Rabu, 29 Julai 2009

Pakatan Rakyat mesyuarat bincang perkasakan sekretariat dan isu desak Musa Hassan diganti

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat hari ini mengadakan mesyuarat khasnya bagi membincangkan beberapa pendekatan, pembaharuan berhubung pakatan selain isu-isu semasa membabitkan politik negara.

Mesyuarat yang diadakan di Parlimen bermula jam 2.30 petang itu telah menetapkan beberapa perkara yang disetujui bersama kepimpinan bagi memantapkan organisasi dan sekretariat pakatan.

Antaranya melantik wakil setiap parti bagi urusan Sekretariat Pakatan Rakyat dan Whip Parlimen bagi memudah dan melicinkan perjalanan parti-parti dalam pakatan selepas ini.

Demikian kata Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Pakatan Rakyat di Parlimen sejurus selepas majlis mesyuarat.

Turut hadir ialah, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib-Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayob dan Dato' Mahfuz Omar; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Lee Boon Chai; Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh; Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamarudin; Ketua Penerangan PAS dan KeADILan, Ustaz Idris Ahmad dan Latheefa Koya serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mesyuarat di Bilik Jawatankuasa 1 bangunan Parlimen, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, bagi urusan sekretariat PR, semua paryi bersetuju PAS diwakili Naib Presidennya, Salahuddin Ayob sementara DAP, Anthony Loke Siew Fook dan KeADILan oleh, Dato' Zaid Ibrahim.

Sementara bagi ketua-ketua Whip Parlimen pula, PAS diwakili Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa sementara KeADILan diwakili, Azmin Ali dan DAP diwakili, Dr Tan Seng Giaw.

Dalam masa yang sama, ketua-ketua pemuda, muslimat dan ketua penerangan setiap parti pula akan memantapkan sekretariat bagi persoalan-persoalan dasar parti selain peranan strategik, katanya.

Pakatan Rakyat juga bersetuju akan mengadakan satu kursus kepimpinan pada 13 Ogos ini bagi menyediakan kepimpinan yang benar-benar mantap dan berwibawa dalam memimpin pakatan menjelang pilihan raya ke-13.

Pakatan juga dalam mesyuarat yang sama telah mengambil ketetapan dalam isu berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang perlu disiasat penuh oleh Suruhanjaya Diraja dan bukannya inkues.

Pakatan akan menemui Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bagi menggesa kerajaan memberikan kuasa penuh kepada suruhanjaya menyiasat punca kematian Teoh, ujarnya.

Selain itu pakatan juga mendesak agar kerajaan tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara atas alasan KPN gagal dalam membanteras jenayah yang membarah di negara ini.

Sementara itu, Presiden PAS turut memaklumkan PAS konsisten menuntut suruhanjaya menyiasat penuh kematian Teoh.

Islam sendiri ujarnya mengajar agar berlaku adil kepada mana-mana pihak tanpa membezakan bangsa atau warna kulit, dan sebab itu PAS mendesak siasatan secara dil dan telus dilaksanakan dalam kes Teoh./wann_

Tiada ulasan: