Khamis, 30 Julai 2009

Doktor pukul wartawan mohon maaf

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Seorang doktor di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang didakwa mengasari wartawan akhbar China Press kelmarin mengakui kesilapannya dan telah memohon maaf kepada petugas media itu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh HPP menerusi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Phee Boon Poh dalam satu dialog tertutup bersama pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak HPP memaklumkan bahawa doktor muda itu bertindak sedemikian bagi mempertahankan seorang pesakit mental.

"Bagaimanapun, selepas siasatan lanjut dibuat, beliau menyedari tindakan mengasari wartawan terbabit merupakan satu kesilapan.

"Sehubungan itu, beliau secara ikhlas memohon maaf atas kesilapannya dan saya berharap perkara itu tidak berlaku lagi,'' katanya pada majlis dialog tersebut.

Ia dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Datuk Dr. Teh Lei Choo; Pengarah HPP, Dr. Juita Ghazalie; Timbalan Pengarah Kesihatan Awam JKN, Dr. Yasmin Sulaiman dan Timbalan Pengarah Perubatan JKN, Dr. Hassan Merican.

Turut hadir Pakar Perubatan Kecemasan HPP yang juga ketua siasatan kes berkenaan, Dr. Teo Aik Howe; Pengerusi Kelab Penang Press, Wong Soon Eng serta wakil-wakil media daripada agensi masing-masing.

Dalam kejadian itu, mangsa, Teh Chee Hean, 30, mendakwa dikasari oleh seorang pegawai perubatan HPP ketika mengambil gambar pesakit di pekarangan tempat letak kenderaan di Unit Kemalangan dan Kecemasan HPP.

Chee Hean yang mengalami cedera ringan di lutut, bahu dan tangan menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Menurut Boon Poh, kedua-dua pihak menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

''Mereka juga bersedia untuk memberikan kerjasama membantu siasatan. Pihak HPP akan menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian tempoh hari,'' jelasnya.

Sementara itu, Soon Eng yang mewakili Chee Hean menerima permohonan maaf daripada doktor yang berusia 30-an itu, namun siasatan polis terhadap insiden berkenaan diteruskan

Tiada ulasan: