Isnin, 31 Ogos 2009

Briged Amal Edar 1,500 Paket Bubur Lambuk Sekitar Klang

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Sajian bubur lambuk bukan sahaja mendapat sambutan orang ramai sepanjang bulan Ramadhan, malah pelbagai pihak juga tampil menghulurkan sumbangan bagi menjayakannya.

Tidak ketinggalan Briged Amal Selangor, sebuah pertubuhan sukarelawan di bawah SPIES hari ini mengadakan program memasak dan mengedarkan bubur lambuk di sekitar daerah Klang.

Program ini merupakan kali kedua diadakan di DUN Selat Klang, sejak Ramadan tahun lalu yang melibatkan lebih 700 sukarelawan di setiap daerah di negeri Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Masak dan Edar Bubur Lambuk di Pejabat Khidmat DUN Selat Klang, petang tadi.

Seawal jam 9 pagi, Briged Amal yang diketuai Pengarahnya, Azri Mohamad Arish sudah memasak dan menyediakan bubur lambuk sebelum diedarkan kepada penduduk setempat Selat Klang sesudah waktu Asar.

Usaha Briged Amal ini tidak terhenti setakat di Selat Klang, malah mereka juga bakal menganjurkan program seumpama ini di daerah-daerah lain seperti di Sabak Bernam yang melibatkan lebih 30 keluarga dan akan dinamakan sebagai “Singgah Iftal”.

Antara kawasan yang diedarkan bubur lambuk petang tadi ialah di Balai Bomba Klang, Ibu Pejabat Polis Klang, Cawangan Trafik IPPD Klang serta pengguna Lebuhraya Persekutuan di Tol Sungai Rasah.

Tiada ulasan: