Ahad, 27 September 2009

Rumah Pengerusi DAP Sarawak dibaling bahan letupan

BERNAMA


SIBU: Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dikejutkan dengan penemuan bahan letupan bunga api yang gagal meletup yang ditemui di perkarangan rumahnya kira-kira pukul 7 pagi tadi.

"Bahan yang ditemui itu mampu menghasilkan letupan yang kuat dan memekakkan telinga, malah lebih berbahaya daripada bom botol (molotov cocktail)," katanya kepada pemberita di rumahnya di Jalan Ipoh di sini.

Wong yang juga seorang peguam dan anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek berkata beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Saya tidak pernah menyangka saya menjadi sasaran sebegini. Polis ada bertanyakan sama ada saya ada musuh, secara jujur adalah mustahil bagi seorang ahli politik tidak mempunyai musuh politik," katanya.

Beliau percaya bahan letupan itu dilempar ke perkarangan rumahnya selepas pukul 1 pagi kerana beliau tidak melihat apa-apa sebaik pulang daripada menghadiri satu majlis kira-kira pukul 12 tengah malam.

"Saya bersyukur kepada tuhan ia tidak tidak meletup walaupun ia sudah dibakar," katanya.

Beliau berkata ini bukan kejadian pertama ahli politik DAP di negeri itu menjadi sasaran sedemikian.

"Baru-baru ini bom botol telah dilempar ke perkarangan rumah anggota Parlimen Bandar Kuching dari DAP, Chong Chieng Jen.

"Saya mengutuk perbuatan keji ini," katanya.

Tiada ulasan: