Isnin, 31 Ogos 2009

‘Guna saluran betul bantah cadangan bina rumah ibadat’

BERITAHARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, menasihati penduduk Seksyen 23, Shah Alam, Selangor, menggunakan saluran yang betul apabila membuat bantahan mengenai cadangan pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman di kawasan itu.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mahu kejadian yang berlaku di Kampung Rawa di sini, pada 1998 berulang kerana walaupun keadaannya berbeza tetapi sikapnya adalah sama.

Semua pihak perlu bersikap 1Malaysia dan kita semua ada masalah, tetapi setiap masalah ada penyelesaiannya, malah ia perlu dilakukan secara rundingan.

"Jangan menolak rundingan dan jangan timbulkan sesuatu isu berkaitan agama kerana ia boleh melukakan perasaan pihak tertentu dan merumitkan keadaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pulau Pinang di sini, semalam.

Di KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkata tindakan kumpulan yang mengadakan bantahan dengan mengarak lambang berkaitan agama tindakan luar biasa.

Beliau berkata, sebelum ini sebarang bantahan disalurkan melalui pihak berwajib seperti wakil penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Selangor dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan segera bagi mengelak menjadi lebih teruk.

“Banyak undang-undang yang boleh mengawal ketenteraman awam dan memastikan tiada pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dengan sengaja menyentuh sensitiviti agama masyarakat lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas, berkata tindakan undang-undang termasuk menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dikenakan terhadap pihak yang sengaja menyentuh sensitiviti agama lain.

“Kalau perlu guna ISA, kalau mereka tidak berhenti melakukan tindakan tidak bertanggungjawab, ia akan menggugat keselamatan negara,” katanya.

Ini bukan budaya kita, ini budaya baru yang amat berbahaya dan amat sensitif kerana negara kita adalah negara berbilang kaum dan agama.

“Kerajaan Selangor mesti menyelesaikan masalah dan jangan menuding jari kepada Kerajaan Pusat kerana mereka sudah menerima mandat daripada pengundi,” katanya.

Tiada ulasan: