' yang dimaksudkan sukar diterjemah

Buletin Online



Pengarah Piala Monsun, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata matlamat tersirat penganjuran perlumbaan perahu layar itu telah dicapai.

Katanya 'kejayaan' yang dimaksudkan sukar diterjemah dalam bentuk data atau statistik, tidak dinafikan sejak ia dimulakan pada 2004, pelbagai sektor di negeri pantai timur itu menerima manfaatnya sama ada secara langsung atau tidak.

Ramai yang tertanya-tanya, apa kejayaan yang sukar di terjemah yang dimaksudkan oleh bekas Exco Terengganu itu.

Rupa-rupanya, Berita Harian hari ini, Isnin, 30 November menceritakan segalanya. Ikuti laporan yang berlaku beberapa meter sahaja dari tapak konsert piala monsun yang akan diadakan;

Remaja berkeliaran hidu gam curi barangan jejas keselesaan pengunjung

KUALA TERENGGANU: Kehadiran sekumpulan remaja yang dipercayai kutu rayau di Taman Syahbandar, di sini, menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak senang di kalangan pengunjung apabila kumpulan berkenaan turut menjadikan taman itu sebagai tempat tinggal.

Tinjauan Edisi Timur mendapati kumpulan remaja berkenaan termasuk dua perempuan bawah umur itu dipercayai mempunyai masalah dengan keluarga masing-masing sekali gus menjadikan wakaf di kawasan itu sebagai ‘rumah’. Kehidupan yang terbiar menyebabkan majoriti mereka terbabit dengan gejala tidak sihat seperti menghidu gam.

Difahamkan sebelum ini, mereka pernah menjadikan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai tempat tinggal, bagaimanapun gelagat mereka yang menyakitkan mata masyarakat menyebabkan mereka dihalau pihak berkuasa.

Bagaimanapun, selepas dihalau dari Hentian Bas MBKT, kumpulan berkenaan menemui ‘port’ baru di tapak rekreasi awam yang menghadap kuala Sungai Terengganu di Taman Syahbandar.

Tindakan mereka menjadikan wakaf di kawasan itu sebagai ‘rumah’ menimbulkan ketakutan pengunjung, malah bau busuk daripada pembuangan najis merata-rata meloyakan tekak sekali gus meragut keindahan dan kedamaian taman waterfront itu yang selama ini menjadi kebanggaan dan antara mercu tanda baru di bandar raya ini.

Seorang tukang sapu, Rozali Awang, 53, berkata masalah itu sudah dua bulan berlanjutan tetapi setakat ini belum ada tindakan daripada pihak berkuasa.

Katanya, ramai pengunjung di taman itu berang dengan tindakan kumpulan berkenaan yang sering meminta duit dan mencuri barangan orang ramai malah mereka juga sering berkeliaran dan membuat bising.

“Sejak mereka muncul di taman ini, banyak perkara buruk berlaku dan pernah suatu ketika saya lihat seorang daripada ahli kumpulan mereka mencuri susu bayi yang ditinggalkan sepasang suami isteri yang terpaksa membawa anaknya untuk menukar lampin di tandas awam berdekatan.

“Melihatkan kejadian itu, saya segera melaporkannya kepada pasangan berkenaan tetapi kutu rayau yang mencuri susu bayi itu sudah lesap melarikan diri,” katanya.

Seorang pengunjung, Azhari Hussin, 35, berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap kumpulan kutu rayau berkenaan kerana ia mencemar imej bandar raya ini.

“Mungkin mereka ini perlu dibantu dengan dihantar ke pusat pemulihan atau pusat kemahiran supaya dapat menjadi anggota masyarakat yang berguna kerana mereka masih muda,” katanya.

Selain mencemar pandangan dan mencuri barangan pengunjung yang ingin bersantai di kawasan itu, kumpulan itu juga dipercayai terbabit dengan kegiatan menghidup gam berikutan banyak tin gam yang ditemui berselerak di kawasan rekreasi itu.

“Saya pernah menasihatkan seorang anggota kumpulan itu, tetapi niat baik saya dibalas dengan amaran keras berbaur ugutan. Mereka masih muda dan banyak perkara dapat dibuat selain berpeleseran,” katanya.

Seorang lagi pengunjung tetap taman rekreasi itu, Jamhuri Nawang, 47, berkata dia bimbang dengan kehadiran kumpulan remaja liar di kawasan itu kerana jika tidak dibendung bilangan mereka akan bertambah tidak lama lagi sekali gus merosakkan imej kawasan itu yang disediakan kerajaan untuk manfaat orang ramai melapangkan fikiran selepas bekerja.

“Saya tidak tahu mereka datang dari mana, tetapi daripada cara percakapan saya percaya mereka ini penduduk tempatan malah setiap pagi saya lihat mereka seperti mayat bergelimpangan di bangku rehat taman rekreasi dengan selimut dan bantal bersepah seperti rumah mereka.

“Saya harap pihak berkuasa segera memantau masalah ini kerana kewujudan kumpulan ini sememangnya mencacatkan pemandangan di taman ini,” katanya.

Pulau Pinang setuju bina landasan monorel

SINAR HARIAN ONLINE


GEORGETOWN - Kerajaan Negeri bersetuju membenarkan dua syarikat tempatan untuk membina landasan monorel sebagai uji pandu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy berkata, kedua-dua syarikat itu akan membina landasan masing-masing sepanjang satu kilometer di atas tanah milik kerajaan sama ada di Nibong Tebal atau Batu Kawan untuk tujuan itu.

Beliau berkata, semua kos pembinaan landasan akan ditanggung oleh syarikat itu manakala Kerajaan Negeri tidak membuat sebarang perjanjian yang melibatkan sebarang kos atau peruntukan.

“Kerajaan Negeri tidak akan menjual sebarang tanah atau mengenakan bayaran kepada syarikat terlibat dengan uji pandu itu,” katanya pada sidang media di sini semalam tanpa mahu mendedahkan identiti syarikat berkenaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri belum memutuskan sama ada akan menyediakan perkhidmatan monorel bersama syarikat berkenaan atau menjadikannya sebagai salah satu sistem pengangkutan di Pulau Pinang.

“Keputusan akan dibuat selepas melihat kesesuaian perkhidmatannya. Ini bukan projek monorel di Pulau Pinang. Maklumat lanjut mengenai hanya akan diberitahu apabila ada perjanjian rasmi kelak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap projek monorel akan menjadi tarikan kepada sektor pelancongan negeri serta meningkatkan ekonomi dengan pelaburan yang bakal dilakukan untuk pembinaan landasan itu kelak.

Selain meningkatkan ekonomi, ia juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini, terutama dengan wujudnya kilang membuat landasan kelak.

Sementara itu, Ramasamy memaklumkan menerima notis tindakan daripada Tang Hak Ju selepas beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khamis lalu mengenai pertikaian tanah Lot 954, 955 dan 956 di Seberang Perai Tengah.

“Notis ini menyatakan saya membuat fitnah terhadapnya berhubung penemuan maklumat tambahan yang diserahkan kepada SPRM. Saya diberi masa selama lima hari untuk menjawab,” katanya.

Sehubungan itu, Ramasamy bersedia dikenakan tindakan undang-undang sekiranya apa yang dilaporkannya itu tidak benar.

“Tujuan saya membuat laporan ini adalah untuk mengelakkan Kerajaan Negeri kerugian RM40 juta kerana terpaksa membayar kepada Hak Ju,” katanya.

Beli telefon bimbit percuma video lucah

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - ‘Beli telefon bimbit percuma video lucah’ itulah taktik yang digunakan segelintir pemilik premis telefon bimbit sebagai taktik menarik perhatian pelanggan bagi mengaut keuntungan lumayan.

Perbuatan itu dikesan di sebuah pusat membeli-belah terkenal di sini, yang menjadi ‘port' penggemar pornografi sejak kebelakangan ini, berikutan perkhidmatan muat-turun klip video dan gambar lucah melalui telefon bimbit yang ditawarkan adalah percuma semasa membeli telefon bimbit.

Lebih menarik tiada sebarang harga dan limit dikenakan, cuma saiz kemampuan kad memori multimedia (MMC) diperlukan antaranya bersaiz 1, 2, 4 gigabait dan pelbagai lagi.

Cara ini diyakini mampu menarik pelanggan membeli telefon bimbit mahupun peralatan eksesori tambahan di premis mereka, jadi ia menjadi taktik perniagaan masing-masing.

Bagi mereka yang kemaruk seks dipercayai akan tergila-gila mengunjungi kedai berkenaan berulang kali bagi mendapatkan stok klip video baru termasuk jugalah memperkenalkan kegiatan tidak bermoral itu kepada rakan lain.

Seorang pengadu yang hanya mahu dikenali Khai berkata, ketika beliau bersama rakannya membeli seunit telefon bimbit baru, pekerja kedai berkenaan menawarkan peluang itu kepadanya.

"Tanpa segan silu dia bertanya mahu atau tidak cerita "orang makan orang" kepada saya.

"Kalau you mahu, kita boleh bagi free sama lu, cakap saja apa tajuk, sampai penuh kad you kita bagi, tak ada apa-apa charge," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, pelbagai tajuk diberikan secara percuma kepadanya, termasuklah 'UiTM ...', '3 Gadis Malaysia', 'Muslimah Terlampau' dan XXX.

Tinjauan Sinar Harian di pusat membeli-belah itu semalam, mendapati majoriti beberapa premis perniagaan telefon bimbit dan aksesori menawarkan perkhidmatan tersebut terutamanya kepada pelanggan tetap yang sudah dikenali.

Difahamkan pelanggan tetap yang mahu mendapatkan perkhidmatan ini akan menggunakan 'kod khas' ‘bos, mahu baik punyer!’ kepada peniaga terbabit.

Kadang-kadang peniaga juga turut menawarkan perkhidmatan tersebut kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi premisnya semasa membeli telefon tanpa segan silu dan masa singkat diambil bagi memuat turun video seks tersebut.

"Hormati perjanjian royalti 5 peratus"

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Tindakan Kerajaan Pusat dan Petronas yang masih berdegil untuk memberi wang royalti kepada Kelantan akan memberi implikasi besar kepada negeri berkenaan dan negara secara keseluruhan.

Ahli Parlimen Gua Musang dari UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Petronas diwujudkan untuk menyatukan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia di bawah satu formula ringkas untuk berkongsi sumber petroleum negara.

Menurutnya, sebarang tindakan untuk menidakkan hak negeri-negeri yang mempunyai aktiviti petroleum untuk mendapatkan wang royalti dan mengganggu formula ringkas ini akan mengakibatkan kesan yang serius kepada Persekutuan Malaysia.

“Saya membantu membentuk dan membincangkan Akta Petroleum Negara dan sebagai bekas Pengerusi Petronas, saya menandatangani perjanjian berasingan mengenai pembayaran kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Petronas terikat perjanjian tersebut dan Kerajaan Pusat tidak seharusnya mengganggu perjanjian itu, perjanjian terbabit dibuat dengan amat ringkas sehinggakan budak sekolah pun memahaminya,” katanya dalam blognya, semalam.

Razaleigh berkata, keengganan Kerajaan Pusat membuat pengumuman secara jujur mengenai kewajipan Petronas membayar wang royalti sebanyak 5 peratus kepada Kelantan boleh menyebabkan negeri yang mempunyai aktiviti petroleum lain mempersoalkan status pembayaran mereka.

“Hak royalti 5 peratus negeri-negeri tersebut dibuat berdasarkan jumlah keseluruhan aktiviti petroleum yang dilakukan di negeri berkenaan. Sebagai ganti rugi, Petronas wajib membayar wang royalti secara terus kepada negeri tersebut," katanya.

Perak tidak haramkan kursus BTN – Zambry

UTUSAN ONLINE


BAGAN SERAI – Perak tidak akan mengharamkan kursus Biro Tata Negara (BTN) kerana kursus itu merupakan asas dalam mendidik rakyat tentang sejarah, ekonomi dan politik negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya tiada halangan untuk meneruskan usaha yang telah terbukti mampu menjadi kekuatan ke arah memupuk semangat nasionalisme di kalangan rakyat sejak sekian lama.

Sebaliknya, kata Zambry, beliau pelik melihat ada pihak yang mendakwa sayangkan negara namun dalam masa sama, mempersoalkan kursus-kursus bagi menyemai rasa kecintaan kepada negara sendiri.

‘‘Selama ini BTN menjadi asas untuk mendidik rakyat tentang sejarah ekonomi dan politik negara dengan harapan akan timbul rasa tanggungjawab dan kesedaran betapa kita perlu mempertahankan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Korban Aidiladha di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tebuk Panchor di sini hari ini.

Zambry diminta mengulas kenyataan Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dalam blognya semalam menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menutup terus BTN jika mahu melihat gagasan 1Malaysia berjaya.

Ini kerana, Kit Siang yang juga pemimpin DAP itu mendakwa, BTN banyak menyekat perpaduan rakyat berbilang kaum.

Rabu lalu, kerajaan negeri Selangor melarang pekerja dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) negeri itu menyertai sebarang kursus anjuran BTN.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, surat arahan kepada semua jabatan, IPT serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri akan dikeluarkan segera.

Beberapa Pemimpin MCA Temui Muhyiddin Dengan Harapan Selesai Krisis

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin-pemimpin penting parti MCA mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam semalam dalam apa yang difahamkan sebagai sebahagian daripada usaha oleh Muhyiddin untuk menjadi orang tengah kepada rancangan perdamaian buat pihak-pihak yang bertelagah dalam parti itu.

Perjumpaan selama kira-kira tiga jam di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara itu berakhir pada kira-kira pukul 11.30 malam.

Antara yang menghadiri perjumpaan itu ialah Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; setiausaha agung Datuk Wong Foon Meng; dan keempat-empat naib presiden yang terdiri daripada Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, dan Tan Kok Hong.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat pula tidak hadir, kerana difahamkan beliau sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat sakit perut.

Usaha mendapatkan komen berhubung perjumpaan malam semalam gagal apabila semua pemimpin berkenaan meninggalkan kediaman Muhyiddin tanpa memberi sebarang maklum balas kepada wartawan.

Dr Chua semasa ditanya mengenai keadaan Ong sekadar berkata Presiden parti itu menghantar pesanan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas kepada beliau dan Muhyiddin mengenai keadaannya.

Awal minggu ini Muhyiddin berkata beliau akan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi krisis dalaman MCA dan menjadikan ia sebagai sebahagian daripada Indeks Prestasi Utama (KPI).

Menurutnya beliau berharap jalan penyelesaian akan dapat dicapai sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kembali dari luar negara pada 1 Disember ini.

Krisis MCA menjadi isu utama membelenggu kepimpinan Barisan Nasional kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan sokongan kaum Cina terhadap salah sebuah parti komponen kerajaan itu.

MCA terjerumus dalam krisis kepimpinan selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) 10 Oktober lepas yang menyaksikan timbulnya kumpulan-kumpulan yang menyokong Ong dan kumpulan yang menyokong Liow, selepas Ong dan Dr Chua berdamai.

Keadaan menjadi bertambah gawat apabila Ong memecat Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong daripada menganggotai Majlis Presiden selepas kedua-dua mereka mendakwa presiden parti menyalahguna kuasa.

Kumpulan penyokong Liow dalam pertemuan kelmarin pula meluluskan satu deklarasi 1128 yang menuntut supaya MCA mengadakan pemilihan baru peringkat Jawatankuasa Pusat (CC) dalam tempoh 60 hari, namun ia ditolak oleh Ong dengan alasan sebarang keputusan yang dibuat perlu mendapat sokongan majoriti anggota CC.

"Kolonel Mat" Hanya Wujud Di Minda Nik Aziz, Kata Zahid

BERNAMA


LANGKAWI: "Kolonel Mat" yang disebut Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai orang yang ingin menjatuhkan kerajaan pimpinannya di Kelantan hanya wujud di minda pemimpin pembangkang itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan dengan itu beliau meminta Menteri Besar Kelantan itu supaya tidak melibatkan anggota tentera atau Kementerian Pertahanan di dalam permainan politiknya itu.

"Kolonel Mat itu hanya wujud di dalam mindanya (Nik Abdul Aziz) sendiri. Mengikut pengetahuan saya, Kolonel Mat itu sudah pun meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Tentera Udara sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA '09) yang bermula esok hingga 5 Disember.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, tindakan Menteri Besar Kelantan membuat dakwaan sedemikian turut menunjukkan bahawa beliau takut kepada "bayang-bayangnya" sendiri.

Yang turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jen Datuk Seri Rodzali Daud.

Sebanyak 374,500 Pemegang Kad Pengenalan Merah - Abu Seman

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bilangan mereka yang memegang kad pengenalan merah di negara ini sehingga September 2009 adalah seramai 374,500 orang. Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata daripada jumlah itu, seramai 64,731 orang adalah mereka yang dilahirkan di negara ini yang turut memegang kad pengenalan merah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Tee Beng (PKR-Nibong Tebal) yang ingin tahu jumlah rakyat Malaysia yang masih memegang kad pengenalan merah dan pecahannya mengikut negeri.

Abu Seman berkata rakyat Malaysia yang memegang kad pengenalan merah mengikut negeri adalah seperti berikut; Sabah (12,000 orang), Selangor (11,307), Perak (6,589), Johor (5,509), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4,906), Kedah (2,822), Pulau Pinang (2,209) dan Pahang (1,981).

Negeri Sembilan (1,947), Kelantan (1,295), Melaka (789), Sarawak (771), Wilayah Persekutan Labuan (653), Perlis (326), Terengganu (307), Wilayah Persekutuan Putrajaya (17) dan lain-lain (11,303).

"Kad pengenalan merah diberi kepada seseorang yang bukan warganegara Malaysia tetapi bermastautin secara tetap di Malaysia," katanya.

LAPORAN KHAS: Sempena Ulang Tahun Ke-20 Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia dan PKM

(Bahagian Kedua)

Satu Detik Bersejarah Yang Bertukar Menjadi Detik Yang Melucukan...



Perjanjian bersejarah... (dari kanan) Abdullah C.D. dan Chin Peng menandatangani
perjanjian damai dengan Jeneral Chavalit Yongchaiyudh, Panglima Angkatan
Tentera Thailand dan wakil Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam
Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman di Haadyai pada 2 Disember 1989. -
Foto THE STAR oleh ROHAIZAT

SABTU, 2 DISEMBER 1989; Jam hampir 10.30 pagi dan Hotel Lee Garden di mana berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian damai di antara Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM telah dipenuhi oleh wartawan dan orang kenamaan yang ingin menyaksikan satu detik bersejarah - sesuatu yang gagal disaksikan pada 28 dan 29 Disember 1955.

“Tolong duduk! Tolong Duduk....Jika tuan-tuan tidak duduk, bagaimana kita hendak memulakan majlis kita yang bersejarah ini...orang belakang pun nak tengok juga,” demikian kata-kata awal yang keluar dari mulut juruacara pada hari itu, seorang pegawai muda dari angkatan bersenjata Thailand yang bertutur dalam bahasa Inggeris yang kadang-kadang kedengaran sangat melucukan.

Hakikatnya, beliau sedang berhadapan dengan satu tugasan yang sangat berat dan besar pada hari itu - bagaimana untuk mengawal situasi yang kelihatan kelam-kabut kerana para jurugambar yang telahpun memenuhi barisan hadapan di antara pentas utama dan kerusi para tetamu enggan memberi kerjasama kepadanya.

Berkali-kali juruacara itu merayu kepada para jurugambar supaya memberi ruang kepada para tetamu menyaksikan majlis itu dengan sempurna tetapi rayuannya itu tidak diperdulikan.

Mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk merakam gambar mugshot Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Ah Sek. Suasana kelam kabut itu menjadikan majlis yang sepatutnya serius dan penuh bersejarah itu tidak ubah seperti kaunter pasaran saham dengan bunyi bising para jurugambar berasak-asak untuk menuju ke hadapan seboleh mungkin.

Dalam keadaan yang berasak-asak ini salah seorang daripada jurugambar telah terjatuh di atas jambakan bunga yang menghiasi meja di mana kesemua wakil kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM akan menandatangani perjanjian damai mereka.

Manakala jurugambar yang berada di belakang pula sama ada memanjat belakang rakan jurugambar yang lain atau berdiri di atas kerusi yang disediakan untuk tetamu-tetamu VIP di barisan hadapan sekali. Dari belakang, kami hanya dapat menyaksikan badan para jurugambar. Mereka yang akan menandatangani perjanjian damai itu sudah tidak kelihatan lagi.

Dalam suasana hiruk pikuk inilah wakil-wakil Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM menurunkan tandatangan mereka di atas kertas perjanjian damai yang bersejarah itu bagi menamatkan perjuangan bersenjata PKM ke atas Kerajaan Malaysia selama lebih 41 tahun.

****

Bila dikenang kembali, peristiwa bersejarah itu sesungguhnya melucukan terutama sekali apabila teringatkan suara juruacara yang terus menerus merayu dengan kata-kata “thank you for your corporation” dan kemudian diikuti dengan “thank your for everybody...”

Ramai di kalangan wartawan ketawa setiap kali mendengar juruacara itu mengulangi ayat “thank your for everybody...” dan tertanya-tanya perlukah dia mengakhiri kata-katanya itu dengan “thank your for everybody...”

Dari belakang, juruacara berkenaan seolah-olah tenggelam di tengah-tengah riuh rendah jurugambar yang menjerit-jerit nama Chin Peng dan Rashid Maidin supaya memberikan pos yang istimewa di hadapan lensa. Yang kelihatan hanyalah tangannya yang diangkat tinggi meminta semua orang bersabar dan duduk. Hakikatnya tidak ada siapapun yang memperdulikan rayuannya lagi.

Majlis itu bukan sahaja berlangsung dengan begitu pantas sekali dan singkat, malah kawalan keselamatan pihak penganjur di sepanjang berlangsungnya majlis itu juga sangat menghairankan.



Hotel Lee Garden di mana berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian
damai di antara Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM.

Tidak ada seorang pun dikenakan pemeriksaan keselamatan untuk menuju ke tingkat 12 Hotel Lee Garden di mana majlis ini berlangsung. Malah pas masuk yang tertulis dalam bahasa Thai boleh diperolehi dengan mudah di lobi hotel berkenaan.

Di sekitar kawasan lobi dan di luar hotel juga, tidak ada kawalan keselamatan yang ketat dilakukan walaupun mereka yang berpakaian seragam berwarna coklat (polis) dan celoreng tentera memenuhi kawasan berkenaan.

Apabila melihat keadaan sudah tidak terkawal lagi, juruacara majlis itu dengan tergesa-gesa memulakan majlis dengan mengalu-alukan kedatangan semua tetamu sebaik sahaja Chin Peng dan rombongannya yang sedang berdiri sambil melambai-lambai tangan ke arah para jurugambar melabuhkan punggung mereka ke atas kerusi.

Jeneral Chavalit Yongchaiyudh, Panglima Angkatan Tentera Thailand adalah yang pertama yang dijemput untuk menyampaikan ucapan. Beliau menyampaikan ucapannya yang ringkas dalam bahasa Thai yang kemudiannya diterjemahkan oleh juruacara itu.

“Apa yang anda saksikan hari ini akhirnya membuktikan bahawa perbezaan pendapat dan masalah tidak boleh diselesaikan dengan cara kekerasan,” kata Chavalit.

Selepas Chavalit, wakil Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman pula dijemput berucap.

Beliau berkata, perjanjian hari ini akan membuka jalan kepada pembangunan sosio-ekonomi yang lebih baik dan teratur untuk kemakmuran rakyat Malaysia.

“Dengan tamatnya kegiatan persenjataan komunis, lebih banyak rancangan pembangunan dapat dibawa ke kawasan-kawasan sempadan dan ini termasuklah kepada negara jiran, Thailand,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand di atas kerjasama yang ia berikan sehingga terhasilnya perjanjian damai ini.

Lima minit kemudian, tibalah giliran Chin Peng. Beliau memulakan ucapannya dengan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Cawangan Khas PDRM dan juga Komander Wilayah 4 Tentera Thai yang telah mengaturkan pertemuan dan rundingan dengan pihak PKM.

Chin Peng berkata, apa yang telah dipersetujui hari ini adalah selaras dengan dasar PKM untuk mewujudkan perdamaian.

“Ia juga adalah selaras dengan arus masa kini di mana rakyat di seluruh dunia memperjuangkan perdamaian dan demokrasi serta selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Thailand.

“Kami yakin bahawa penandatanganan persetujuan damai ini akan mencatat satu lembaran baru dalam sejarah tanahair kami dan akan memberikan sumbangan penting ke arah mewujudkan kemakmuran dan kestabilan di Malaysia serta di kawasan sempadan,” kata Chin Peng.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan melafazkan ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan juga ikrar taat setia kepada negara.

Sebaik sahaja Chin Peng selesai menyampaikan ucapannya yang penuh dramatik itu dan belum pun sempat beliau duduk semula, juruacara terus merampas semula mikrofon dan mengumumkan; “Yes Mr Chin Peng, you can now officially sign on the dotting line...” katanya dalam bahasa Inggeris yang sangat melucukan.

Mendengar kata-kata itu, Chin Peng pun sambil tersenyum dan tanpa melengahkan masa lagi terus menandatangani perjanjian itu dan kemudiannya diikuti serentak oleh Pengerusi CPM, Abdullah CD dan Rashid Maidin.

Sejurus selepas wakil-wakil Kerajaan Malaysia dan Thailand menurunkan tandatangan masing-masing, juruacara itu dengan selamba berkata; “All of you can continue to exchange the document if you wish to do so...”

Kata-katanya yang ringkas dan bersahaja pada satu majlis yang besar dan penuh bersejarah itu sekali lagi mencuit hati para wartawan dan tetamu yang hadir sehingga mengundang gelak ketawa.

****

Pada masa ketiga-tiga pihak yang menandatangani perjanjian damai itu menukar-nukar dokumen, kelihatan para wartawan dan jurugambar mundar-mandir ke sana kemari mengambil gambar di sekitar dewan itu sebagai kenang-kenangan. Malah ramai yang ingin bergambar dengan isteri Komander Regimen Ke-12 PKM, Ah Sek iaitu Zainon Chan dan isteri Abdullah CD, Suriani Abdullah.

Saya tidak mengambil walau sekeping foto pun. Mungkin kerana asyik memerhati apa yang sedang berlaku dan juga mungkin kerana terlalu teruja dengan peristiwa bersejarah ini.

Tetapi suasana yang relaks itu kembali menjadi kelam-kabut apabila para wartawan berpusu-pusu kembali ke meja hadapan sebaik sahaja juruacara mengumumkan bahawa Chin Peng akan memberikan sidang akhbarnya.

Dan keadaan kemudiannya menjadi seperti tidak terkawal lagi apabila beratus wartawan yang menduduki kerusi tetamu di barisan belakang menyerbu serentak ke meja hadapan sambil berlari merempuh tetamu-tetamu VIP setelah menyedari Chin Peng tanpa membuang masa terus memulakan sidang akhbarnya.

Yang menyulitkan keadaan ialah apabila para wartawan terpaksa berasak-asak untuk ke meja hadapan di mana Chin Peng berada bersama-sama beratus jurugambar yang tidak mahu berganjak langsung dari tempat di mana mereka berdiri.

Suasana yang penuh kelam kabut itu berterusan sebaik sahaja Chin Peng selesai mengadakan sidang akhbarnya kerana selepas itu para wartawan pula yang menyerbu Chin Peng untuk mendapatkan tandatangannya dan saya adalah salah seorang daripadanya.

Bila saya menghulurkan buku cenderamata majlis untuk beliau tandatangani, Chin Peng menoleh kearah saya dan bertanya; “Saudara dari mana?” Saya menjawab “Utusan Melayu”. Dan Chin Peng sambil tersenyum berkata; “Saya baca Utusan Melayu...”. Beliau kemudian menurunkan tandatangannya di atas buku cenderamata itu.

Tandatangannya bersih dan kemas membuatkan anda boleh mengeja namanya dengan jelas. Tetapi ada yang menghulur wang kertas Ringgit Malaysia dan Thai Bath untuk Chin Peng tandatangani. Beliau tersenyum dan turuti kehendak tuan yang punya wang.

Dan begitulah majlis yang disusun dan diatur rapi untuk menjadi satu majlis yang penuh bersejarah akhirnya berakhir dalam suasana yang sungguh melucukan.

Tarik Balik Permit Teksi Jika Enggan Keluarkan Resit Tambang - LPKP

BERNAMA


KOTA TINGGI: Mulai Januari ini, 31,000 pemandu teksi di seluruh negara yang tidak mengeluarkan resit tambang kepada penumpang akan dikenakan tindakan tegas oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Pengerusinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata tindakan tersebut termasuk menarik balik permit teksi.

"Selama ini kami menerima banyak rungutan daripada orang ramai bahawa pemandu enggan menggunakan meter dan menetapkan kadar tambang sesuka hati," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan daging korban sempena Hari Raya Aidiladha peringkat Parlimen Tenggara di Felda Sungai Sibol di sini.

Katanya, kerajaan pada Ogos lalu sudah menaikkan kadar tambang teksi maka tambang terlalu rendah tidak harus menjadi alasan untuk tidak mengeluarkan resit serta mengenakan tambang mengikut apa yang ditetapkan.

Setakat ini, 90 peratus daripada teksi di seluruh negara sudah menyelaraskan meter mereka dengan menggunakan meter baru yang boleh mengeluarkan resit.

LPKP menetapkan selewat-lewatnya 31 Disember ini bagi menyelaraskan meter untuk tambang baru dan mana-mana teksi yang gagal berbuat demikian tidak dibenarkan mengenakan kadar baru serta tidak boleh beroperasi.

Bagaimanapun, kelonggaran diberikan kepada 1,260 teksi di Pulau Pinang sehingga 30 Jun 2010 berikutan kos memasang pencetak tambang yang mahal sehingga mencecah RM350.

Royalti minyak: Nik Aziz pertahan isu doa

MALAYSIA KINI


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah dari segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu.

"Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalu tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik.

"Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu...," katanya.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat itu sebagai tidak masuk akal.

Katanya, perbuatan itu sebenarnya menggambarkan kelemahan dalam pemerintahan Nik Aziz sekaligus menunjukkan perpecahan kritikal di dalam PAS.

"Kita di dalam Umno bukan mahu mendoakan PAS berpecah tetapi kita bersyukurbkerana apa yang PAS tuduh, akhirnya perkara itu terkena tempias kepada mereka (PAS) sendiri.

"Mereka (PAS) tuduh Umno menimbulkan perkara yang boleh pecah belahkan PAS, kita (Umno) yang lagakan pemimpin mereka, tetapi bila kita sabar dalam cara kita bawa diri kita, akhirnya tuhan tunjukkan mereka yang terkena tempias mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis korban Umno Bahagian Sembrong dan pembasmian kemiskinan Giat Mara, di Kampung Contoh, dekat Kahang, di Kluang hari ini.

Isu MCA dilapor kepada PM esok

BERNAMA


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh pemimpin MCA bagi mengatasi masalah dalaman parti itu akan dikemukakan kepada perdana menteri esok.

Timbalan perdana menteri berkata beliau juga akan melaporkan kepada Datuk Seri Najib Razak sebaik kembalinya beliau ke tanah air esok mengenai hasil yang dicapai dalam perbincangan antaranya (Muhyiddin) dengan pemimpin MCA dalam usaha mencari jalan kepada krisis parti itu.

"Sebahagian besarnya syor (diterima). Tetapi apa pun pun keputusan muktamad kita akan umumkan selepas perdana menteri meneliti pelan itu dan nanti akan diumumkan apakah hasil itu," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perkembangan terbaru usaha menyelesaikan krisis parti itu berikutan pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin MCA semalam.

Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata beliau telah berjumpa dan berbincang dengan ketiga-tiga kumpulan pemimpin MCA yang berbalah itu dan mereka telah mengemukakan beberapa syor bagi penyelesaian kepada krisis parti itu.

"Saya lihat ada komitmen (ketiga-tiga kumpulan pemimpin MCA ini) umumnya, daripada hampir semua pemimpin yang saya temui untuk mencari jalan menyelesaikan kemelut politik MCA," katanya yang ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam beberapa pemimpin penting parti MCA mengadakan perjumpaan dengan Muhyiddin, yang diberi mandat oleh Najib sebagai pengerusi BN untuk menangani masalah MCA, dengan melaksanakan langkah-langkah proaktif secepat mungkin sebelum krisis itu berlarutan dan menjadi lebih buruk.

Muhyddin pada Isnin lepas berkata beliau memberi tempoh selama seminggu kepada dirinya sendiri untuk mencari jalan penyelesaian terhadap krisis kepimpinan MCA, dan satu formula akan dirangka dalam tempoh tersebut bagi mendapatkan kata sepakat di kalangan pemimpin parti yang sedang bertelagah itu.

MCA terjerumus dalam krisis kepimpinan selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) 10 Okt lepas yang menyaksikan timbulnya kumpulan-kumpulan yang menyokong Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan kumpulan yang menyokong Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, selepas Ong dan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berdamai.

Keadaan menjadi bertambah gawat apabila Ong memecat Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong daripada menganggotai Majlis Presiden selepas kedua-dua mereka mendakwa presiden parti menyalahguna kuasa.

Kumpulan penyokong Liow dalam pertemuan semalam pula meluluskan satu deklarasi 1128 yang menuntut supaya MCA mengadakan pemilihan baru peringkat jawatankuasa pusat (CC) dalam tempoh 60 hari, namun ia ditolak oleh Ong dengan alasan sebarang keputusan yang dibuat perlu mendapat sokongan majoriti anggota CC.

Pemuda BN demo, bakar foto Guan Eng

MALAYSIA KINI


Sekumpulan kira-kira 100 penyokong Pemuda BN berkumpul di depan bangunan DUN Pulau Pinang dan membakar foto Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi membantah kerajaan pimpinannya.

Ia dianjurkan sebagai membantah kerajaan negeri yang didakwa "tidak cekap dan teragak-agak membuat keputusan" bagi menyelesaikan masalah rakyat dan juga gagal menunaikan janji pilihan raya umum 2008.

Dikepalai oleh ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, tunjuk perasaan itu bermula kira-kira 12.15 tengah hari dan berakhir hampir sejam kemudian ketika sidang DUN Pulau Pinang sedang berlangsung hari ini.

Penunjuk perasaan menaikkan sepanduk anti-kerajaan berhubung dakwaan tidak cekap mengendalikan beberapa masalah seperti Kampung Buah Pala, Rumah Hijau Mak Mandin dan juga projek kontroversi menebus guna tanah.

PAS sokong larang kursus BTN di negeri Pakatan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR : PAS menyokong tindakan Kerajaan Selangor yang telah mengambil keputusan melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri itu, daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta merta.

"Ini adalah kuputusan yang bijak. Kursus Biro Tata Negara yang dijalankan selama ini memang tidak mendatangkan faedah dan membazir wang rakyat sahaja," kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Biro Tata Negara mengundang kontroversi selepas tujuh wakil rakyat Selangor menyerahkan memorandum menggesa penuntut di institut pendidikan milik kerajaan negeri dan penjawat awam negeri dilindungi dari program indoktrinasi BTN.

Memorandum tersebut berkata, akal peserta BTN disusun-semula supaya membenci kaum Cina dan parti-parti yang tidak sealiran dengan Umno-BN.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil keputusan menyekat penyertaan penjawat awam negeri dan para penuntut di institut pendidikan milik kerajaan negeri bagi menjaga keharmonian di Selangor yang pernah menyaksikan ketegangan akibat tingkah-laku Umno dalam kes demo kepala lembu.

Ekoran itu, beberapa negeri Pakatan Rakyat yang lain turut mengkaji untuk menuruti tindakan Selangor itu. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nasri Aziz hari ini berkata, kerajaan akan mengkaji semula modul latihan BTN.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dijangka akan mendengar usul mengenai pengharaman BTN di negeri itu hari ini.

Bagi Idris, Biro Tata Negara yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri hanya berperanan untuk indoktrinasi kepada peserta untuk benci kepada parti pembangkang dan menyokong Umno/BN sahaja.

Modul yang diselit ialah kononnya negara sedang mengalami ancaman perkauman. Kuasa Melayu semakin terhakis. Ini adalah modal lapuk yang dihidangkan kepada para peserta, katanya.

Menurut beliau, apabila pensyarah yang hendak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran MA dan Phd perlu lulus kursus Biro Tata Negera.

Mereka yang tidak sealiran tidak akan mendapat biasiswa walaupun akademik mereka cemeralang.

"Inilah yang pernah dialami oleh Saudara Ramadhan Fitri Alias bekas Presiden Mahasiswa Universiti Malaya walaupun beliau mendapat kelas pertama dan sijil dekan setiap semester," kata Idris.

Menurutnya lagi, beliau telah gagal dalam kursus Biro Tata Negara, lalu beliau tidak layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi.

"Beliau gagal kerana tidak memenuhi cita rasa golongan primitif," kata Idris.

Murugiah bidas Kayveas, tidak layak jadi Presiden PPP

Azamin Amin


KUALA LUMPUR : Selain MCA, kemelut parti komponen BN, Parti Progresif Penduduk (PPP) semakin parah apabila dua pemimpin tertingginya saling bercakaran antara satu sama lain.

Di Lobi Parlimen pagi tadi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah membidas Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang memberi tempoh 14 hari supaya beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa semalam, sekiranya tidak mahu digelar ‘Timbalan Menteri Haram’.

Kayveas dilaporkan berkata, mengikut Perlembagaan PPP (Artikel 6.10), seseorang yang dipecat daripada parti dan
apabila mempunyai jawatan dalam kerajaan, Parlimen atau Kabinet perlu meletakkan jawatan.

Murugiah di sidang medianya menjelaskan bahawa perlembagaan itu tidak wujud dan Kayveas hanya menyeleweng fakta.

"Bagaimana nak jadi Presiden PPP jika ini pun dia tak tahu. Kayveas kena letak jawatan kerana dia gagal tadbir
parti.

"Sebab itulah di ditolak di Taiping...banyak juga lebih 11,000 undi," katanya.

Murugiah turut mendedahkan bahawa Kavyeas tidak pernah menyerahkan akuan dan penyata tahunan parti kepada ROS malah mendakwa logo parti PPP juga tidak sah.

"Yang didaftarkan adalah logo 6 bintang bukannya seperti logo 5 bintang," katanya sambil menunjukkan logo parti yang didakwa sah.

Murugiah turut mempersoalkan bidang kuasa Kavyeas yang mahu beliau meletakkan jawatan sedangkan lantikannya sebagai Timbalan Menteri adalah merupakan hak keistimewaan seorang Perdana Menteri.

"Dia siapa...adakah dia PM, AG (Peguam Negara) atau Sultan?"

"Dia tiada kuasa. Kuasa mutlak di bawah PM. Ini pun dia tidak faham, bagaimana dia jadi Presiden PPP?," katanya yang turut mendedahkan beberapa kepincangan yang berlaku di dalam PPP.

Antaranya berhubung pemilihan di perhimpunan PPP di mana ada ahli parti Gerakan yang turut mengundi, yang jelas bertentangan dengan peraturan.

"Saya ada bukti, ada ahli Gerakan yang mengundi semasa perhimpunan tetapi isu ini diketepikan oleh ROS dan
mengishytiharkan dia Presiden PPP yang sah," katanya.

Terdahulu Kayveas dipetik sebagai berkata, Murugiah tidak terlibat sama sekali dalam parti itu lagi dan tidak boleh
bersuara atau mengeluarkan pendapatnya mengenai PPP selepas dipecat pada 16 Mei lalu, selain tidak mempunyai kuasa memberi tempoh kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menjawab surat rayuannya berhubung kesahihan pemecatannya dalam PPP.

“Tempoh 14 hari diberikan sebelum ini untuk beliau mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya, tetapi beliau tidak buat langsung dan kini meminta ROS menjawab surat rayuannya setelah tamat tempoh.

“Tiada mana-mana kuasa yang boleh mengarahkan ROS atau meminta ROS membuat keputusan berdasarkan desakan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada Murugiah untuk tidak mengganggu atau mencampuri sebarang urusan PPP atau cubaan menghasut terhadap mana-mana ahli parti itu dan menasihatkannya bertemu mereka yang berpengalaman dalam mendapatkan nasihat bagaimana mahu mengambil hati parti itu semula sekiranya ingin kembali bersama PPP.

MB: TAWAS Bantu Masa Depan Kanak-kanak

TV SELANGOR


Sedar dengan tanggungjawab mencorak generasi akan datang, Kerajaan Negeri Selangor melangkah ke hadapan dengan menubuhkan tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha berkenaan merupakan antara langkah kerajaan negeri dalam memastikan masa depan kanak-kanak di negeri ini terjamin.

Katanya, program berkenaan juga merupakan antara projek terpenting dalam memastikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) tercapai.

"Negeri Selangor sangat menghargai tentang adanya masa depan raykat negeri Selangor, oleh sebab itu kita telah melancarkan Tabung Warisan Anak Selangor yang mana mereka-mereka yang lahir di Selangor, seorang daripada ibu bapanya ialah orang Selangor, boleh terus mendaftar di pejabat daerah ataupun melayari laman sesawang Kerajaan Negeri Selangor dan mendaftar anak mereka menjadi ahli dalam Tabung Warisan Anak Selangor,"katanya.

Menurut beliau lagi, setiap pendaftaran baru dalam program ini akan menerima RM100 daripada kerajaan negeri sebagai hadiah permulaan dalam pelaburan berkenaan.

Khalid berkata, dengan adanya program tersebut secara tidak langsung ia dapat membantu kerajaan negeri mengenal pasti jumlah anak Selangor dan memudahkan peruntukan membesarkan tabung ini dilakukan mengikut keperluan.

"Jadi ini satu daripada usaha supaya kerajaan negeri dapat mengenalpasti anak-anak di negeri Selangor yang mana tiap-tiap tahun kita membuat peruntukan supaya tabung ini menjadi lebih besar,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pesta Hari Kanak-Kanak dan Sambutan Hari Kesihatan anjuran Pusat Perkhidmatan Adventist Kuala Selangor di Tesco, Kuala Selangor.

Adventist adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuh secara rasmi pada 1983 merupakan sebuah pusat khidmat yang menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah ADUN Bukit Melawati, I.R Muttiah, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Haris Kasim dan Pengurus Tesco Kuala Selangor, Roslan Mohd Abdul Rahman

Maklumat Akta Rahsia Rasmi(OSA) Disekat,Timbul Kemusykilan Penduduk

TV SELANGOR


Usaha Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan maklumat Akta Rahsia Rasmi berhubung tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa mendapat respon amat positif dari penduduk.

Selepas setahun kehilangan punca, para penduduk yang terkesan akhirnya menemui ruang untuk mencari keadilan.

TV Selangor bagaimanapun mendapati penduduk kesal dengan tindakan kerajaan Pusat menyekat pendedahan dokumen itu.

Manakala ada yang berpendapat tindakan kerajaan pusat benar-benar mencurigakan.

“Kita berpendapat bahawa kegagalan untuk clarify dokumen dokumen tersebut hanya menunjukkan kelemahan di peringkat kerajaan pusat itu sendiri,di samping itu mereka bermain politik untuk mencari kesalahan Tan Sri Khalid”,kata wakil penduduk Dr Rafick Khan Abdul Rahman.

Megat Arif Ahmad Kamil pula berpendapat,“Itu yang kerajaan harus siasat sebelum didedahkan kepada rakyat, kerana perkara ni ada berbaur politik sedikit kerana setelah sekian lama kenapa baru sekarang nak dedah".

Seorang lagi wakil penduduk,Haji Muhd Syuib Lebar pula berkata beliau akan tetap menunggu sehingga punca kejadian yang telah meragut nyawa dan kemusnahan harta-benda didedahkan.

“Saya sabar menunggu ,memang penting yang pertama nak tahu apa sebab tanah runtuh ,mungkin boleh berhati hati dan berjaya cari penyelesaian.dan lebih berhati hati di masa depan”,katanya.

Gempa Bumi Lemah Di Kuala Pilah

BERNAMA


Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan awal pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini hari ini, gempa bumi itu berlaku pada pukul 12.15 pagi dan berpusat di 22 kilometer timur Seremban.

Bagaimanapun tiada gegaran dirasai akibat gempa bumi itu, menurut kenyataan itu. -

Chin Peng: Saya ingin balik ke tanahair saya

Lim Hong Siang



"Memang saya ingin balik ke tanahair saya. Saya akan cuba dengan pelbagai cara, (ketawa) seludup masuk pun boleh...entah boleh berjaya atau tidak... saya sendiri pun tak dapat pastikan. Saya akan cuba.... cuba."

Demikianlah luahan Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) dalam bahasa Melayu ketika diminta untuk menyatakan perasaan dan kedahagaan beliau untuk kembali ke tanahair, dalam bahasa kebangsaan.

Chin Peng, 85 walaupun mengakui bahawa dirinya sudah lama tidak berucap dalam bahasa Melayu, tetap sudi untuk mencuba.

Satu hasrat sahaja

Chin Peng berkata sedemikian selepas satu wawancara yang dihadiri semua media cetak bahasa Cina di Malaysia, termasuk media internet MerdekaReview, Malaysiakini dan The Nut Graph. Wawancara yang mengambil masa lebih daripada satu jam ini diadakan pada kira-kira 4 petang (waktu Malaysia), di J.B Hotel, Hatyai.

Chin Peng atau nama asalnya, Ong Boon Hua yang jarang muncul di khalayak umum, hanya menyampaikan satu mesej kepada wartawan dalam wawancara tersebut, iaitu hasratnya untuk pulang ke Setiawan. Secara terus-terang, pemimpin komunis yang tidak pernah menyesal dengan perjuangannya itu mengakui, bahawa satu-satunya kekesalan beliau adalah hasratnya untuk pulang ke tanahair tidak kesampaian.

Walaupun diajukan pelbagai soalan, misalnya mengapa masih berdegil untuk kembali ke Malaysia, memandangkan Malaysia bukan negara impiannya kerana tidak mengamalkan komunisme, beliau menjawab, "ini tiada kena-mengena dengan komunisme atau tidak. Saya nak pulang ke Malaysia yang mengamalkan sistem kapitalisme, (kalau) Malaysia yang mengamalkan komunisme, lagi saya ingin pulang. Mengapa? Kerana itu tempat saya berasal... Ibu bapa saya terkubur di sana. Adik beradik saya yang terkubur di situ."

"Saya berasa, sepanjang umur hayat saya, saya nak cuba sedaya-upaya untuk pulang, dan menyembah mereka (ibu bapa dan adik beradik). Saya tak ada tujuan selain itu. Saya bukan nak pulang untuk bertanding, saya hanya nak balik untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai anak dan seorang saudara. Itu sahaja," katanya.

"Saya menganggap saya diperbodohkan"

Menjelang ulang tahun ke-20 Perjanjian Damai Hadyai ditandatangani, Chin Peng hanya terusik dengan ketidaksampaian hasratnya untuk kembali ke Malaysia. Beliau mengungkit insiden di mana beliau dihubungi pegawai kerajaan Malaysia, untuk bertemu di suatu tempat dan kemudian dibawa balik ke Malaysia, tetapi tidak berakhir seperti apa yang dijangkakan oleh Chin Peng. Untuk Chin Peng, beliau menganggap dirinya "diperbodohkan" dalam insiden ini.

Namun, ketika ditanya adakah beliau berasa dirinya tertipu, jawapannya, tidak. Chin Peng cuba mengasingkan antara Perjanjian Hadyai, dengan apa yang berlaku kemudiannya, dengan berkata, "...kerana kami (PKM dengan kerajaan Malaysia) berbincang bersama. Kami bertoleransi antara satu sama lain. Maka tercapailah muafakat untuk menandatangani perjanjian. Jadi, apa yang berlaku selepas itu (perjanjian itu dibuat), itu persoalan lain."

Ditanya wartawan pula mengapa kerajaan Mahathir Mohamad menandatangani perjanjian ketika itu, seandainya tidak berniat untuk membenarkannya kembali, Chin Peng memberi jawapan bahawa senario ketika itu mendorong kedua-dua pihak, iaitu kerajaan Malaysia dan PKM untuk berdamai, kerana itulah yang diingini oleh rakyat.

Enggan menyelar kerajaan Malaysia

Jelas, Chin Peng masih menaruh harapan untuk kembali ke tanahairnya, malah sanggup menerima seandainya dibenarkan untuk kembali secara "senyap". Beliau tidak menyelar kerajaan Malaysia, walaupun beberapa kali soalan diumpankan kepadanya untuk berbuat demikian.

Misalnya, ketika ditanya mengapa kerajaan masih menghalang beliau daripada kembali ke tanahair, dengan ringkas Chin Peng menjawab, "saya masih belum membuat permohonan lebih lanjut kepada kerajaan setakat ini, adalah tidak baik dan tidak wajar kalau saya meneka sekarang."

Malah, apabila diasakkan kepadanya kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddn Yassin, "tiada maaf bagimu", Chin Peng sekadar membalas, "saya hanya boleh berkata saya kesal dengan kenyataan ini. Kenyataan sedemikian tidak dapat menyelesaikan masalah."

Baru-baru ini, lawatan Setiausaha Agung Parti Komunis China, Hu Jintao ke Malaysia disambut secara besar-besaran, lantas mencungkil kritikan bahawa kerajaan Malaysia adalah hipokrit kerana mengambil sikap double-standard ketika menangani isu Chin Peng. Namun, Chin Peng tidak berfikir sedemikian, sebaliknya mengharapkan hubungan kerajaan China dengan Malaysia bertambah erat kerana ia memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.

Sudi berjumpa dengan Najib

Wawancara ini disusuli dengan "penerokaan" pelbagai kemungkinan beliau boleh kembali ke Malaysia, misalnya apakah beliau akan cuba berjumpa dengan PM Najib Razak yang bakal melawat Selatan Thai pada bulan depan? Chin Peng menyatakan bahawa dirinya sudi untuk berjumpa dan mengemukakan permohonannya di depan PM ini, namun terpulang kepada Najib untuk memutuskan, sama ada ingin berjumpa dengannya atau tidak.

Malah, ketika ditanya sama ada Chin Peng sanggup menerimanya, jikalau kerajaan Malaysia memberi lampu hijau kepadanya, dengan syarat beliau balik secara senyap-senyap, Chin Peng menjawab, "saya tak kisah (untuk pulang secara senyap-senyap)."

Chin Peng yang tidak menyelindung bahawa dirinya seorang penganut komunisme sehingga hari ini, dan tidak menyesal dengan perjuangannya itu, bagaimanapun tidak menerima jikalau "permohonan maaf secara terbuka"dikenakan sebagai syarat untuk pulang ke Malaysia.

Kenyatan ini mencungkil keraguan jikalau dibandingkan dengan wawancaranya bersama Star, yang disiarkan pada 22 November 2009. Transkrip asal wawancara bersama Star yang dikemaskini oleh pembantu Chin Peng diedarkan untuk menjelaskan konteks kenyataan tersebut dikeluarkan.

Menurut transkrip ini, Chin Peng pada ketika itu menyatakan bahawa beliau sudi meminta maaf (apologize) kepada mangsa dan keluarga mangsa, seandainya "PKM dibuktikan benar-benar membunuh mereka yang tidak berdosa secara berniat", maka beliau sanggup meminta maaf secara terbuka.

Latar belakang Chin Peng

Chin Peng dilahirkan pada tahun 1924 di Setiawan, Perak. Beliau menjadi ahli Parti Komunis Malaya pada tahun 1940, dan menyandang jawatan Setiausaha Agung PKM pada Mei 1947 ketika berusia 23 tahun.

Selepas Rundingan Baling pada tahun 1955, Chin Peng hanya muncul di khalayak umum 34 tahun kemudian, iaitu pada 2 Disember 1989, untuk menandatangani Perjanjian Hadyai bersama kerajaan Malaysia.

Sepanjang 20 tahun ini, Chin Peng pernah ditemuramah BBC, dan Sin Chew Daily pada Mac 1998. Menjelang ulang tahun ke-20 Perjanjian Hadyai, Chin Peng kini menjadi tumpuan media, setelah ditemuramah oleh Malaysian Insider dan Star.

"Saya sanggup korban demi tanahairku.."

Pengganas, atau pejuang kemerdekaan? Identiti Chin Peng begitu kontroversial, dilemparkan dengan pelbagai label dan tuduhan dalam buku teks sejarah Malaysia. Ketika ditanya tentang perjuangan bersenjata, Chin Peng menjelaskan bahawa ianya adalah satu-satu pilihan dalam konteks sejarah pada ketika itu.

Daya ingatan Chin Peng semakin lemah. Beliau tidak ingin mengulas dengan panjang lebar apa yang berlaku pada masa silam. Malah, beliau enggan menilai perjuangannya sendiri, sebaliknya menyerah kepada rakyat Malaysia untuk membuat penilaian terhadapnya.

Suara hati Chin Peng mungkin terdengar seandainya dirujuk kepada bukunya, My Side of History, bab ke-32. Chin Peng meluahkan kerinduan dirinya terhadap Setiawan apabila menulis, "aku tidak merintih dan menyesal, meskipun dalam keperitan semasa zaman perjuangan bersenjata, apatah lagi sekarang?..."

"Kedahagaanku untuk kembali ke tanahair telah aku simpankan. Hanya pada waktu kesepian, ianya akan menjelma dalam ingantanku. Aku akan mulai dari Setiawan, semasa zaman kanak-kanak. Selepas bersembahyang di kubur nenek moyang, aku akan menjenguk sekolah asalku. Kemudian, aku akan berjalan di lorong kampungku, mengimbas persahabatan yang terjalin dahulu..."

"Ingatan ini tidak akan meninggalkanku. Lorong, pohon, rumah dan papan tanda, segala-gala ini memberitahu aku, inilah Malaysia, bukannya tempat lain. Aku dahaga untuk kembali ke ribanya..."

Malah, bukunya mencatatkan pertanyaan berikut, "aku sanggup terkorban demi tanahairku. Mengapa tidak membenarkan aku untuk menjenguknya?"

"Selamat tinggal," Chin Peng

Pada akhir wawancara tersebut, Chin Peng diminta untuk mengungkap sepatah bahasa Melayu yang paling ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia. Setelah merenung sejenak, "Selamat tinggal" terkeluar dari mulutnya.

Wartawan agak terkejut dengan jawapannya. Untuk Chin Peng, selamat tinggal boleh membawa maksud "hidup dengan baik dan selamat", juga boleh memberi makna "selamat jalan".

Dengan terus-terang, dan sambil ketawa, Chin Peng mengakui bahawa usia dirinya telah lanjut dan bakal kembali ke pangkuan Tuhan tidak lama lagi. Walaupun belum sempat kembali ke riba Setiawan, namun "selamat tinggal" pula yang terpaksa diucapkan.

Dengan kata lain, apakah ini juga sebagai petanda seorang bekas pejuang bersenjata meninggalkan sejarah Malaysia, yang pernah dilakari sebahagiannya oleh dirinya?

KPDNKK tubuh skuad pantau peniaga naikkan harga

BERITA HARIAN ONLINE


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperkenalkan empat langkah utama bagi membendung kegiatan peniaga menaikkan harga sewenang-wenangnya sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2009 yang bermula esok.

Ketua KPDNKK Cawangan Langkawi, Azmi Dan, berkata antara langkah terbabit ialah mengarahkan pegawai penguat kuasa mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Langkah lain ialah mewujudkan bilik gerakan untuk membolehkan orang ramai membuat aduan, menghantar pegawai penguat kuasa tambahan serta mengarahkan peniaga supaya akur kepada Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan peniaga mengambil kesempatan dengan kehadiran puluhan ribu pengunjung Lima 2009 yang mula masuk ke pulau bebas cukai itu.

Azmi berkata, pihaknya mengadakan operasi terhadap semua kedai, restoran dan hotel serta chalet bagi mendapatkan senarai caj perkhidmatan dan harga makanan yang ditawarkan kepada pengguna.

"Senarai harga yang kita dapatkan dari peniaga dan pemilik hotel sebelum ini akan digunapakai untuk membuat perbandingan dengan harga yang ditawarkan kepada pengguna sepanjang berlangsungnya Lima 2009.

"Jika ada perbezaan harga atau caj perkhidmatan yang dikenakan, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebuah bilik gerakan bersepadu dibuka di pejabat KPDNKK di Kuah antara 8 pagi dan 10 malam setiap hari mulai hari ini bagi membolehkan orang ramai membuat aduan mengenai kenaikan harga barangan ataupun perkhidmatan.

20 jemaah haji kita meninggal

BERNAMA



JUTAAN Umat Islam sedang mengerjakan Haji di Makkah memenuhi tuntutan Rukun Islam kelima.

Sebab kematian tiada kaitan dengan H1N1

MAKKAH: Seramai 20 jemaah haji Malaysia meninggal dunia pada musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, semalam.

Beliau berkata, jemaah yang meninggal dunia itu disebabkan oleh sakit biasa seperti sakit tua dan bukannya disebabkan oleh jangkitan penyakit berjangkit seperti selsema babi (H1N1).

"Mereka yang meninggal dunia itu ialah 16 lelaki dan empat perempuan yang rata-rata berusia 50 tahun ke atas.

"Jumlah ini sangat minimum jika dibandingkan dengan keseluruhan jemaah haji Malaysia yang berjumlah 26,000 orang.

"Jemaah haji Malaysia tiba di Tanah Suci sejak 20 Oktober lalu," katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini.

Selain itu, Jamil Khir juga berkata empat jemaah haji Malaysia yang sedang menerima rawatan di hospital Arab tidak dapat dibawa ke Arafah pada Khamis kerana berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, katanya lebih 20 pesakit yang dirawat di hospital Tabung Haji di Aziziah dan Sisya dibawa ke Arafah oleh petugas perubatan Tabung Haji dengan ambulans.

Mengenai perkembangan jemaah haji Malaysia, beliau berkata mereka masih berada di Mina dan kebanyakannya telahpun selesai menjalankan ibadah melontar Jamrah dan mereka akan kembali semula ke Makkah untuk mengerjakan tawaf dan sae haji sehari dua lagi.

Menurutnya, bagi jemaah haji yang belum berkesempatan untuk pergi ke Madinah, Tabung Haji akan menguruskan pemergian mereka ke sana setelah semua ibadah haji selesai dilakukan.

Secara keseluruhan, beliau berpuashati dengan operasi musim haji tahun ini yang berjalan lancar.

Mangsa banjir kilat di Jeddah cecah 106

Reuters/AP


PENDUDUK terperangkap dalam banjir yang melanda Jeddah. Jurucakap Arab Saudi berkata, pada 26 November lalu, 77 orang terkorban dalam tragedi banjir yang melanda Jeddah dan persekitaran, ramai lagi yang menghilang. Kebanyakan mereka yang terkorban terperangkap dalam kenderaan dan bas. - Foto AFP

Kebanyakan maut nahas, jambatan runtuh

DUBAI: Angka kematian berikutan banjir kilat melanda bandar pelabuhan Jeddah minggu lalu dilaporkan meningkat kepada 106 orang manakala 1,400 mangsa yang lain diselamatkan pihak berkuasa.

Banjir melanda pelabuhan berhampiran Laut Merah itu Rabu lalu selepas hujan lebat melanda Arab Saudi yang disifatkan paling lebat dalam tempoh beberapa tahun.

Kebanyakan mangsa mati akibat lemas atau terbunuh berikutan jambatan runtuh dan kemalangan kereta.

Pesawat pertahanan awam diterbangkan ke kawasan terjejas untuk mencari lebih banyak mangsa, kata pihak berkuasa Jeddah dalam satu kenyataan kepada Saudi Press Agency (SPA).

Bagaimanapun mereka yang terkorban tidak membabitkan jemaah yang menunaikan haji di Makkah kira-kira 80 km dari Jeddah.

Jeddah adalah pintu masuk utama bagi jemaah haji menunaikan ibadat tahunan berkenaan di negara terbabit.

Akhbar berulang kali menyiarkan laporan mengenai keadaan perairan yang lemah di bandar raya itu menjadi punca kepada masalah terbabit.

Sementara itu di MINA, hampir tiga juta jemaah haji meneruskan melontar jamrah semalam sebelum bergerak ke Makkah hari ini.

Setakat ini, penularan penyakit selesema babi (H1N1) pada perhimpunan besar membabitkan jemaah dari lebih 100 negara itu agak terkawal.

Hanya, 73 kes selesema babi di kalangan jemaah dikesan tetapi pegawai kesihatan memberi amaran virus itu mungkin secara senyap menular di kalangan jemaah dan hanya akan diketahui ketika mereka pulang ke negara masing-masing.

Pegawai Arab Saudi, bersama pakar kesihatan Amerika Syarikat dan antarabangsa berusaha mengehadkan penularan virus H1N1 pada musim haji tahun ini.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah al-Rabeeah, berkata lima orang terkorban akibat virus H1N1 pada musim haji ini.

Beliau berkata, hanya 10 peratus daripada tiga juta jemaah haji didapati menerima suntikan vaksin sebelum berangkat menunaikan ibadat itu, walaupun peringatan diberi mengenai perkara itu.

Pakar kesihatan akan menggunakan pengalaman musim haji tahun ini untuk mengawal penularan selesema itu pada perhimpunan lain seperti pertandingan bola sepak Piala Dunia tahun depan.

Ong tolak tempoh 60 hari

BERNAMA


PRESIDEN MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat (kanan) dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada sidang akhbar di Banggunan MCA, minggu lepas. - Foto Abdullah Yusof

Deklarasi 1128 tak ikut perlembagaan

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, semalam menolak Deklarasi 1128 yang dipersetujui kumpulan penyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kelmarin yang mahu pemilihan semula parti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ong menyifatkan tuntutan deklarasi itu semata-mata mahu pemilihan semula parti itu diadakan segera sedangkan jika ia (pemilihan semula) mahu diadakan, ia perlu mengikut perlembagaan parti dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pusat (CC).

"Adalah penting bagi semua pihak mematuhi perlembagaan parti.

"Jika kita sayang demokrasi dalam MCA, kenalah semua pihak akur kepada amalan atau akur kepada keputusan yang dibuat majoriti ahli CC, takkanlah yang majoriti ini kena tunduk kepada yang segelintir. Itu bukan caranya kita menguruskan parti atau demokrasi parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri jamuan Aidiladha 2009 kawasan Parlimen Pandan di sini, semalam.

Kelmarin, dalam sesi taklimat khas anjuran kumpulan pro Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sebulat suara meluluskan Deklarasi 1128 yang mendesak supaya pemilihan semula diadakan dalam tempoh 60 hari.

Seramai 1,193 perwakilan yang hadir pada sesi taklimat khas itu, bagaimanapun mahu jawatan Ketua Wanita dan Pemuda tidak dipertandingkan.

Liow berkata, hanya dengan pemilihan semula ini dapat mengembalikan demokrasi, maruah dan integriti parti yang kini berhadapan dengan krisis kepemimpinan.

Ong berkata, persoalan sama ada mahu ditunda Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) atau tidak hendaklah dirujuk kepada CC dan setahunya AGM itu akan tetap diadakan pada 5 Disember ini.

Mengenai golongan yang mahu pemilihan baru diadakan untuk ahli CC dan tidak perlu bagi sayap Pemuda dan Wanita, Ong berkata, pemimpin di peringkat akar umbi mahu pemilihan diadakan serentak mengikut perlembagaan parti dan seperti yang dibuat Umno.

Ong mendakwa ketika beliau berada di London baru-baru ini banyak fitnah dilemparkan terhadapnya mungkin kerana ada pihak yang kurang senang dengan tindakannya yang mahu penyelewengan projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disiasat.

Katanya, beliau sedar ada banyak pihak yang mahu menjejas dan menghancurkan kerjaya politiknya tetapi demi untuk kebenaran beliau tidak akan mengalah.

Ahad, 29 November 2009

Untuk Siapa Pembangunan Sebegini ?

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Saya tidak tahu apakah Utusan Malaysia atau mana - mana akhbar berbahsa melayu berminat dengan apa yang mahu saya paparkan di sini setelah isu ini sebenarnya telah berlegar dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina .

2. Harap saya akan ada lah mana - mana akhbar berbahasa melayu sudi menyiarkannya . Paling tidak Utusan Malaysia , memandangkan Utusan Malaysia mempunyai minat tinggi untuk menyiarkan artikel saya mutaakhir ini .

3. Isu yang saya mahu bawa ke tengah ini ialah berkait dengan pembinaan sebuah lagi Pusat Konvensyen [ MATRADE ] dengan keluasan lebih kurang 90.000 meter persegi di atas sebidang tanah seluas 13.1 ekar yang terletak di Jalan Duta Kuala Lumpur . Projek ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM 20 bilion tanpa tender terbuka .

4. Entah apa keperluannya Pusat Konvensyen mewah ini yang sememangnya telah mencetus kesangsian umum , sedang negara telah memiliki beberapa buah pusat yang serupa bertaraf antarabangsa sebelum ini iaitu KL Convention Centre , MINES , Putrajaya [ PICC ] dan juga di Langkawi . Lebih malang saya difahamkan semua pusat konvensyen ini gagal mencapai objektif dan menepati sasaran malah kerajaan pula terpaksa menanggung kerugian .

5. Contoh mudah untuk dilihat ialah bagaimana PICC yang tamat dibina tahun2003 dengan kos RM 600 juta telah menjadi beban kepada kerajaan apabila terpaksa menanggung kos penyelenggaraannya yang mencecah jutaan ringgit lantaran ia amat jarang digunakan . Hanya RM 2.5 juta setahun berjaya dipungut sedang sasarannya RM 3 juta setahun . Saya rasa 200 tahun lagi pun belum tentu kerajaan dapat pulangan modal membina PICC tersebut .

6. Ini sebenarnya satu lagi episod pembaziran dan salah urus kerajaan UMNO dan BN . Ini satu lagi projek kerajaan UMNO dan BN yang memperbodohkan rakyat dengan slogan Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan .

7. Pusat Konvensyen dan Pameran milik MATRADE [ sebuah agensi kerajaan di bawah MITI ] telah dianugerahkan kepada kumpulan NAZA dan ianya telah diumumkan baru - baru ini . Projek ini [ Pusat Konvensyen di Jalan Duta ] jangka siap pada tahun 2013 . Ianya dianugerahkan kepada TTDI KL Metropolis yang juga merupakan anak syarikat kepada NAZA Group .

8. Persoalan yang timbul ialah :

a ] Kerajaan tidak membayar sesen pun kepada NAZA kerana satu deal telah dilakukan antara kerajaan dengan NAZA , dimana NAZA mesti membina Pusat konvensyen bernilai lebih kurang RM 628 juta untuk kerajaan dan sebagai balasannya tanpa perlu kerajaan membayar wang tetapi memberi sebidang tanah yang bernilai tinggi seluas 65.5 ekar pada kadar RM 72 per kaki persegi sama jumlah keseluruhannya ialah RM 197 juta . [ di sini kelihatan seolah - olah NAZA "memberi" kepada kerajaan sebanyak RM 341 juta . Munasabahnya , mana ada syarikat yang sanggup rugi sebanyak itu jika tiada pulangan yang lumayan kepada mereka ? Apakah di sana ada sesuatu yang cuba dirahsiakan dari pengetahuan umum ?

b ] Benarkah kerajaan perolehi untung sebannyak RM 341 juta apabila Pusat Konvensyen ini dibina ? benarkah NAZA hanya mendapat sebidang tanah dengan harga RM 197 juta [ RM 72 sekaki persegi ] ?

c ] Yb. Tony Phua mendedahkan bahawa tanah yang terletak di kawasan Mont Kiara dan Jalan Duta itu terlalu rendah jika dinilai dengan RM 72 sekaki persegi . Anggaran sebenar nilainya ialah RM 350 sekaki persegi dan harga keseluruhannya ialah RM 970 juta bagi tanah seluas 62.5 ekar tersebut . [ bahkan ada penilai yang menilai dengan kadar RM 500 sekaki persegi ]

d ] Ertinya Kerajaan membayar RM 970 juta kepada NAZA untuk projek bina Pusat Konvensyen yang bernilai RM 628 juta itu bukannya RM 197 juta . Ini bermakna NAZA untung RM 342 juta . Sekaligus menjelaskan bahawa Dato' Mustapha Mohamed berbohong apabila menyatakan bahawa kerajaan membina Pusat Konvensyen itu secara percuma . Walhal kerajaan rugi sebanyak RM 342 juta !

9. Ketelusan apakah yang dijanjikan oleh pemerintahan Dato' Najib jika projek sebesar ini dibuat tanpa tender terbuka ? atau di sana terdapat permainan atau skandal sumbang melibatkan kerajaan dengan NAZA yang sebelum ini telahpun mengaut keuntungan puluhan juta melalui penganugerahan AP yang diberi oleh MITI ???

10. Saat negara mengalami iklim ekonomi yang lembab basah , apakah rasionalnya sebuah lagi Pusat Konvensyen mewah dibina dengan kos yang sedemikian tinggi dan kelihatan jelas merugikan kerajaan dan rakyat ? persoalan besar dalam isu yang saya bangkit ini ialah dimana kedudukan rakyat yang didahulukan itu ? atau rakyat yang dikenakan dulu oleh kerajaan UMNO dan BN ??