Isnin, 31 Ogos 2009

Peruntukan RM158j tingkat kemudahan, alat di hospital

Oleh Syuhada Choo Abdullah


KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan peruntukan tambahan kecemasan sebanyak RM158 juta bagi meningkatkan kemudahan dan alat perlindungan kesihatan di hospital kerajaan seluruh negara untuk menangani penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah meningkatkan kemudahan di semua hospital kerajaan itu, termasuk menambah bilangan katil dan wad unit rawatan rapi (ICU), di samping tumpuan kepada keperluan alat perlindungan kesihatan untuk doktor dan juga jururawat.

“Ketika ini, ada kira-kira 350 katil dalam ICU di semua hospital kerajaan dan bilangan itu akan ditambah 350 katil lagi. Semua usaha ini akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Laporan akhbar semalam memetik Liow sebagai berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya lebih banyak katil ditempatkan dalam ICU kerana di sesetengah hospital kerajaan wad ICU terlalu sesak.

Akhbar semalam juga melaporkan WHO menerima laporan kemunculan virus H1N1 jenis teruk yang terus menyerang paru-paru menyebabkan penghidapnya sakit tenat dan perlu menjalani rawatan mahal di hospital.

Virus jenis teruk itu turut dilaporkan boleh menyebabkan pesakit muda yang tidak mempunyai masalah kesihatan, jatuh sakit tenat.

Mengulas lanjut, Liow berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan kumpulan pakar utama melakukan kajian serta pemantauan rapi bagi menentukan sama ada genetik virus H1N1 di negara ini sudah bermutasi atau berubah.

“Setakat ini, masih virus H1N1 yang sama dan Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya virus jenis teruk itu tidak menular ke negara kita,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr David Quek Kwang Leng, berkata hospital swasta juga sedang berusaha meningkatkan bilangan katil dalam ICU masing-masing.

“Penyediaan kemudahan di ICU sebenarnya membabitkan kos yang tinggi. Justeru, ketika ini, rata-rata hospital besar hanya mempunyai antara 10 hingga 20 katil dalam ICU masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan: