Rabu, 29 Julai 2009

ADUN Jawi bebas dakwaan salah guna kuasa

BERNAMA


PULAU PINANG: Siasatan mengenai dakwaan salah guna kuasa melibatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi Tan Beng Huat selesai setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada keterangan untuk pendakwaan.

Tan berkata beliau menerima surat bertarikh 23 Julai daripada SPRM yang menyatakan kes itu ditutup.

"Saya akan buat permohonan kepada Ketua Menteri (Lim Guan Eng) untuk mendapatkan kembali surat peletakan jawatan saya yang tidak bertarikh yang saya hantar tempoh hari," katanya kepada pemberita di ini, hari ini.

Pada 15 Jun lepas, Ketua Bahagian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong mengemukakan empat aduan melibatkan dakwaan salah guna kuasa, peruntukan wakil rakyat serta penggunaan logo kerajaan negeri untuk kutipan derma terhadap Tan kepada SPRM cawangan Pulau Pinang.

Dalam aduan itu, antara lain Teh mendakwa Tan mengeluarkan surat kuasa kepada pembawa surat yang dilantiknya untuk mengambil alih semua dewan milik kerajaan, kuasa dan kewangan serta peralatan daripada semua pengerusi dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di beberapa kawasan di Seberang Perai Selatan (SPs) berikutan pertukaran kepimpinan kerajaan negeri.

Tan berkata surat yang ditandatangani oleh Pengarah SPRM Pulau Pinang Latifah Mad Yatim turut menyebut bahawa suruhanjaya itu akan menyediakan Laporan Pemeriksaan berkaitan sistem dan perolehan mengenai pembelian dan pembekalan yang longgar yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Saya mahu Teh minta maaf secara terbuka dalam tempoh tiga hari atau saya akan mengambil tindakan undang-ndang," katanya.

Tiada ulasan: