Ahad, 30 Ogos 2009

Hanya 2 kilogram gula untuk setiap pembeli: Ismail Sabri

BERNAMA


BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sudah meminta pekedai supaya mengehadkan penjualan gula kepada dua kilogram saja kepada setiap pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah tersebut adalah bagi mengelak pengguna membeli barang keperluan itu secara panik dan berlebihan sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Bagaimanapun, katanya, bekalan gula di seluruh negara sebenarnya adalah lebih daripada mencukupi tetapi oleh kerana sikap pengguna maka berlaku kekurangan bekalan di beberapa kawasan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Nur Hidayah dan Tadarus Al-Quran, anjuran Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Parlimen Bera di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semua cawangan Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan di negeri dan daerah diarah supaya menyedia senarai pendek simpanan bekalan gula bagi mengatasi masalah kekurangan gula di kawasan masing masing.

Beliau berkata, menerusi cara berkenaan, ianya secara tidak langsung membolehkan bekalan gula dapat dihantar segera kepada pekedai dan peniaga yang menghadapi masalah bekalan gula itu di musim perayaan ini.

Tiada ulasan: