Ahad, 27 September 2009

Cabaran letak jawatan isu lama yang tidak perlu dilayan - Nik Aziz

BERNAMA


KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cabaran anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, supaya beliau meletakkan jawatan sebagai isu lama yang tidak perlu dilayan.

Mursyidul Am PAS itu berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir Kelantan selepas memenangi pilihan raya umum 1990.

Banyak perubahan daripada segi pembangunan telah dilaksanakan di Kelantan, termasuk di daerah-daerah terpencil seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli, katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri PAS di perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke1V, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ibrahim semalam yang mencabarnya meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar dan juga atas alasan beliau sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Cabaran Ibrahim itu adalah sebagai susulan kepada desakan Menteri Besar itu supaya anggota Parlimen Pasir Mas itu melepaskan jawatan ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket PAS.

Nik Abdul Aziz berkata faktor tua bukan menjadi penghalang seseorang daripada menjadi pemimpin politik.

"Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katanya.

Tiada ulasan: