Rabu, 30 September 2009

ISA: Suaram gesa Dr M minta maaf pada rakyat M'sia

MALAYSIA KINI


Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai tidak bertanggungjawab.

“Mantan perdana menteri nampaknya tidak menyedari realiti bahawa rakyat Malaysia menentang keras ISA dan mereka mahu ianya dihapuskan segera,” kata Penyelaras Suaram, Nalini E, dalam satu kenyataan hari ini..

“Ini telah dinyatakan dengan jelas kepada kerajaan apabila ribuan rakyat mengadakan perhimpunan pada 1 Ogos lalu menuntut supaya ISA dihapuskan.

“Kami ingin mengingatkan mantan perdana menteri itu bahawa gesaannya supaya ISA dikekalkan, sudah tidak lagi relevan dan rakyat Malaysia sudah sedar dan beliau tidak boleh memanipulasi realiti seperti ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu.

“Tidak ada ruang lagi bagi akta itu disemak atau dipinda. Sebaliknya, ISA seharusnya dimansuhkan tanpa lengah-lengah lagi. Mengamalkan tindakan menangkap dan menahan tanpa bicara mengikut undang-undang yang digubal untuk menangani darurut beberapa dekat yang lalu, hanya mengaibkan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Menurut Nalini, Suaram juga mengutuk justifikasi yang dibuat oleh Dr Mahathir mengenai sebab beliau menahan 107 orang di bawah ISA dalam “Operasi Lalang” pada 1987.

Tahanan tanpa bicara

Oleh itu, katanya, Suaram menggesa Dr Mahathir supaya memohon maaf kepada semua tahanan terbabit yang ditangkap dan ditahan di Kamunting tanpa bicara selama dua tahun.

“Menahan seseorang di bawah ISA yang membenarkan tahanan tanpa bicara, sama ada terhadap pemimpin pembangkang, Umno atau sesiapa sahaja, adalah tidak adil.

“Ianya bertentangan dengan deklarasi sejagat hak asasi manusia, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan juga kebebasan asas hak asasi manusia.

“Membuat kenyataan terbuka untuk menjustifikasikan penggunaan ISA yang melanggar hak ramai orang sewaktu “Operasi Lalang”, menunjukkan betapa kejam dan tidak bertamadunnya beliau sebagai seorang pemimpin. Sampai sekarang pun beliau tidak menghormati kedaulatan undang-undang,” dakwa Nalini.

Menurutnya, Suaram juga ingin menegaskan bahawa sejak penggubalan ISA pada 1960, kesemua perdana menteri telah menggunakan ISA untuk menutup mulut lawan politik Umno.

“Dr Mahathir adalah antara perdana menteri yang menggunakan ISA secara meluas terhadap rakyat Malaysia selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri.

“Beliau telah menahan lebih 2,000 orang di bawah ISA, termasuk bekas timbalan perdana menteri yang juga pemimpin pembangkang sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gesaan pada Najib

“Ini merupakan satu 'rekod prestasi' yang mengaibkan dan tidak seharusnya dibanggakan!,” kata Nalini

Sehingga saat ini, tambahnya, tahanan ISA terus tertakluk kepada tahanan tanpa bicara, deraan fizikal dan layanan buruk serta tanpa sebarang semakan yang berkesan terhadap kewajaran mereka ditahan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak sepatutnya mengikut jejak langkah bekas kesemua perdana menteri sebelumnya.

“Datuk Seri Najib seharusnya melangkah keluar dari kecenderungan kerajaan authoritarian sebelum ini dan menamatkan amalan menahan suspek tanpa bicara.

“Jika perdana menteri serius dengan slogannya, “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, maka beliau hendaklah memansuhkan ISA dan membebaskan rakyat Malaysia daripada kekejaman ISA,” katanya.

Tiada ulasan: