Isnin, 31 Ogos 2009

SPRM Selangor nafi dakwaan dera

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, semalam membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan berlakunya serangan fizikal dan mental terhadap saksi atau suspek yang disiasat olehnya.

Pengarah SPRM negeri, Jaafar Mahad, berkata laporan polis itu dibuat apabila peguam pemerhati keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo membangkitkan isu berkenaan dalam prosiding inkues kematian Teoh.

“Suspek ataupun saksi, Faizal Rizal dan Rosman mengatakan mereka didera fizikal dan mental seperti yang dibangkitkan oleh Gobind adalah satu fitnah.

“Tuduhan itu dibuat dengan harapan mahkamah menolak pengakuan yang sudah dibuat oleh mereka kepada SPRM Selangor sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jaafar berkata, tuduhan itu tidak berasas kerana pegawai yang dimaksudkan oleh kedua-dua saksi atau suspek itu tiada di pejabat, selain tidak terbabit dalam siasatan kes berkenaan.

“Pegawai saya juga mengesahkan bahawa beliau hanya berperanan menghantar suspek keluar dan masuk lokap saja.

“Saya percaya fitnah ini untuk menyelamatkan suspek apabila kesnya dibawa ke mahkamah nanti,” katanya.

Tiada ulasan: