Isnin, 31 Ogos 2009

Catatan fasa dua Ramadan dan permainan perkauman BN yang berbahaya

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Ramadan sudah melewati fasa 10 hari kedua, yang dijanjikan keampunan (maghfirah), selepas Allah melimpahkan rahmat, sebelum "pembebasan dari api neraka".

Bagi yang alpa-leka dan mensesiakan tempoh satu pertiga Ramadan yang berlalu itu, masa belum terlambat untuk kembali merebut peluang keemasan, yang tentunya tidak dapat dipastikan akan berulang pada tahun depan.

Perhatikan di sekeliling, mungkin ada anggota keluarga atau rakan taulan yang bersama-sama menikmati juadah berbuka tahun lalu, bertarawikh dan bertadarus, tetapi kini sudah menghadap Ilahi.

Madrasah Ramadan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Ramadan juga mendidik jiwa menjernihkan hati, menyantuni golongan fakir, mengasihi orang tua, menyuburkan sifat pemurah, meluhurkan tekad, mengikis budaya tamak-haloba.

Ramadan turut mendorong dan menyemarakkan semangat jihad, mengangkat martabat umat, meninggikan darjat agama dan bersedia mengorbankan kepentingan diri.

Masya-Allah, sungguh luarbiasa bulan istimewa ini. Pastikan anda dan saya dapat memanfaatkan setiap detik di dalamnya untuk beribadah setulus dan seikhlasnya.

II.

Agak berang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Seri Ahmad Said Hamdan dengan pelbagai kritikan yang dihamburkan kepada badan berkenaan terutama berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock.

Wibawa SPRM dipersoal oleh setiap lapisan masyarakat. Ia bagai diasak kiri dan kanan, depan dan belakang, atas dan bawah. Malah, dalam inkues yang berjalan, publik didedahkan dengan gelagat pegawainya yang mencurigakan.

Sebagai orang yang pernah berurusan dengan SPRM (dulunya BPR), ia tambah meneguhkan keyakinan saya bahawa badan itu perlu direformasi besar-besaran sebelum dapat melaksanakan misi unggul membanteras rasuah.

Syarat utama, pecat semua pegawai kanannya yang bukan saja dilihat bersekongkol dengan pemerintah tetapi lebih buruk lagi, "memperdagangkan" laporan rasuah demi mengejar habuan lumayan.

Mana mungkin korupsi dapat dibanteras jika, misalnya, SPRM hanya ghairah dengan kes peruntukan Dun Selangor tetapi berdiam diri apabila TPM mengaku menggunakan helikopter Nuri milik TUDM untuk merasmikan mesyuarat agung Umno Penampang, 16 Ogos lalu. Senarai kes "pilih bulu" ini terlalu panjang untuk dibutirkan.

Seperti ditegaskan Prof Abd Rahman Embong dalam Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas, semua jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri dan merogol mempunyai mangsa yang jelas, kecuali rasuah. Ia suatu jenayah yang cukup kompleks dan usaha menanganinya rumit sekali.

Justeru, bagi Alatas, sebarang perubahan struktural dan perundangan dalam pentadbiran pemerintah bagi tujuan menangani rasuah hanya akan berjaya sekiranya terdapat sekumpulan individu yang berprinsip tinggi dan teguh menduduki jawatan utama yang penting bagi kejayaan misi pencegahan rasuah.

III.

Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir memang mengecewakan Umno pimpinan Najib Razak. Harapan untuk melihat momentum Manek Urai berjangkit ke Permatang Pauh, kubu Anwar Ibrahim, berkecai.

Trend mengundi Mac 2008 masih tidak berubah. Meskipun Umno bermain dengan bahaya api perkauman, seperti ditonjolkan melalui Utusan Malaysia, pengundi Melayu di kawasan bandar dan pinggir kota khususnya, tetap menolak BN, manakala masyarakat bukan Melayu makin menjauhkan diri, apatah lagi parti komponen seperti MCA bergolak dahsyat.

Terbaru isu kuil Hindu dan perarakan kepala lembu di Shah Alam pasti membuatkan pengundi India (yang pada awalnya seperti ada sebahagian daripadanya mahu kembali kepada BN) semakin dekat dengan siapa saja yang berseteru politik dengan Umno-BN.

Presiden PAS menyifatkan pengundi bermaklumat, seperti di Permatang Pasir, lebih cenderung untuk bersama Pakatan Rakyat. Mereka membuat keputusan untuk mengundi seseorang calon berdasarkan ilmu dan kefahaman.

Namun segalanya tidak mudah buat Pakatan. Pengundi Melayu harus lebih dijinakkan, terutama untuk mendekati PAS. Selagi PAS belum dapat menembusi kubu Umno, agak sukar BN ditumbangkan di peringkat pusat.

Dalam negara yang majoriti penduduknya Melayu-Muslim maka peneraju Pakatan harus datang dari parti Melayu-Muslim juga. Sentimen perkauman sempit yang dimarakkan sekarang memang boleh menjerat Umno, namun PAS harus segera bingkas memperlihatkan keupayaannya untuk memimpin perubahan.
Pengundi Melayu bukannya terlalu sukar untuk menolak Umno tetapi mereka mungkin lebih selesa untuk menunggu isyarat jelas daripada PAS dahulu ...

Tiada ulasan: