Isnin, 28 September 2009

SPRM gagal dalam cubaan tangguh inkues

BERNAMA


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal dalam cubaannya untuk menangguhkan prosiding inkues kematian seorang pembantu politik, Teoh Beng Hock, selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan supaya ia diteruskan.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, yang mengetuai panel yang terdiri daripada Datuk K.N. Segara dan Datuk Ramly Ali berkata mahkamah tidak berhasrat untuk mengganggu prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan SPRM boleh terus memanggil lain-lain saksi.

Terdahulu timbalan pendakwa raya C.K. Wong yang mewakili SPRM memohon penangguhan sementara inkues itu sementara menunggu keputusan rayuan SPRM terhadap keengganan Mahkamah Tinggi Petaling Jaya membenarkan permohonannya bagi mengenepikan keterangan seorang saksi T. Sivanesan, yang mendakwa beliau didera dan diseksa oleh pegawaipegawai SPRM semasa disoal siasat tahun lepas.

Low berkata mahkamah juga akan mendengar kedua-dua perkara bersama memandangkan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Petaling Jaya masih belum disiapkan.

"Pendaftar mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar keduadua perkara bersama. Pendaftar juga akan menulis kepada setiausaha Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi untuk kenyataan sebab penghakiman, supaya ia disediakan dengan kadar segera," katanya.

Sivanesan sudah memberi keterangannya sebelum ini, namun beliau masih belum disoal balas oleh SPRM.

Inkues ditetapkan esok untuk mendengar keterangan daripada lain-lain saksi.

Pada 10 September, Pesuruhjaya Kehakiman Datin Yeoh Wee Siam mengenepikan permohonan SPRM untuk semakan semula selepas memutuskan bahawa tiada apa yang menyalahi undang-undang, yang tidak betul atau tidak kena, dalam tindakan koroner membenarkan Sivanesan memberi keterangan pada inkues itu.

Beliau turut menolak permohonan SPRM untuk penangguhan.

Pada 9 September koroner Azmil Muntapha Abas berhujah bahawa laporan polis yang dibuat oleh Sivanesan pada 11 September tahun lepas yang mendakwa beliau didera dan diseksa oleh sekumpulan pegawai SPRM, adalah berkaitan bagi membantu inkues dalam menentukan punca kematiah Teoh.

Beliau kemudiannya membenarkan Sivanesan untuk memberi keterangan dan menerima laporan polis bersama dengan satu set gambar yang dikemukakan di mahkahmah yang dikatakan memaparkan kecederaan sebagaimana yang didakwa.

Ekoran keputusan itu SPRM menfail semakan semula keputusan koroner.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penylahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo mewakili keluarga Teoh, manakala peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Azmah Yunus bagi kerajaan Selangor.

Tiada ulasan: