Khamis, 30 Julai 2009

KDN arah siasat

Oleh HELMI MOHD. FOAD


PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu polis menyiasat secara terperinci dakwaan terdapat kongsi gelap menaja segelintir wakil rakyat bagi menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, siasatan itu penting kerana ia melibatkan kedudukan institusi negara iaitu Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

''Saya mahu ia disiasat secara terperinci, bukan susah nak kenal pasti, cuma saya mahu melihat laporan tertentu yang telah dibuat kepada polis.

''Kalau dakwaan ini dibiarkan tergantung, ia bukan sahaja akan mencemarkan wakil rakyat tertentu malah turut akan mencemarkan kedudukan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN," tegasnya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang menyebut seorang penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir wakil rakyat ditaja oleh kongsi gelap tertentu untuk menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.

Hasil analisis dan pemerhatiannya mendapati, banyak kegiatan haram antaranya pusat judi, hiburan, spa dan pelacuran tumbuh di kawasan terlibat selepas wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya.

Sementara itu, Hishammuddin menegaskan, kerajaan menganggap perhimpunan yang dirancang oleh Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) adalah perhimpunan haram.

Ini kerana katanya, sehingga kini tiada sebarang kelulusan permit diberikan, malah polis tidak menerima sebarang permintaan untuk mengadakan perhimpunan.

''Sekiranya mana-mana kumpulan sama ada pro atau yang anti-ISA melanggar undang-undang, kita akan mengambil tindakan, mereka semua tahu pendirian saya dan kita akan pantau keadaan," tegasnya.

Hishammuddin turut melahirkan rasa terkilan kerana isu ISA dieksploitasi dan dipolitikkan sedangkan kerajaan menyatakan komitmen untuk mengkaji kedudukan akta tersebut.

''Kalau nak teruskan juga perhimpunan, ini menjadi tanda tanya adakah kerana nak perjuangkan isu itu atau nak wujudkan huru-hara," ujarnya.

Tiada ulasan: