Rabu, 28 Oktober 2009

Tindakan Sivakumar penderhakaan pada Sultan - Zahid

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Tindakan V.Sivakumar memakai jubah speaker ketika masa rehat persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini adalah satu penderhakaan yang jelas terhadap Sultan Perak.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu tidak boleh diterima dan ia menunjukkan bahawa Sivakumar tidak menghormati undang-undang negeri itu.

"Siapa pun rakyat Perak atau ahli Dewan Undangan Negeri yang mahu mengadakan persidangan atas nama majoriti, atau dalam keadaan apa sekalipun, harus akui undangundang memberi kuasa pada Sultan untuk memperakuinya, jadi jelas bahawa Sivakumar telah melakukan penderhakaan pada Sultan Perak.

"Saya fikir kita tidak boleh bertoleransi lagi dengan perbuatan yang dilakukan oleh Siva dan konco-konconya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata pembangkang mestilah menghormati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini, yang mengutamakan jumlah majoriti dalam membentuk sesuatu kerajaan.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata perbincangan antara Umno dan PAS tidak perlu dilanjutkan atas nama penubuhan kerajaan perpaduan, sebaliknya perlu ada perbincangan berasaskan agenda demi kepentingan bersama yang diadakan secara tidak formal.

"Dalam keadaan sekarang dengan PAS sedang berpecah, ada yang setuju dan ada yang tak setuju dengan kerajaan campuran, cara terbaik ialah kita duduk berbincang bagaimana nak lompat dari kegawatan ekonomi, bagaimana nak wujudkan perpaduan di kalangan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: