Isnin, 31 Ogos 2009

Jual 2kg gula kepada pengguna: Ismail Sabri

SINAR HARIAN ONLINE


BERA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah meminta pekedai supaya mengehadkan penjualan gula kepada dua kilogram sahaja kepada setiap pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut adalah bagi mengelak pengguna membeli barang keperluan itu secara panik dan berlebihan sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Bagaimanapun, katanya, bekalan gula di seluruh negara sebenarnya adalah lebih daripada mencukupi tetapi oleh kerana sikap pengguna maka berlaku kekurangan bekalan di beberapa kawasan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Nur Hidayah dan Tadarus Al-Quran, anjuran Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Parlimen Bera di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, semua cawangan Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan di negeri dan daerah diarah supaya menyedia senarai pendek simpanan bekalan gula bagi mengatasi masalah kekurangan gula di kawasan masing masing.

Beliau berkata, menerusi cara berkenaan, ianya secara tidak langsung membolehkan bekalan gula dapat dihantar segera kepada pekedai dan peniaga yang menghadapi masalah bekalan gula itu di musim perayaan ini.

Sementara itu Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan melakukan pemeriksaan berterusan terhadap bekalan gula di premis perniagaan termasuk kedai runcit dan pasar raya.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya, Iskandar Halim Sulaiman berkata, bermula pagi semalam, anggota penguatkuasanya mengedarkan 1,000 kilogram bekalan gula kepada 14 peruncit sekitar Putrajaya sebagai bekalan tambahan.

Pemeriksaan itu dilakukan bagi memastikan bekalan gula mencukupi untuk keperluan orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri akan datang.

“Kami telah mengedarkan 500 kilogram gula kepada peruncit dan selebihnya kami habiskan pengedarannya menjelang tengah hari,” katanya.

Tiada ulasan: