Ahad, 27 September 2009

Tolak pendaftaran amalkan kasta

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa menolak pendaftaran persatuan atau pertubuhan yang mengamalkan sistem kasta kerana perbuatan itu boleh menjejaskan semangat perpaduan di kalangan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, tindakan tersebut perlu diambil untuk mengelakkan timbulnya jurang perbezaaan di kalangan kaum di negara ini.

Katanya, sistem kasta sudah tidak relevan lagi pada masa ini kerana ia boleh menyebabkan persefahaman budaya antara rakyat berbilang kaum di negara ini semakin sukar untuk dicapai.

"Terdapat 20 pertubuhan kaum India di negara ini masih mengamalkan sistem kasta yang sepatutnya sudah tidak diamalkan lagi.

"Walaupun kebanyakan ahli dalam pertubuhan tersebut memiliki taraf pendidikan tinggi, tetapi pemikiran mereka masih lagi terperangkap dalam budaya tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Persidangan Perpaduan Tamil Sedunia 2009 kali keenam di Universiti Malaya di sini hari ini.

Persidangan tersebut diadakan untuk membincangkan pencapaian kaum India dalam bidang ekonomi, pendidikan, sukan, budaya dan sastera di seluruh negara termasuk Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Afrika Selatan

Justeru, Murugiah berkata, kementerian akan membincangkan perkara itu terlebih dahulu sebelum mengemukakannya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu, katanya, pemantauan juga perlu dilaksanakan segera oleh pihak kerajaan untuk mengenal pasti persatuan yang masih mengamalkan sistem tersebut serta menghapuskan sebarang pendaftaran berkaitan dengannya.

"Setakat ini, belum ada tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut walaupun kita boleh mengenal pasti menerusi nama-nama pertubuhan terbabit," jelasnya.

Beliau berkata, orang ramai perlu diberi kesedaran dengan memberikan pendedahan beberapa program dan aktiviti yang menekankan kepentingan hubungan persaudaraan.

Sementara itu, Murugiah memberitahu, beliau bersama para penyokongnya bertegas tidak akan membentuk parti baru kerana dikhuatiri akan memecah-belahkan perpaduan kaum India.

Berhubung masa depannya, beliau kini masih belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Tiada ulasan: