Sabtu, 29 Ogos 2009

Ong jelajah perjelas penyingkiran Chua

MALAYSIA KINI


Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat akan menjelajah ke seluruh negara untuk menerangkan kepada pemimpin dan anggota akar umbi parti itu mengenai penyingkiran timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Meng berkata lawatan seperti itu telah dimulakan semalam, dua hari selepas Dr Chua yang juga bekas menteri kesihatan disingkirkan daripada parti tersebut.

"Beliau berada di Johor semalam dan Pulau Pinang esok, dan diikuti dengan negeri-negeri lain di mana Ong akan menerangkan kepada pemimpin dan anggota akar umbi mengenai keputusan yang diambil (oleh Majlis Presiden untuk menyingkirkan Dr Chua)," kata Wong kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat kira-kira tiga jam di Wisma MCA di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Mesyuarat tertutup itu dipanggil oleh Ong untuk memberikan taklimat kepada pengerusi MCA negeri mengenai penyingkiran Dr Chua tersebut.

Ia dihadiri oleh kira-kira 100 pemimpin parti kebangsaan dan negeri termasuk pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun, Tan Sri Tee Hock Seng (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Yeow Chai Thiam (Negeri Sembilan), Datuk Wong Foon Meng (Selangor), Datuk Seri Liow Tiong Lai (Pulau Pinang) Datuk Seri Kong Cho Ha (Perak) dan ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong.

Tiada ulasan: