Sabtu, 29 Ogos 2009

Bilik gerakan aduan gula kurang dibuka

Oleh Nazura Ngah, Asrol Awang dan Roselan Ab Malik


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuka bilik gerakan di setiap negeri bagi memudahkan pengguna membuat aduan dan mengemukakan maklum balas mengenai bekalan gula.

Kementerian dalam kenyataannya di sini, semalam memberitahu bilik gerakan itu mula beroperasi jam 8 pagi dan berakhir antara jam 8 hingga 10 malam.

Pengguna boleh menghubungi bilik gerakan Putrajaya di talian 03-88826085, manakala Perlis (04-9795014), Pulau Pinang (04-2616167/6168), Kedah (04-7001745), Perak (05-2493403), Selangor (03-55125485), Wilayah Persekutuan (03-40454471), Melaka (06-2883002), Negeri Sembilan (06-6016509), Johor (07-2272811/2833), Pahang (09-5121234), Terengganu (09-6204700/693), Kelantan (09-7416000), Sarawak (082-466052) dan Sabah (088-484500).

Di KUANTAN, Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) mengesan ada individu yang menyimpan gula antara 15 hingga 20 kilogram di rumahnya kerana panik dan bimbang bekalan gula akan kehabisan menjelang Aidilfitri ini.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd Firdaus Abdullah, berkata siasatan mendapati mereka berbuat demikian kerana bimbang harga gula akan naik jika permintaan melebihi penawaran.

Beliau berkata, pengguna tidak perlu berbuat demikian kerana kerajaan sudah memberi jaminan bekalan gula sempena musim perayaan ini mencukupi dan harganya RM1.45 kilogram kekal.

"Tindakan sedemikian jelas membuktikan bahawa pembelian panik hanya merugikan pengguna sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan gula terutama di kawasan luar bandar. Justeru, saya meminta pengguna tidak perlu lagi membuat stok bekalan masing-masing melebihi penggunaan sepatutnya.

"Kerajaan sudah memberi jaminan akan memastikan bekalan barang keperluan berkenaan sentiasa berada di pasaran dan segala masalah boleh merujuk kepada KPDNKK," katanya selepas melancarkan kempen `Kurangkan Gula' anjuran PPPM peringkat Kebangsaan di sebuah pasar raya besar di sini, kelmarin.

DI JERANTUT, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Fong Koong Fuee, berkata KPDNKK memberi jaminan bekalan gula sempena musim perayaan ini mencukupi.

Tiada ulasan: