Rabu, 29 Julai 2009

Kematian Teo, polis digesa siasat di bawah Seksyen 302

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - PAS Selangor mendesak agar pihak polis segera menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock di bawah Seksyen 302, kanun keseksaan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menegaskan polis harus menyiasat kes kematian bekas setiausaha Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu itu kerana penubuhan Suruhanjaya DiRaja sebagai melepaskan batuk di tangga dan tidak mampu meyelesaikan persoalan berhubung kematian tersebut.

Jelasnya, penubuhan suruhanjaya tersebut tidak bermakna mereka yang terlibat adalah terlepas daripada kesalahan di bawah kanun keseksaan.

Dalam pada itu katanya, PAS Selangor mendesak agar suspek-suspek kes, direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah supaya rakyat dapat menilai keadilan pihak polis serta tidak berlaku 'penyiasatan terpilih' kepada mana-mana pihak.

"Kami juga mendesak agar Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussin dan Ketua Polis Negara menjawab segera persoalan mengapakah suspek yang terlibat dalam peristiwa kematian Beng Hock masih tidak direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah?

"Sedangkan kita tahu polis amat cepat bertindak mereman mana-mana suspek yang terlibat dalam kes-kes jenayah walaupun tidak melibatkan kematian sebelum ini,"katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily semalam.

Sehubungan itu katanya, PAS Selangor mahu Tan Sri Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara menjawab mengapakah terdapat penyiasatan terpilih dalam kes tersebut yang mana suspek yang terlibat di dalam soal siat kes Beng Hock masih lagi bergerak bebas dan ditukarkan ke ibu pejabat SPRM bagi tujuan khusus. - mks. _

Tiada ulasan: