Sabtu, 29 Ogos 2009

Exco wajib pelajari 4 bahasa

Oleh Nurhayati Abllah


IPOH: Semua barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri diwajibkan mempelajari empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil bagi memudahkan komunikasi bersama rakyat selain menyelami permasalahan sebenar pada peringkat akar umbi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pelaksanaan itu sudah dimulakan sejak dua minggu lalu dan semua Exco dan pegawai kanan berkenaan sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Penguasaan empat bahasa itu penting bagi meningkatkan kemahiran bahasa di kalangan Exco dan pegawai kerajaan negeri yang berhubungan secara langsung dengan rakyat.

"Kumpulan berkenaan (Exco dan pegawai kerajaan negeri) sentiasa berdepan dengan rakyat berbilang bangsa di negeri ini dan mereka bertanggungjawab menyalurkan sebarang maklumat kerajaan kepada masyarakat.

"Jika mereka tahu menggunakan empat bahasa utama itu dengan baik, ia memudahkan komunikasi sekali gus membantu menangani sebarang situasi tertentu terutama majlis atau program yang dikendalikan pelbagai kaum," katanya di sini, semalam.

Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Syarahan Tiga Bahasa (Melayu/Inggeris/Cina) Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Cina Perak, di Dewan Sekolah Menengah Poi Lam (Suwa), Pengkalan, di sini.

Pertandingan itu disertai 52 sekolah seluruh negara dengan penyertaan 104 peserta. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon serta Yang Dipertua Gabungan Persatuan-Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Cina Perak, Lee Kam Ching.

Terdahulu dalam ucapannya, Zambry turut mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30,000 bagi menjayakan penganjuran pertandingan itu.

Zambry berkata, kerajaan negeri sudah menyediakan bilik khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan negeri dan guru terlatih yang akan mengajar sekurang-kurangnya dua jam setiap Selasa, dua kali sebulan.

"Mereka akan mempelajari teknik menggunakan empat bahasa berkenaan, sekali gus menguasai bahasa itu dengan baik. Pada masa sama, kerajaan negeri turut memperuntukkan elaun insentif kepada peserta yang terbabit dalam program itu," katanya.

Beliau berkata, selain Exco, program itu juga akan diteruskan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai kerajaan lain kerana mereka juga bertanggungjawab sebagai individu yang sering berdepan dengan rakyat.

"Bagaimanapun, ia akan dilakukan secara berperingkat selepas pelaksanaan program itu berjalan lancar.

"Kita tidak boleh menjangkakan semua Exco yang terbabit dalam program itu dapat menguasai sepenuhnya empat bahasa berkenaan, tetapi sekurang-kurangnya mereka boleh menggunakan bahasa itu untuk berkomunikasi bersama rakyat," katanya.

Tiada ulasan: