Jumaat, 31 Julai 2009

Ketua NUJ Utusan kena tindakan lebih serius

Jimadie Shah Othman
(dikemaskini)


Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu dikenakan tindakan siasatan dalaman Selasa ini atas dakwaan memfitnah dan menjejaskan reputasi syarikat.

Amran Ahmad pertengahan bulan ini dikenakan surat tunjuk sebab susulan tindakannya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung perbelanjaan syarikat.

Ahli majlis eksekutif kesatuan itu Wan Syamsul Amly Wan Seadey memberitahu Malaysiakini hari ini, majikannya telah memaklumkan tentang siasatan dalaman tersebut dalam satu notis, Isnin lalu.

Menurut notis berkenaan, Amran diperintah hadir pada 4 Ogos, jam 10.00 pagi di Pusat Latihan Utusan di ibu pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Amran akan berdepan dengan tiga pertuduhan memfitnah - berdasarkan tiga laporan di Malaysiakini dan Harakahdaily - yang berhubung tindakannya ke SPRM, jelas Wan Syamsul lagi.

Pada 25 Jun lalu, ketua kesatuan wartawan akhbar Umno itu melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara dua bulan sebelumnya, NUJ Utusan mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilangnya di Perai, Pulau Pinang yang didakwa "terlalu mahal" RM160,000.

Mengulas lanjut siasatan tersebut, Wan Syamsul berkata, Amran hanya dibenarkan melantik wakil dalaman bagi membantu pembelaan kesnya dan mengemukakan saksi-saksi berkaitan.

Bagaimanapun, menurut ahli majlis eksekutif NUJ Utusan itu, Amran mahu diwakili peguam yang dilantiknya M Manoharan – juga ADUN DAP Kota Alam Shah – bagi menangani pertuduhan terhadapnya.

Surat permintaan untuk hadir bagi membela anak guamnya itu dikirim Isnin lalu – sejurus selepas Amran menerima notis – tetapi setakat ini belum dijawab, kata Wan Syamsul.

Sementara itu, majlis memperingati genap setahun kegagalan NUJ Utusan mematerai perjanjian bersama (CA) akan berlangsung jam 8 malam ini di kawasan letak kenderaan syarikat berkenaan.

Ia dijadual dihadiri beberapa bekas pengerusi kesatuan tersebut Datuk Yazid Othman dan bekas presiden NUJ Abdullah Tahir.

Said Zahari – yang terkenal kerana memimpin "mogok Utusan" pada 1961 kerana menentang pengambilalihan akhbar itu oleh Umno – tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Amran akan berucap malam ini menjelaskan status terkini CA mereka kepada kira-kira 300 ahli kesatuan itu, melibatkan wartawan, jurugambar dan artis grafik di penerbitan itu.

Tiada ulasan: