Sabtu, 31 Oktober 2009

Demo Pemuda Gerakan kecam MP Seri Gading

Mohd Jimadie Shah Othman


Kira-kira 50 anggota Pemuda Gerakan berdemonstrasi membantah kenyataan ahli parlimen BN Seri Gading Datuk Mohamad Aziz yang meminta presiden parti itu Tan sri Koh Tsu Koon berundur daripada kabinet atas alasan gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Diketuai timbalannya, Oh Teong Keong, mereka berkumpul di lobi bangunan PGRM di Cheras - tempat Gerakan mengadakan persidangan tahunannya.

Mereka turut membawa beberapa sepanduk dan kain rentang, selain melaungkan jeritan anti-Mohamad.

Kumpulan itu menuntut BN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Mohamad kerana didakwa membuat kekacauaan dalam parti sendiri.

Ditemui media selepas demonstrasi itu, Oh berkata, dewan tertinggi BN patut mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat Umno itu.

“Umno dan Gerakan sama-sama parti komponen dalam BN. Mohamad tidak patut mengguris perasaan rakan sendiri.

“Kami harap dewan tertinggi BN dalam mengambil tindakan terhadap beliau,” katanya.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media selepas merasmikan persidangan tahunan sayap Gerakan itu, timbalan presiden parti itu, Datuk Chang Ko Youn meminta ahli parti itu supaya tidak terlalu memikirkan kenyataan Mohamad kerana banyak lagi isu lain yang perlu ditangani.

Bercakap dalam sesi yang sama, ketua wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe pula mengingatkan supaya semua ahli dalam komponen BN tidak mewujudkan persengketaan terbuka sesama parti dalam BN.

“Apa terjadi dalam parti komponen BN akan jejaskan parti lain. Sebagai keluarga besar, tindak-tanduk harus dijaja. Jangan berkelahi secara terbuka,” katanya

Reaksi Dr Koh

Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Koh berkata, beliau tidak tercalar dengan gesaan Mohamad itu.

"Jawapan saya kepada beliau ialah tidak. Itu adalah salah. Kami tidak akan terganggu. Kami komited terhadap apa yang kami mahu lakukan.

"Ini merupakan tempoh yang amat penting di mana kami perlu bekerja bersama-sama," katanya.

Menurut Dr Koh lagi, di bawah kerajaan baru pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berlaku banyak perubahan dan juga cabaran dan seseorang perlu bertanya bagaimana seseorang itu dapat menyumbang kepada proses perubahan itu.

Koh menyifatkan kenyataan Mohamad sebagai "kuasa negatif" dan menegaskan ia bercanggah dengan semangat BN, tetapi menurutnya beliau yakin dengan sokongan semua anggota parti, kuasa positif akhirnya akan mengatasi kuasa negatif itu.

"Sudah tentu, akan ada kuasa negatif yang tidak bersetuju...dalam BN, dalam kalangan parti-parti komponen, malahan dalam Gerakan. Mereka akan terus menyalahkan pihak lain," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Anggota Seumur Hidup Gerakan hari ini.

Tiada ulasan: