Isnin, 31 Ogos 2009

MB Selangor kutuk tindakan hina agama, timbulkan kemarahan kaum lain

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Kerajaan Selangor semalam mengecam dan kesal terhadap tindakan provokatif sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan penganut agama lain yang diapi-apikan oleh segelintir kumpulan pembantah yang berarak membawa kepala lembu sebagai tindakan membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, di sini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ketika rakyat negeri itu sedang bersiap-sedia untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52, sikap tidak bertolak ansur terhadap agama orang lain yang masih w:ujud dalam kalangan segelintir warganegara Malaysia itu amat dikesali.

:"Tindakan menghina agama orang lain itu menyebabkan seluruh negara ini dilihat undur ke belakang dalam usaha mewujudkan rasa hormat terhadap kepelbagaian agama dan adat resam dalam kalangan penduduk pelbagai keturunan.

"Walhal usaha tersebut sebenarnya sudah dilakukan sejak kemerdekaan tahun 1957 lagi, demi pembinaan satu negara bangsa yang memperlihatkan persamaan visi dan identiti," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri berharap semua rakyat supaya bersikap matang dan tidak mudah terpengaruh dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pembantah tersebut kerana ia dikhuatiri boleh mewujudkan ketegangan antara kaum.

"Dalam hal ini, walaupun kita wajar mengecam tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut, namun kita lebih baik menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan.

"Se:hubungan itu, Kerajaan Negeri meminta supaya pihak polis segera mengambil tindakan secara adil dan melakukan penyiasatan termasuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengugut pemimpin Kerajaan Negeri," katanya.

:Katanya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan supaya mengadakan perbincangan terbuka Sabtu depan bersama penduduk sebenar Seksyen 23, pegawai-pegawai MBSA dan pegawai-pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).:

:Beliau berkata, perbincangan itu nanti bukan sahaja mendengar luahan pendapat masyarakat setempat tetapi juga memberikan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk menjelaskan fakta sebenar dan alasan yang menyebabkan keputusan menempatkan semula kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23.

"Sementara menunggu tarikh perjumpaan tersebut, Kerajaan Negeri menggesa supaya penduduk Seksyen 23 bertenang dan tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi fakta-fakta tidak benar yang sengaja diapi-apikan kumpulan berniat jahat terhadap keharmonian rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor.

"Marilah kita memelihara sikap bertimbang rasa, rasional dan hormat-menghormati kerana inilah cara terbaik menyelesaikan hal ini," kata Khalid dalam satu kenyataan semalam.

Tiada ulasan: