Ahad, 30 Ogos 2009

Antara konflik MCA, penyelewengan PKFZ

Oleh Jamhariah Jaafar (BH)


KEMELUT melanda MCA meledak semula apabila Majlis Presiden parti itu membuat keputusan memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Pemecatan itu berlaku ketika Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat sendiri menghadapi tuduhan menerima peruntukan RM10 juta daripada syarikat yang menguruskan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang penuh kontroversi.

Alasan Ong ketika mengumumkan pemecatan yang berkuat kuasa serta-merta ialah kerana skandal Dr Chua itu memberi imej buruk kepada parti.

Pemecatan itu hanya berlaku selepas hampir dua tahun skandal itu berlalu selepas Dr Chua sendiri secara sukarela meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2 Januari, 2008. Beliau dipilih semula sebagai Timbalan Presiden parti pada pemilihan lalu. Hanya sekarang pengurusan tertinggi MCA membuat keputusan bahawa perangai Dr Chua itu mengaibkan parti.

“Kami membuat keputusan ini dengan hati yang berat selepas memberi pertimbangan serius terhadap kerosakan yang terpalit kepada imej parti, disebabkan skandal seks yang ada dalam DVD terbabit,” kata Ong ketika mengumumkan keputusan itu. Dr Chua boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari, tetapi perlembagaan MCA tidak membenarkan keputusan terbabit dicabar di mahkamah.

Banyak yang boleh diperkata mengenai Dr Chua, seorang doktor perubatan yang mempunyai klinik di Batu Pahat yang sering tidak menerima bayaran daripada pesakitnya dan disayangi bekas pengundinya di kawasan Parlimen Labis.

Beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Johor selama tiga penggal sejak 1990, sebelum ke Kerajaan Pusat dan memegang jawatan sebagai Menteri Kesihatan pada 2004 sehingga secara sukarela meletak jawatan selepas skandal seksnya terbongkar, pada 2 Januari, 2008.

Dr Chua boleh dianggap sebagai satu-satunya tokoh politik negara ini yang mengaku salah serta meletak jawatan secara sukarela selepas terbabit dalam skandal yang mengaibkan kerajaan, parti komponen BN dan parti MCA sendiri.

Beliau meluahkan kekecewaan di blognya, http://drchua9.blogspot.com: “Hari ini (semalam), saya tidak mempunyai parti. Saya berkhidmat sebagai pengerusi bahagian sejak 1985. Pada 2 Januari, 2008, bila saya meletak jawatan daripada semua jawatan parti, saya masih seorang ahli MCA.

“Hari ini, saya langsung tidak mempunyai parti. Jadi, kedudukan saya hari ini lebih buruk daripada bila saya meletak jawatan pada 2 Januari 2008. Saya tidak menyedari lembaga disiplin MCA yang diketuai seorang peguam tua mendapati sesuai untuk mencadangkan supaya saya dipecat, 21 bulan selepas saya meletak semua jawatan parti dan kerajaan bagi alasan yang sama bila saya meletak jawatan pada Januari 2008.

“Sekiranya ada peruntukan untuk mengenakan hukuman mati secara fizikal, saya yakin lembaga disiplin tidak teragak-agak untuk mencadangkan saya supaya dikenakan hukuman mati. Alasan mengapa saya perlu dipecat amat jelas.

“Adakah pemecatan saya akan menaikkan imej MCA? Saya perlu mengandaikan presiden hari ini adalah bersih dan suci seperti kristal. Hanya masa akan menentukan.”

Dr Chua turut mendakwa bukan lagi rahsia Presiden MCA itu akan menganggap musuhnya atau mereka yang mengancamnya sebagai anti-MCA, samseng atau bekerjasama dengan ahli perniagaan dan mengambil duit daripada mereka untuk menumbangkannya.

“Presiden MCA sudah menggariskan tiga agenda utama untuk parti - ekonomi, politik dan keharmonian antara kaum. Tapi realitinya, kelihatan perkara paling penting dalam agenda politiknya ialah menyingkir Chua Soi Lek,” kata Dr Chua.

Pemecatan Dr Chua dengan menggunakan alasan skandal seksnya adalah sebab rasmi, namun ramai sedar ia lebih condong ke arah perselisihan serta perebutan kuasa yang berlaku di antara dua pemimpin tertinggi MCA ini.

Sumber berkata, cadangan awal ialah supaya Dr Chua digantung selama tiga hari bagi membolehkan Ong meredakan pergolakan di dalam partinya tanpa campur tangan kumpulan Dr Chua yang membongkar beberapa kes membabitkan Ong.

Namun, Ong dikatakan menggunakan kuasanya sebagai presiden melobi supaya Dr Chua dipecat, kerana mendakwa Dr Chua adalah antara orang yang bertanggungjawab untuk menjatuhkannya melalui kes sumbangan dana bernilai RM10 juta yang didakwa diberi Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, yang juga Pengarah Eksekutif syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Kes berkenaan membabitkan penyelewengan dalam urus niaga PKFZ, sebuah hab pengangkutan yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang, yang turut menempatkan gudang, blok pejabat dan sebuah hotel empat bintang, tercetus berikutan pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Projek itu awalnya membabit Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang membeli tanah PKFZ seluas 400 hektar di Pulau Indah daripada KDSB pada 2002 dengan harga RM25 sekaki persegi. KDSB kemudian dilantik sebagai pemaju bagi projek siap guna itu. KDSB sudah menerbitkan bon bagi membiayai projek PKFZ.

Ong menyaman Tiong King Sing dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM500 juta kerana mendakwa Tiong mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Ong dikatakan tersepit dan suasana lebih panas apabila ada desakan memintanya mengkaji semula keputusan memecat Dr Chua, yang dilantiknya sebagai penyelaras kepada parti komponen BN.

Ada berpendapat Dr Chua sudah menebus dosanya itu selepas meletak semua jawatan dalam parti dan kerajaan, dan keputusan ahli MCA melantiknya sebagai Timbalan Presiden sudah cukup kuat menghapuskan semua kesilapan lalu.

Antara mereka ialah bekas Naib Presiden MCA, Datuk Fong Chan Onn: “Dia sudah meminta maaf kerana skandal yang berlaku dan meletak jawatan sebagai menteri dan ahli politik untuk memikul tanggungjawab moral.

“Saya fikir kita perlu memberi Dr Chua dan Ong peluang untuk bekerjasama bagi mengukuhkan parti ini untuk masa depan. Ketika ini, kita tidak mampu menghadapi satu lagi perpecahan,” katanya.

Tiada ulasan: