Jumaat, 31 Julai 2009

Jangan teruja fatwa haramkan demo anti-ISA

Jimadie Shah Othman


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub meminta ahli parti itu tidak "teruja" dengan fatwa yang mengharamkan orang ramai berdemonstrasi menentang akta ISA di Istana Negara, petang esok.

"Kepada ahli PAS, saya minta mereka tidak terpengaruh atau teruja dengan fatwa pihak lain. Bagi PAS, ia satu kewajipan (untuk hadir).

"Dan telah dikeluarkan kenyataan, bahawa kehadiran mereka esok adalah wajib bagi menentang akta yang zalim (ISA), yang telah berkuatkuasa selama 49 tahun," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara tengah hari tadi.

Salahuddin berkata, kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri.

"Ini saya harap dapat menjawab apa jua tohmahan dan tuduhan. Antaranya, yang menyatakan haram (hukumnya) menyertai perhimpunan ini.

"Ia telah diberikan restu oleh pimpinan PAS, iaitu presiden (Abdul Hadi) dan tok guru mursyidul am (Nik Aziz)," katanya.

Kelmarin, seorang timbalan menteri dan mufti dilaporkan menyifatkan "berdosa" bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam perhimpunan itu kerana jelas bertentangan dengan Islam dan boleh mencetuskan ketegangan dan huru-hara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata Islam tidak menggalakkan umatnya menyertai dan menganjurkan majlis yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata jika perhimpunan boleh mendatangkan huru-hara, haram bagi mana-mana pihak menyertainya apatah lagi perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Beliau dipetik berkata, jika undang-undang sudah mengklasifikasikan perhimpunan itu sebagai haram, maka hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah haram.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan hukum mengenai akta kontroversi itu merupakan isu besar dan membabitkan kepentingan umat.

Menulis di dalam blognya Rabu lalu, ulama muda itu menuntut pandangan rasmi majlis tersebut sebagai agensi rasmi kerajaan yang supaya menjadi panduan kepada pemerintah.

Menurutnya, sekarang tiba giliran mufti memberikan pandangan kerana banyak pihak telah menyuarakan perkara itu, termasuk beliau sendiri.

September tahun lalu, Dr Asri dilaporkan berkata, “Islam tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya” kerana ia dibina oleh hujah dan dasar yang jelas.

Katanya, menangkap orang menggunakan ISA tidak akan menghilangkan salah faham terhadap Islam.

Umno bertanding di Permatang Pasir

MALAYSIA KINI


Umno Pulau Pinang bersedia untuk menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir ekoran kematian penyandangnya daripada PAS Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman hari ini.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham, pengerusi badan perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno akan menggerakkan jenteranya pada bila-bila masa.

Umno akan berusaha untuk merebut kerusi tersebut yang terletak dalam Parlimen Permatang Pauh dapat direbut daripada parti pembangkang, katanya selepas majlis penghargaan kepada pahlawan tanahair di Kementerian Pertahanan hari ini.

Ini merupakan kali pertama Ahmad Zahid berdepan dengan pilihanraya di negeri itu, selepas dilantik menerajui Umno Pulau Pinang, lapor Bernama

Mengulas lanjut mengenainya, Ahmad Zahid menganggap "ini sebagai ujian Allah kepada saya dan untuk melihat sejauh mana kekuatan sebenar Umno."

Mohd Hamdan, 63, meninggal dunia pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN) di ibunegara kerana sakit jantung.

Allahyarham merupakan wakil rakyat tunggal PAS di Pulau Pinang, dan menyandang kerusi tersebut selama tiga penggal, sejak pilihanraya umum 1999.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menolak dakwaan kononnya terdapat masalah dalaman jentera Umno di Permatang Pauh dan menyifatkannya sebagai "khabar angin."

Naib presiden Umno itu juga berkata beliau akan turun padang untuk memantau keadaan dan memastikan sebarang masalah yang timbul akan dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Beliau percaya masalah yang didakwa wujud itu sengaja ditimbulkan dengan didalangi pihak membangkang bertujuan untuk mengacau-bilaukan Umno bahagian berkenaan.

Himpunan ISA: 'Dipujuk' polis, GMI tidak berganjak

MALAYSIA TODAY / MSTAR ONLINE


Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh mengakui beliau didatangi anggota cawangan khas untuk 'memujuk' beliau supaya membatalkan hasrat mengadakan himpunan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Sabtu ini.

Beliau berkata, anggota cawangan khas berkenaan datang menemuinya selepas beliau gagal menghadiri pertemuan yang diaturkan oleh pihak polis.

"Ya, saya telah ditemui oleh anggota cawangan khas, modus operandinya sama... mereka lihat ini adalah satu perhimpunan yang boleh menyebabkan berlakunya huru-hara.

"Jawapan saya ialah ini adalah satu perhimpunan yang termaktub dalam hak kita sebagai rakyat untuk berhimpun secara aman dan kita punyai misi yang jelas iaitu kita mahu elakkan kacau bilau.

"Bagi saya sebelum ini kita sudah cuba dengan pelbagai usaha...ini (perhimpunan) adalah ruang yang ada untuk tunjukkan secara bersama, malah usaha kerajaan yang mengatakan akan mengkaji semula ISA dianggap sudah terlambat, sepatutnya pada tahap ini ISA sudahpun dimansuhkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan dua pihak di ibu negara iaitu antara GMI dan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) - masing-masing anti dan pro ISA.

Kumpulan anti-ISA - GMI akan berkumpul di tiga lokasi iaitu di kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Negara dan Masjid Jamek.Dari tiga lokasi berkenaan, penyokong GMI akan bergerak serentak menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan 'Deklarasi Rakyat' kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Magaran juga merancang untuk mula berkumpul di tiga kawasan iaitu di Masjid Negara, Padang Merbok dan Pasar Seni sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Mereka kemudiannya akan menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang antaranya menyatakan sokongan terhadap ISA.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim juga berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba membuat provokasi hingga boleh mencetuskan kekecohan pada hari tersebut.

"Kita akan sediakan 1,000 anggota keselamatan dari Unit Amal PAS untuk kawal keadaan, kita juga nasihatkan kepada semua penyokong kita agar mengawal emosi masing.

"Tapi masalahnya adakalanya rakyat diprovok, ini yang sebabkan berlakunya kekecohan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sekretariat Himpunan Mansuh ISA, Kamaruzaman Mohamad mengingatkan kepada kumpulan pro ISA - Magaran supaya tidak menggunakan pendekatan provokatif hingga boleh menimbulkan keadaan huru-hara.

"Saya ingin menyentuh mengenai ugutan yang telah dikeluarkan oleh Magaran yang tersiar dalam mStar Online... ungkapannya ialah 'pergi jahanam GMI' dan 'apa nak jadi... jadilah'.

"Dua ungkapan ini sangat berunsur provokatif, sangat berniat jahat kerana kami secara konsisten menegaskan himpunan ini ialah himpunan aman untuk nyatakan bantahan secara aman.

"Jadi kami minta supaya Magaran membuang unsur-unsur provokatif yang telah dinyatakan, malah sebelum perhimpunan diadakan," katanya.

Kumpulan GMI akan turut disertai oleh gabungan komponen parti politik dari Pakatan Rakayat, pemuda Gerakan, 26 persatuan mahasiswa serta 15 persatuan masyarakat Cina selain penyertaan individu-individu yang mahu ISA dimansuhkan.

Syed Ibrahim berkata, sasaran jumlah mereka yang menyertai perhimpunan GMI ini adalah sama atau melebihi jumlah penyertaan dalam Perhimpunan Bersih pada November 2007.

"Kalau jumlahnya tak sama dengan perhimpunan Bersih, kemungkinan ianya lebih lagi," katanya.

Bajet 2010 kurangi beban rakyat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan berjanji Bajet 2010 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober ini merupakan bajet berhemat yang akan memberi impak kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerajaan akan berusaha mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah di luar bandar dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan sewajarnya melalui peruntukan Bajet 2010.

"Ia juga selaras dengan salah satu teras dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran laman web baru Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Bangunan Kerajaan, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah.

Awang Adek berkata, kerajaan berharap peruntukan yang akan disediakan dalam Bajet 2010 juga mampu memulihkan ekonomi negara yang terjejas berikutan kelembapan ekonomi global pada masa ini.

"Pada masa sama, kita berasa lega kerana pakej rangsangan ekonomi yang disediakan kerajaan sebelum ini mampu menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara selain dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi pelbagai pihak," katanya.

Tambah beliau, kerajaan amat pragmatik daripada segi pengurusan kewangan dan mempunyai disiplin kewangan dalam usaha menyediakan bajet yang benar-benar kos efektif.

"Kami memang menerima banyak permohonan peruntukan dalam Bajet 2010. Namun, kami tidak mampu melayan kesemua permohonan tersebut dan perlu membuat pilihan supaya perbelanjaan itu berhemat serta boleh memberi impak kepada rakyat," katanya.

Menurut Awang Adek, pihaknya juga sedang mengkaji cara-cara untuk memacu industri halal negara ke peringkat global menerusi Bajet 2010 selepas ia masih tidak menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

"Malaysia agak ke depan dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam berbanding negara-negara Islam lain di dunia. Bagaimanapun, kita tidak begitu berjaya dalam aspek perkhidmatan dan perdagangan barangan halal," jelasnya.

Sementara itu, Hasmah berkata, laman web baru LHDN memberi tumpuan kepada reka bentuk yang lebih profesional dan mesra pengguna selain melibatkan penyusunan semula kandungannya.

"Antara ciri baru laman web ini adalah paparan resolusi yang lebih jelas iaitu 1024 X 768 berbanding 800 X 600 sebelum ini dan penyusunan semula kandungan mengikut kumpulan pengguna melibatkan individu, syarikat serta majikan," katanya.

Beliau memberitahu, LHDN mencapai kutipan kasar cukai pendapatan lebih RM50 bilion setakat ini dengan peningkatan sebanyak 1.12 peratus berbanding tahun lalu.

"Kami juga telah membuat pembayaran balik lebihan cukai sebanyak RM3 bilion kepada pembayar cukai setakat ini," kata beliau.

ISA: Amaran KDN

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD


KUALA TERENGGANU – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan menyokong atau membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau juga mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya segera bertindak terhadap mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan yang dijadualkan Sabtu ini di ibu negara.

‘‘Polis perlu bertegas dan ambil tindakan bagi memastikan undang-undang dan Perlembagaan negara tidak dicabul sewenang-wenang.

‘‘Negara ini dibina berlandaskan acuan kita sendiri dan bukannya negara barat,” katanya selepas menyampaikan cek sumbangan saguhati khas kepada bekas polis yang berkhidmat semasa darurat bagi Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sebelum ini pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pusat Parti Rakyat Malaysia (OPRM) menyokong penuh Perhimpunan Mansuhkan ISA yang akan diadakan pada 1 Ogos.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, penganjur perhimpunan tersebut sebenarnya mempunyai niat untuk menghuru-harakan negara.

Dalam hubungan ini katanya, pihak polis tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk sebarang perhimpunan mansuhkan ISA.

Katanya, walaupun pihak polis difahamkan terdapat pihak tertentu yang berhasrat menganjurkan perhimpunan tetapi permit belum dipohon.

Hishammuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang cuba mencabar atau menganggu-gugat kewibawaan polis.

Demonstrasi mansuh ISA adalah lontaran suara hati rakyat

Zuharman MN


KOTA BHARU - Tindakan polis tidak membenarkan demonstrasi pro dan anti ISA yang akan diadakan di ibu negara pada 1 Ogos (esok) sebagai tidak menghormati aspirasi rakyat dalam menuntut haknya.

Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan perkara tersebut yang dianggap sebagai bertentangan dengan hak asasi rakyat selaras dengan amalan prinsip demokrasi negara berparlimen.

Nik Aziz tidak menyalahkan pihak polis secara total dalam perkara tersebut yang disifatnya terpaksa menjalankan tugas mengikut arahan pihak atasan (menteri). Sebaliknya persoalannya menjurus kepada kementerian berkenaan.

Difahamkan Nik Aziz akan turut serta bersama penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, dan lebih 83 NGO dalam demonstrasi anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Melalui perhimpunan itu GMI akan menyerahkan satu deklarasi rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong menuntut ISA dimansuhkan kerana mencabuli hak-hak asasi sesuai dengan syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Bagaimanapun, polis memberi amaran tegas kepada pihak terbabit supaya membatalkan rancangan tersebut dan menurut laporan Dato' Seri Hishamudin Tun Hussien, selaku Menteri Dalam Negeri sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam demonstrasi berkenaan.

Sementara itu menurut sumber yang menghubungi wakil Harakah pagi tadi memberitahu pihak polis telah mula mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi utama sejak pagi tadi bagi menghalang tujuan tersebut.

Dalam pada itu Nik Aziz menegaskan tidak ada sebab kerajaan menghalang hak kebebasan suara rakyat bagi menyampaikan hasratnya sama ada dalam bentuk protes melalui perhimpunan aman tanpa niat untuk mencetuskan huru-hara.

"Demonstrasi diadakan kerana rakyat ingin menyampaikan hasratnya. Bukan untuk mencetuskan sebarang huru-hara. Dan ia akan dilakukan dengan aman. Jadi kenapa tidak boleh?

"Sudah lama rakyat melontarkan suara hatinya dengan cara cukup berhemah supaya ISA dimansuhkan. Sama juga dengan pemansuhan PPSMI, tapi ia seolah-olah tidak ada sebarang tindak balas positif.

"Maka inilah pilihan lain terpaksa diambil mereka," ujarnya pada majlis kuliah mingguan di dataran ilmu dekat sini pagi tadi.

Nik Aziz berhujah kerajaan yang dilantik oleh rakyat melalui proses pengundian menerusi pilihan raya yang memerintah lebih daripada 50 tahun sepatutnya lebih matang dalam memahami aspirasi rakyat dalam pelbagai aspek.

"Seseorang menteri ataupun kerajaan dilantik oleh rakyat. Kalau rakyat tidak undi dia tak boleh jadi kerajaan ataupun menteri. Jadi kenapa dinafikan hak rakyat yang inginkan hak mereka," ujarnya.

Sehubungan itu beliau memberitahu undang-undang negara menggambarkan seolah-olah ingin meletakkan sesuatu kesalahan di atas bahu rakyat sambil menegaskan demikianlah yang dinamakan undang-undang sekular. - mns_

Pilihan raya kecil ke-3 di Permatang Pauh sejak Ogos 2008

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bahagian pilihan raya Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang bakal menyaksikan pilihan raya kecil buat kali ketiga dalam tempoh setahun sejak Ogos lalu.

Pilihan raya kecil terbaru membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman dari PAS.

Tarikhnya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menjelang 10 Ogos ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Kematian Hamdan membawa kepada pilihan raya kecil yang kelapan sejak Mac 2008.

Bahagian Permatang Pauh terdiri daripada tiga kerusi DUN iaitu Permatang Pasir yang dimenangi PAS pada Mac 2008; Penanti (PKR) dan Seberang Jaya (Barisan Nasional).

Pada Ogos 2008, pilihan raya kecil membabitkan kerusi Parlimen dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Ia dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR. Kerusi itu dimenangi Dr. Wan Azizah sejak tahun 1999.

Pada Jun lalu, pilihan raya kecil diadakan membabitkan kerusi DUN Penanti ekoran keputusan Fairus Khairuddin melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Hamdan yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999 erupakan satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang.

Pada pilihan raya umum ke-12, Hamdan menewaskan calon Umno daripada Barisan Nasional Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pagi tadi kerana sakit jantung.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir selepas Asar.

Umno Pulau Pinang sedia hadapi pilihan raya kecil - Zahid

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Umno Pulau Pinang bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir ekoran kematian penyandangnya daripada PAS Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman pada Jumaat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Pertahanan yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Hamdan, berkata Umno akan menggerakkan jenteranya di negeri itu, khasnya jentera sedia ada di Permatang Pasir pada bila-bila masa.

Umno akan berusaha memastikan kerusi Permatang Pasir yang terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dapat direbut daripada parti pembangkang, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan kepada pahlawan tanah air di Kementerian Pertahanan di sini.

Majlis itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Meskipun tidak menafikan kebimbangannya berhadapan pilihan raya itu memandangkan ini kali pertama beliau mengetuai Umno negeri itu sejak dilantik ke jawatan tersebut pada 24 April lepas, namun Ahmad Zahid menganggap "ini sebagai ujian Allah kepada saya dan untuk melihat sejauh mana kekuatan sebenar Umno."

Mohd Hamdan, 63, meninggal dunia pagi ini di Institut Jantung Negara di sini kerana sakit jantung.

Allahyarham merupakan satu-satunya wakil rakyat PAS di Pulau Pinang, adalah penyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal, sejak pilihan raya umum 1999.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menolak dakwaan kononnya terdapat masalah dalaman jentera Umno di Permatang Pauh dan menyifatkannya sebagai "khabar angin."

Naib Presiden Umno itu juga berkata beliau akan turun padang untuk memantau keadaan dan memastikan sebarang masalah yang timbul akan dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Beliau percaya masalah yang didakwa wujud itu sengaja ditimbulkan dengan didalangi oleh pihak membangkang bertujuan untuk mengacau-bilaukan Umno bahagian berkenaan.

Elaun anggota keselamatan dinaikkan 500 peratus mulai 1 Julai

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Anggota pasukan keselamatan yang dikurniakan pingat kebesaran negara akan mendapat hadiah sempena Hari Pahlawan tahun ini apabila kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Kenangan yang diterima sehingga 500 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu pada Jumaat berkata, bagi anggota keselamatan yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P), kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar elaun itu kepada RM2,000 sebulan berbanding RM400 sebelum ini.

Sementara penerima Pingat Gagah Berani (P.G.B) akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan berbanding RM300 sebelum ini.

"Tetapi bila sudah pinda akta, akan dapat bayaran tunggakan," katanya pada majlis Penghargaan Kepada Pahlawan Tanahair di Kementerian Pertahanan di sini.

Seramai 86 anggota keselamatan yang merupakan pemegang pingat S.P dan P.G.B yang mula diperkenalkan pada 29 Julai 1960 akan menerima kadar Elaun Kenangan baru itu.

Kadar baru itu berkuatkuasa mulai 1 Julai 2009, kata beliau.

Najib berkata, kerajaan juga telah bersetuju agar penerima tunggal pingat keberanian anugerah kerajaan British, "George Cross', Awang anak Raweng, diberi Elaun Kenangan sebanyak RM2,000 sebulan bagi menambah elaun bulanan sebanyak 100 British Pound (RM581.37) yang diterimanya daripada kerajaan British.

Beliau berkata Elaun Kenangan RM1,500 sebulan juga akan diberikan kepada penerima pingat "Military Cross" dan "Military Medal", yang pada masa ini menerima pencen tambahan sebanyak RM76 setahun atau RM6.50 sebulan.

"Kenaikan kadar Elaun Kenangan ini adalah satu manifestasi pengiktirafan dan keprihatinan kerajaan terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen jitu mereka dalam memelihara keamanan, ketenteraman awam dan mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Sementara itu, penerima Pingat Keberanian British Military Medal (M.M) Jantan Baba, 82, berkata pemberian elaun kenangan itu membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf jasanya walaupun sebelum ini mereka berkhidmat di bawah tentera British.

Katanya, elaun ini juga dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik terutama dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Jantan yang berasal dari Melaka Pinang, Alor Gajah, Melaka telah berkhidmat bersama tentera British selama 21 tahun dan pernah menembak mati tujuh anggota komunis.

Beliau juga pernah berhadapan satu lawan satu dengan pengganas komunis semasa menjalankan operasi di Kenaboi, Negeri Sembilan di mana telinga kirinya ditembak oleh pengganas tersebut.

"Pada masa itu, semua anggota yang lain telah lari menyelamatkan diri dan tinggal saya berdepan dengan salah seorang komunis. Saya berpura-pura berteriak mengarahkan rakan-rakan lain supaya terus mara supaya anggota komunis berundur," katanya.

Bagi Wahab Hamid, yang hanya sempat berkhidmat dengan tentera British selama tujuh tahun kerana diarahkan berhenti atas sebab kesihatan, tidak dapat melupakan pertempuran pasukannya dengan pengganas komunis di Sungai Semo, Guang Musang, Kelantan di mana beliau cedera di bahagian peha hingga ke kaki.

"Pada masa itu, saya hanya ditembak oleh komunis di bahagian peha, tapi masih boleh terus bertempur sehinggalah komunis melemparkan bom yang menyebabkan kaki saya cedera parah kerana tidak sempat melarikan diri," kata Wahab yang berasal dari Kampung Terusan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Wahab yang berterima kasih di atas penghargaan yang diberikan oleh kerajaan itu berkata elaun tersebut sedikit sebanyak boleh membantu menampung perbelanjaan hariannya terutama kos perubatan memandangkan mereka kini sudah menjangkau usia emas.

"Sebelum ini, kita tidak terima bayaran apa-apa yang tinggi. Ini adalah tanda prihatin kerajaan kepada kami," katanya.

Bagi Kapt (B) V.Panirchellvuum yang menerima pingat P.G.B berkata kenaikan bayaran bulanan itu dapat membantu menampung perbelanjaan anak-anak bekas anggota tentera yang masih menuntut.

Tindakan Perdana Menteri itu melambangkan beliau betul-betul ingin merealisasikan konsep 1Malaysia, selaras dengan cogankata mendahulukan rakyat.

"Selaku penerima saya bersyukur dan berasa amat terima kasih kepada kerajaan Malaysia terutama sekali PM kita. Cogankata selalu kata 1Malaysia di mana kita perhatikan beliau amat prihatin kepada warga yang telah beri perkhidmatan kepada negara," katanya yang telah berkhidmat bersama Royal Ranger Regiment selama 11 tahun.

Lt Kol (B) Robert Rizal Abdullah berkata pemberian ini boleh membantu mereka yang hidup dalam keadaan daif memperbaiki kehidupan mereka kepada yang lebih baik dan selesa.

"Saya tahu ada yang bersara, masih berada dalam keadaan daif dengan pencen dan elaun yang sikit, memang kehidupan tak selesa. Jadi dengan kenaikan ini dapat menampung keadaan mereka," katanya.

SPR umum tarikh pilihan raya kecil selewat-lewatnya 10 Ogos

BERNAMA


PULAU PINANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dan SPR masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir itu daripada Speaker (DUN) Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

"Kami jangka surat makluman itu akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini dan selepas itu satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan soal tarikh hari penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN berkenaan," katanya ketikadihubungi di sini, hari ini.

Mohd Hamdan, yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal merupakan satu-satunya Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Pulau Pinangdan beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini kerana sakit jantung.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir disini, selepas Asar.

Sementara itu Abdul Halim ketika dihubungi berkata beliau masih menunggu sijil kematian Mohd Hamdan sebelum menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Permatang Pasir kepada SPR Pulau Pinang. Beliau berkata Dewan Undangan Negeri akan bersidang selama dua hari mulai 10 Ogos ini dan Allahyarham sudah mengemukan beberapa soalan bertulis untuk sesi kali ini.

Pengarah di Unit Jabatan Ketua Menteri Melaka didakwa kemuka tuntutan palsu

BERNAMA


MELAKA: Seorang pengarah di unit Jabatan Ketua Menteri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM10,000 dua tahun lepas.

Johari Yusof, 35, seorang pengarah di unit Rumah Ku Syurga Ku, pada 8 Mei 2007 didakwa telah mengemukakan satu invois no.0054 atas nama AR Karisma Enterprise, yang beliau mempunyai kepentingan dan mengandungi butiran palsu.

Invois itu untuk satu kerja penyediaan pakej persembahan dan peralatan teknikal Malam Sinar Maulidurrasul pada 1 April 2007 sempena Ekspo Perdagangan Islam 1428H di perkarangan masjid alAzim di Bukit Palah di sini.

Johari didakwa menyerahkan invois itu kepada penolong akauntan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rosnita Ramli antara jam 8 pagi hingga 5 petang di bahagian kewangan, untuk tujuan mengelirukan prinsipal atas pembekalan yang tidak dibuat.

Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan 2 Sept untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Mohtar Sani dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Johari tidak diwakili peguam.

Utusan Minta Maaf Kepada Tok Guru Nik Aziz

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU - Utusan Malaysia, akhbar yang dikawal oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyiarkan permohonan maaf media tersebut atas kesilapan laporan pada 15 Jun lalu, berikut adalah siaran permohonan maaf sebagaimana dipaparkan dalam Utusan Online;

”Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.

”YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.

”Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu.

”Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.

”Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut.”

Projek Mega Bocor, Rosak, Tanggal dan Runtuh; Pihak Berkepentingan Mesti Ambil Tanggungjawab

SM Noor


KUALA TERENGGANU – Semua pihak yang terlibat dalam pembinaan projek-projek dibawah pembiayaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan mesti bertanggungjawab keatas sebarang kecacatan dan kerosakkan yang dikesan dan berlaku.

Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata demikian ketika mengulas laporan, satu demi satu projek-projek mega yang dibiayai oleh ‘wang rakyat’ itu dilaporkan mengalami samada bocor, rosak, tanggal dan runtuh dalam waktu yang begitu singkat hayatnya.

”Projek yang menelan belanja yang cukup besar, mencecah ratusan juta ringgit sepatutnya memiliki kualiti dan mempunyai ketahanan yang hebat,

”jika berlaku masalah, samada bocor, rosak, tanggal dan runtuh dalam masa setahun, tanggungjawab mesti diambil oleh mereka yang terlibat,

”tidak kira mereka pegawai ataupun ahli politik yang terlibat, mesti secara ‘gentlemen’ mengakui kesilapan dan tampil membuat pembaikian, sesuai dengan slogan kerajaan masakini “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”,”katanya ketika dihubungi Buletin Online.

Mengambil iktibar keatas tragedi bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, beliau berkata, sehingga kini tidak ada pihak yang tampil, bahkan mereka yang memikul tanggungjawab semasa pembinaannya hanya ‘diam seribu bahasa’.

Beliau yang juga bekas Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur Negeri kesal dengan sikap ‘orang politik’ berkepentingan, yang sebelum ini ‘menjaja’ projek-projek tersebut adalah kejayaan kerajaan mereka, namun hilang entah kemana, apabila projek tersebut didapati bermasalah.

Katanya, jika berlaku masalah kepada projek-projek berkenaan, pasti ada hubungan dengan kemungkinan sesuatu penyelewengan telah berlaku samada dibina tidak mengikut spesifikasi atau pengawasan yang tidak mengikut ISO.

”Jika berlaku masalah (kepada bangunan), ia ada hubungan dengan kemungkinan, kos yang tinggi adalah bukan kos sebenar, tetapi merupakan bayaran komisen kepada pihak tertentu dan bangunan (tersebut) berkualiti rendah,

”mungkin juga kurang pengawasan pihak berwajib dan tidak mengikut ISO, kerana sogokan dan rasuah, dan sekiranya bangunan tersebut memiliki CF, ia sangat meragukan,”jelasnya.

Beliau mengambil contoh Pusat Akuatik di Batu Burok yang diakui oleh Kementerian Kerja Raya sebagai pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi.

Semalam, akhbar mendedahkan terdapat masalah kepada siling Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang tanggal di beberapa bahagian Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood, berkata pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu, dan dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Ahmad Ramli berkata, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya, namun tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

Selepas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh pada 2 Jun lalu, Pusat Akuatik Batu Burok telah ditutup selepas lawatan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor pada 9 Julai lalu.

Jabatan Kerja Raya mendapati kebocoran benar-benar berlaku kerana pembinaanya dibuat tidak mengikut spesifikasi.

Hanya Ahli UMNO dan Kerabat JKKK dapat Pangsapuri Pulau Duyong

Wartawan Buletin


KUALA TERENGGANU – Satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan pembahagian pangsapuri mampu milik Pulau Duyong, dekat sini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Cikgu Fariz Musa berkata laporan dibuat berdasarkan dokumen yang dihantar kepadanya oleh pihak yang tidak diketahui.

Menurutnya, setelah beliau meneliti isi dokumen itu, beliau dapati telah berlaku ketidakadilan dan penyelewengan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Cawangan UMNO Pulau Duyong.

”Saya dapati terdapat 3 dokumen, sepucuk surat, satu lampiran senarai nama penyewa-penyewa dan satu lampiran senarai penama-penama yang sepatunya tidak layak,

”surat tersebut memohon saya bertindak isu berkaitan penyelewengan tersebut,”kata Fariz dalam sidang media yang diadakan di hadapan pejabat SPRM, Tingkat 11, Wisma Persekutuan, semalam.

Beliau berharap pihak SPRM dapat mengambil tindakan dan menyelesaikan kes tersebut yang melibatkan dua blok bangunan yang telah diagihkan kepada 90 orang.

Katanya dokumen lampiran tersebut memperincikan sebab mengapa penerima tidak layak menyewa pangsapuri itu.

”(sebagai contoh rumah) J-3-4 dimana pemilik tersebut adalah merupakan ayah kepada pengerusi JKKK Duyong Kelab Aya,

”dimana beliau sebagai pengerusi JKKK telah memberikan rumah tersebut kepada ayahnya dan (sedangkan) ayahnya telah memiliki rumah (lain),

”dalam masa yang sama rumah itu tidak didiami oleh ayahnya, (sebaliknya) didiami oleh anaknya (pengerusi JKKK tersebut,”jelasnya.

Katanya, dalam dokumen tersebut juga menyatakan, ramai penerima pangsapuri itu mempunyai hubungan dengan JKKK dan beberapa cawangan UMNO di Pulau Duyong.

Oleh itu katanya, beliau melihat pengagihan pangsapuri mampu milik itu telah berlaku penyelewengan dan ketidakadilan.

”Pengagihan pangsapuri mampu milik Pulau Duyong ini telah berlaku penyelewengan dan ketidakadilan,

”sebab itu kami, pada hari ini mengambil tindakan untuk membuat laporan SPRM dan meminta pihak SPRM mengambil tindakan tegas untuk menyiasat,”tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut meminta supaya siasatan dibuat terhadap pembahagian Blok yang baru diedarkan pada hari ini.

Pelaburan Selangor Semakin Meningkat

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Aktiviti pelaburan di Selangor menampakkan tanda-tanda semakin pulih, berikutan pembukaan semula beberapa kilang dan penyertaan pelabur baharu, sejak sebulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) Berhad, Dato’ Mhd Jabar Ahmad Kembali berkata, ada sebahagian kilang yang ditutup, kini mencari semula pekerja untuk meneruskan operasi mereka.

Justeru, katanya SSIC sentiasa terus berusaha membuka peluang kepada pengusaha dan pelabur untuk menjalankan aktiviti di negeri ini.

“Saya rasa tak boleh salahkan pemerintahan, masalahnya masalah economic, ekonomi dunia tapi kita berasa beruntung, beberapa syarikat yang membuat vss kini mencari beberapa pekerja, saya ambil contoh satu meg pada sewaktu down turn dulu, dia membuat vss, dia punya investment demand jatuh kepada 20 peratus, tapi sekarang dalam lawatan saya bulan lepas, demandnya dia telah meningkat, permintaan telah meningkat ke 67 peratus, dia memerlukan pekerja tambahan sekarang seramai 300 orang”.

“Hari ini juga kita masih menerima pelabur-pelabur masih ada yang datang kita terima itu dari Phildapheia, kita terima juga dari Korea masih datang, even local pun banyak juga yang datang”, katanya.

Menurut Dato’ Jabar, beberapa pelabur sudah menyatakan minat mereka untuk membuka kilang di negeri ini selepas ditawarkan beberapa insentif oleh kerajaan negeri.

“Two days saya chair meeting sebuah syarikat nak membuka kilang di Selangor, dia nak buat paip, dia memerlukan tanah seluas 50 ekar, dia JV, joint venture, local and also foreign”.

Dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma MBSA, hari ini beliau berkata kerajaan negeri sedang memberi tumpuan membangunkan Hub Halal di Pelabuhan Barat, Klang.

“Kita akan menumpukan perhatian kepada Selangor Halal Hub telah pun ditubuhkan kita telah menerima beberapa pengusaha yang berhasrat untuk beroperasi dalam Selangor Halal Hub ini. Salah satu daripada syarikat tersebut telah membeli tanah di situ seluas 37 ekar”.

“Syarikat yang akan beroperasi itu ialah PML Dairies, anak syarikat kepada F&N, PML Dairy”, tambahnya lagi.

Dato’ Jabar berkata, syarikat lain yang bakal beroperasi di kawasan itu ialah Felda, Secret Recipe, Ramly Burger, selain sebuah syarikat dari Jerman yang sedang mengadakan usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan sebuah syarikat Korea.

Mengenai jumlah pelaburan, beliau berkata, Selangor merupakan negeri kedua tertinggi, selepas Johor dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.7 billion yang dicatat dalam tempoh lima bulan pertama, tahun ini.

Suruhanjaya Diraja Perlu Telus, Jujur Dan Penuh Integriti

TV SELANGOR


Penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian misteri bekas setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock perlu dilakukan dengan telus, jujur dan penuh integriti.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata, penubuhan Panel Suruhanjaya Diraja ini perlu dibahas dan diangkat melalui sidang Parlimen Malaysia dan diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong.

Ia bagi menjamin ketelusan dan integriti Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bukan ahli panelnya dilantik, dan dipilih dan dicadang oleh Perdana Menteri untuk di perkenankan oleh Yang Dipertuan Agung, sebab Najib adalah orang yang tidak berintegriti yang tidak diyakini untuk memilih mana-mana orang untuk menganggotai panel suruhanjaya. Bagi saya panel suruhanjaya perlu diperbahas dan diangkat oleh Parlimen Malaysia untuk dicadangkan bagi mendapat perkenan dari Duli Tuanku yang dipertuan Agung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah perdana bertajuk “PPSMI, SPRM…dan Apa Lagi Selepas Ini,” di Dewan Seksyen 11, Shah Alam, malam tadi.

Katanya, penubuhan inkues di Mahkamah Majistret Shah Alam untuk menyiasat punca kematian Teoh, merupakan satu pembaziran dari segi masa dan wang ringgit kerana ia boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Diraja.

Mahfuz berkata, kerajaan Barisan Nasional takut untuk memberi kuasa sepenuhnya kepada Suruhanjaya untuk membuat siasatan secara telus dan penubuhan Inkues diragui akan menjadi satu lagi agenda kerajaan yang dirancang.

“Kenapa tidak satukan, kenapa membuang masa,dan perbelanjaan yang besar, apa yang ingin disembunyikan oleh kerajaan atau ada skrip yang telah ditentukan untuk pastikan bahawa inkues itu memenuhi skrip yang telah diatur oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya

Mahfuz berkata, tindakan ini jelas memperlihatkan kebimbangan di kalangan pemimpin BN seperti yang berlaku pada siasatan kes kematian misteri Norita di mana DNA yang dijumpai, tidak boleh dikenalpasti.

Kesal Mufti Perak tidak haramkan ISA

Johari Jaafar


IPOH - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kecewa dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana masih tidak menolak bahawa perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah digubal pada tahun 1960 dan yang masih dijalankan selama 49 tahun adalah lebih zalim dan perlu diharamkan.

Demikian ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin dalam kenyataan media Pemuda PAS Perak hari ini.

Menurutnya, Pemuda PAS mencabar Tan Sri Harussani dan juga Majlis Fatwa Kebangsaan serta Mufti seluruh negeri supaya mengeluarkan fatwa tentang Akta ISA ini yang telah banyak menzalimi rakyat kerana telah menghukum tanpa membicarakannya dan ianya salah disisi Agama Islam.

"Persoalan yang sepatutnya timbul adalah kezaliman Akta ISA yang telah diamalkan itu, bukannya membantah Akta ISA itu sebagai yang haram, perkara yang penting sekarang ini adalah mengapa kezaliman ini masih diteruskan?," jelasnya.

Pemuda PAS Negeri Perak katanya ingin mempertegaskan di sini bahawa usaha untuk menghapuskan kezaliman mesti ditegakkan, himpunan sebagai protes untuk memastikan seluruh rakyat akan hidup aman tanpa kezaliman yang telah dibuat oleh kerajaan akan diselamatkan.

Oleh itu kata Akmal, Pemuda PAS Perak menyeru seluruh rakyat yang membantah kezaliman mesti tampil untuk nyatakan kebenaran kerana menyahut seruan Nabi SAW "Jihad yang paling afdhal ialah perkataan benar di hadapan pemerintah yang zalim" bukan perkataan yang berani di hadapan rakyat yang ditindas. - azm _

Kewujudan pusat hiburan haram sejak zaman Khir Toyo menjadi MB

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - PAS negeri Selangor menegaskan kewujudan pusat hiburan, judi dan spa haram yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo berjumlah sebanyak 4,000 buah telah wujud sejak BN memerintah Selangor.

Penegasan tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Perhubungan PAS, Khairuddin Othman ekoran dakwaan Khir sejak Selangor ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat pusat hiburan haram wujud berleluasa.

Beliau turut mendesak Khir Toyo supaya mengakui secara terbuka bahawa semua lesen-lesen perjudian, spa dan pusat hiburan diluluskan ketika kerajaan BN mentadbir kerana selama setahun empat bulan kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor tidak pernah meluluskan lesen baru untuk premis tersebut.

PAS negeri Selangor mendakwa Khir tidak pernah serius dalam menangani kes-kes kewujudan pusat hiburan haram ketika beliau memegang tampuk pemerintahan negeri Selangor.

Katanya, kenapa baru sekarang Khir mendedahkan tentang masalah rumah urut sedangkan ketika beliau menjadi Menteri Besar dahulu rumah urut beroperasi tanpa kawalan dan pemantauan daripadanya.

Justeru, PAS negeri Selangor berpendapat dakwaan Khir itu tidak berasas sebaliknya ia merupakan usaha terdesak beliau untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu penyelewengan yang dilakukan.

"Penyelewengan beliau seperti isu banglo bernilai RM24juta, isu pemindahan dana Balkis RM9.9 juta dan sebagainya," tegas beliau.

Sehubungan itu beliau menegaskan Khir Toyo perlu menjawab terlebih dahulu semua dakwaan terhadapnya sebelum membuat pelbagai fitnah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat.

"Khir Toyo boleh mengelabui mata rakyat tetapi bukan kepada kami rakyat Selangor," tegasnya. _

Makluman pergerakan Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Bagi melancarkan Himpunan Aman Mansuhkan ISA pada 01 Ogos 2009, Sekretariat Himpunan Aman Mansuhkan ISA mengumumkan tempat berhimpun dan pergerakan himpunan seperti berikut:

1. Tempat berhimpun dan negeri-negeri berkaitan:

a. Sogo:

Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak

b. Masjid Jame' Kuala Lumpur:

Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan

c. Masjid Negara:

Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

(Peserta-peserta himpunan aman dikehendaki berkumpul mengikut negeri masing-masing)

2. Perarakan ke Istana Negara akan dimulakan tepat jam 2 petang untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat membantah ISA

3. Semua peserta dikehendaki mengikut arahan pihak keselamatan (Jabatan Amal) yang berpakaian merah

4. Peserta digalakkan masuk awal ke Bandaraya Kuala Lumpur dengan meggunakan kenderaan awam untuk mengelakkan kesesakan

Sekian,

Kamaruzaman Mohamad
Timbalan Pengarah Himpunan Mansuh ISA,
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat. _

49 tahun lalu, PAS yakin ISA akan disalahguna

Ahmad Tajdid


BERIKUT adalah sedutan ucapan Ahli Parlimen Bachok yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Zulkiflee Muhammad ketika bangun membahaskan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada 21 Jun 1960.

Tuan Yang Dipertua, di hadapan kita ini ada satu Rang Undang-undang yang bertujuan hendak memerangi subversif, dan di-dalam Undang-undang ini ada beberapa peraturan yang ditujukan kapada maksud itu.

Tuan Yang Dipertua, saya bangun di sini menyokong undang-undang ini. Tetapi saya hendak menceritakan beberapa perkara yang ada di-dalam Undang-undang ini yang pada fikiran saya akan boleh menimbulkan kepayahan dan kesusahan dan akan boleh digunakan bagi maksud yang lain daripada maksud yang asal Undang-undang ini.

Tadi, Timbalan Perdana Menteri (Tun Abdul Razak Hussain) sudah memberikan fikirannya dan di dalam ucapannya yang panjang itu dia telah memberi satu tegasan mengatakan bahawa Undang-undang ini tidak dimaksudkan untuk mencengkam kebebasan dan demokrasi di dalam negeri ini. Dan dia telah berjanji dan memberi jaminan tidak pula ada tujuan Kerajaan hendak menggunakan Undang-undang ini bagi maksud menahan perkembangan parti-parti politik yang bertentangan dengan Kerajaan.

Saya tidak tahu sama ada janji ini boleh dipegang atau tidak. Itu akan diterangkan oleh perbuatan-perbuatan yang akan ditunjukkan kepada Menteri itu; tetapi saya memberi amaran, Tuan Yang Dipertua. Di-dalam mempersetujukan ini saya memberi amaran bahawa kalau sah dan benar tujuan Kerajaan hendak mengawal, memelihara dan mengembangkan demokrasi di negeri ini maka amalkanlah Undang-undang ini menurut dasar pengubalannya.

Sebarang salah guna dari Undang-undang ini akan membawa satu reaksi yang buruk dan tidaklah menjadi mustahil kalau sesudah berjanji hendak dijalankannya dengan baik, tidak mustahil Kerajaan itu hendak menjalankan dengan tidak baik. Orang-orang atau setengah atau sebahagian daripada manusia daripada negeri ini akan menjadi komunis jika disalah pakai Undang-undang ini.

Kita tahu kesalahan-kesalahan dan penyakit-penyakit yang ada di dalam Undang-undang sebagaimana saya sebutkan, tetapi bagi kepentingan keselamatan negeri dan atas asas bahawa Undang-undang ini menuju kapada mencegah perkembangan subversif (komunis) dan terrorism (keganasan) maka kita sokong.

Tuan Yang Dipertua, apabila kami menyokong Undang-undang ini, kami tuntut kepada Kerajaan supaya meluaskan fahaman di dalam makna subversif tidak sahaja subversif dari komunis, tetapi sebarang anasir yang tidak diingini yang ingin menjatuhkan tatahidup demokrasi di dalam negeri ini hendaklah ditegah sama ada dia melakukan subversifnya itu dengan cara langsung atau tidak langsung.

Saya maksudkan puak-puak Amerika, puak-puak Inggeris, puak-puak apa sahaja yang cuba hendak menggunakan helah dan dayanya bagi menjahanamkan tatahidup di negeri ini di dalam subversif.

Sebabnya Tuan Yang Dipertua, "Prejudicial to the interest of this country" yang menjadi teras bagi perkara yang besar di dalam Undang-undang ini tidaklah semata-mata dihadkan kepada sesuatu puak sahaja. Saya bersetuju bahawa bahaya-bahaya komunis amatlah besar. Dan ada masanya iaitu akan bertambah besar. Cara-cara mengembangkan komunis di dalam negeri ini bukanlah payah. Sedikit kesilapan akan membalikkan sejarah negeri ini kepada apa yang telah berlaku.

Bagi pihak saya, sehinggakan pengisytiharan Perdana Menteri menyokong kemasukan China ke dalam United Nation (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) itu pun saya rasa, ada mempunyai bibit yang menyeronokkan orang-orang komunis di dalam negeri ini, dengan memberikan kekuatan kapadanya bahawa sekarang negara besarnya telah diakui dan komunisnya sa-kurang-kurangnya dihormati.

Sekurang-kurangnya Perdana Menteri kita telah memberi sadikit angin kepada goyangnya pokok komunis di Tanah Melayu ini dengan pengisytiharan yang saya tidak hendak bahaskan kerana itu soal luar negeri tetapi tidak di-nafikan adanya sokongan moral komunis.

Tuan Yang Dipertua, di-dalam Undang-undang ini, ada beberapa perkara yang tidak terang dan ini akan saya cuba menyebutkannya, supaya dengan menyebutkan perkara-perkara itu dapatlah Kerajaan itu betul-betul mengamalkan Undang-undang ini dengan jiwa dan roh Undang-undang. Ini tidak dengan jiwa dan roh yang lain dari dasar menggunakan Undang-undang ini.

Lagi sekali saya katakan, sebarang silap amal, salah gunakan Undang-undang ini bukan akan mengurangkan terrorist yang 400 orang itu bahkan akan menambah bilangannya. Sebarang penekanan yang tidak dibolehkan oleh Undang-undang ini akan mengakibatkan kesan balas yang tidak diingini.

Pergi kepada satu-satunya Undang-undang ini dan saya percaya Kerajaan ketika sekiranya orang menyokong satu Undang-undang Kerajaan itu maka berilah pertimbangan yang berat kepada fikiran yang dikemukakannya itu sebab dia tidak membangkang, cuma menyokong, kerana ada perkara-perkara yang dirisau, kok salah masuk maka akan sengetlah perjalanan jentera Undang-undang ini.

Tuan Yang Dipertua, di dalam mempersetujui Rang Undang-undang ini, Persatuan Islam Tanah Melayu memegang apa yang dicakapkan oleh Kerajaan bahawa dia tidak bertujuan hendak mencegah perkembangan politik yang sihat di dalam negeri ini. Sebab apa, Tuan Yang di-Pertua? Kerana kita memikirkan kepentingan keselamatan negara. Apa yang disyarahkan oleh orang-orang Persatuan Islam Tanah Melayu mudah sangat membawa kapada apa yang di-sebutkan di sini.

Dalam hal menentang terrorist (pengganas) ini, Tuan Yang Dipertua, kita tentulah tidak berapa risau sebab kategori atau jenis manusia yang disebutkan sebagai 'terrorist' adalah kurang orang yang mungkin dituduh. Maka apa yang ada dalam undang-undang ini yang menerangkan bahawa boleh kita maafkan, kalau pun ia itu terkeluar sedikit sesudah batas kebebasan hidup biasa. Sebab kita adalah berhadapan dengan 'terrorist'.

Walau bagaimana pun kalau ada kemungkinan kezaliman yang dapat dilakukan kepada orang yang kita rasa bukan dirinya penjahat maka patut dihindarkan dalam undang-undang atau yang menjalankan undang-undang ini.

Setelah saya menyebutkan dalam perkara ini tadi maka saya ingin mengemukakan kapada Tuan Yang Dipertua bahawa kami menyokong Rang Undang-undang ini demi kepentingan keselamatan negara, dan saya ulangkan peringatan yang diberi tadi bahawa sebarang salah guna di atas undang-undang ini akan mengakibatkan satu perkara yang sebaliknya.- tajdid_

J/K Sivakumar jatuh hukuman penjara ke atas Ganesan

Humayun Kabir


Jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Perak dari Pakatan Rakyat mengesyorkan supaya Speaker BN, Datuk S Ganesan dihukum enam bulan pejara kerana memegang jawatan speaker secara tidak sah sewaktu persidangan DUN Perak pada 7 Mei lalu.

Jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Speaker Pakatan, V Sivakumar, turut mengesyorkan Ganesan didenda RM500,000 atau enam bulan penjara.

Hukuman tersebut hendaklah dilaksanakan sebelum pembubaran DUN, kata jawatankuasa enam anggota itu, yang sekali lagi terpaksa bermesyuarat di sebuah hotel, selepas tidak dibenarkan memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan.

"Berkuatkuasa hari ini, Ganesan mesti berhenti bertindak sebagai speaker dan mesti mengosongkan pejabat speaker. Beliau juga mesti menyerah balik kereta rasmi speaker.

"Beliau juga tidak dibenarkan masuk DUN pada bila-bila masa pun," Kata Sivakumar

Sivakumar juga menegaskan bahawa beliau sebagai speaker yang sah, boleh mengarahkan polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Ganesan, tetapi "kita tidak akan mengambil tindakan tersebut dan akan menyerahkan kepada DUN untuk memutuskan nasibnya".

Sivakumar sekali lagi dilarang adakan mesyuarat

MALAYSIA KINI


Speaker DUN Perak dari Pakatan Rakyat, V Sivakumar dan anggota jawatankuasa hak dan kebebasan sebelum ini - kecuali ADUN Temengor Datuk Hasbullah Osman - sekali lagi tidak dibenarkan memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan bagi mengadakan mesyuarat jawatankuasa itu di kamar Speaker DUN.

Mereka mahu memasuki bangunan itu pada jam 10 pagi semalam tetapi tidak dibenarkan oleh anggota polis yang berkawal di situ.

Hasbullah dibenarkan masuk kerana beliau dilantik semula menganggotai jawatankuasa hak dan kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker baru, Datuk S Ganesan.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamshuzaman Sulaiman menemui Sivakumar di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk memaklumkan arahan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang mengatakan mesyuarat itu tidak boleh dijalankan kerana jawatankuasa berkenaan tidak sah dan sudah tidak lagi relevan, lapor Bernama.

Isnin lalu, Sivakumar yang masih mengaku dirinya sebagai Speaker DUN Perak turut dihalang polis daripada mengadakan mesyuarat yang bertujuan untuk membincangkan mengenai pelucutan jawatannya sebagai Speaker pada sidang DUN, 7 Mei lepas yang didakwanya dilakukan melalui 'sub-dewan' dalam DUN yang dianggap tiada dalam perundangan serta tindakan Ganesan mengarahkan polis memasuki sidang DUN untuk mengeluarkannya daripada dewan persidangan.

Menurut laporan Bernama lagi, kumpulan ADUN pembangkang yang diketuai Sivakumar itu akhirnya bersurai pada jam 11.30 pagi selepas pelbagai usaha mereka termasuk didakwa cuba merempuh masuk berjaya ditangani pihak polis.

Kumpulan tersebut turut memberi alasan untuk minum di kantin selain ingin ke tandas dalam cubaan mereka memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk mengadakan mesyuarat terbabit, namun gagal.

Selain Sivakumar dan Hasbullah, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebelum ini turut dianggotai ADUN Selingsing Husin Din (PAS), Chan Ming Kai (Simpang Pulai-PKR), Loke Chee Yan (Kepayang-DAP), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi-DAP), Sum Cheok Leng (Bercham-DAP).

Sementara itu, Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri berkata, jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan Sivakumar tidak boleh mengadakan mesyuaratnya kerana ianya tidak lagi sah ketika ini.

Katanya, ini kerana keanggotaan jawatankuasa itu adalah sah untuk satu penggal sahaja dan keanggotaan jawatankuasa berkenaan gugur dengan sendirinya apabila DUN memasuki penggal berikutnya.

"Oleh kerana Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan yang bersidang pada 7 Mei lepas telahpun membuat pelantikan baru bagi jawatankuasa itu, maka keanggotaan jawatankuasa yang dipengerusikan Sivakumar mulai Penggal Pertama Dewan sudah tidak lagi sah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata persidangan DUN 7 Mei lepas telah melantik Speaker Datuk R Ganesan sebagai pengerusi baru Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan dianggotai oleh ADUN Temengor Datuk Hasbullah Osman, Datuk Rusnah Kassim (Hulu Kinta), Datuk Mohd Khusairi Abdul Mutalib (Slim), Datuk Nasarudin Hashim (Bota) dan Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).

"ADUN Tebing Tinggi dari DAP Ong Boon Piow turut dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan melalui usul yang telah dikemukakan oleh ADUN Sungai Rapat Datuk Hamidah Osman dan disokong oleh ADUN Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad," katanya.

Demo ISA: Pesilat lincah digesa patuhi larangan polis

Abdul Rahim Sabri


Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju menasihatkan semua anak muridnya supaya akur kepada arahan polis supaya tidak menyertai perhimpunan pro-ISA Sabtu ini.

Sebelum ini, persatuan tersebut telah menyatakan sokongannya untuk bersama Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang menganjurkan perhimpunan tersebut, ekoran tindakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menganjurkan perhimpunan anti-ISA pada hari yang sama.

"Polis kata jangan, janganlah...," kata Omardin.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman mengarahkan Pewaris dan GMI supaya membatalkan perhimpunan tersebut kerana khuatir ia menimbul ketegangan dan mengganggu keselamatan awam.

Bagaimanapun, Pewaris berkata, pihaknya akan meneruskan perhimpunan tersebut sekiranya GMI masih meneruskan rancangannya itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Omardin berkata sekiranya ada di kalangan anak muridnya yang berbuat demikian, maka pertubuhan itu tidak akan bertanggungjawab di atas tindakan mereka.

Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu menanggung sendiri akibatnya.

"Maklumlah anak murid saya terlalu ramai... polis halang, kena patuh, akur," katanya sambil meminta semua pihak supaya akur arahan polis itu.

"Saya selaku mahaguru merayu kepada anak murid saya supaya akur dengan keputusan pihak polis (melarang perhimpunan itu)," katanya.

Katanya, jika polis melarang perhimpunan itu diadakan, maka persatuannya akan akur dan tidak akan menyertainya.

Ketua NUJ Utusan kena tindakan lebih serius

Jimadie Shah Othman
(dikemaskini)


Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu dikenakan tindakan siasatan dalaman Selasa ini atas dakwaan memfitnah dan menjejaskan reputasi syarikat.

Amran Ahmad pertengahan bulan ini dikenakan surat tunjuk sebab susulan tindakannya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung perbelanjaan syarikat.

Ahli majlis eksekutif kesatuan itu Wan Syamsul Amly Wan Seadey memberitahu Malaysiakini hari ini, majikannya telah memaklumkan tentang siasatan dalaman tersebut dalam satu notis, Isnin lalu.

Menurut notis berkenaan, Amran diperintah hadir pada 4 Ogos, jam 10.00 pagi di Pusat Latihan Utusan di ibu pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Amran akan berdepan dengan tiga pertuduhan memfitnah - berdasarkan tiga laporan di Malaysiakini dan Harakahdaily - yang berhubung tindakannya ke SPRM, jelas Wan Syamsul lagi.

Pada 25 Jun lalu, ketua kesatuan wartawan akhbar Umno itu melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara dua bulan sebelumnya, NUJ Utusan mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilangnya di Perai, Pulau Pinang yang didakwa "terlalu mahal" RM160,000.

Mengulas lanjut siasatan tersebut, Wan Syamsul berkata, Amran hanya dibenarkan melantik wakil dalaman bagi membantu pembelaan kesnya dan mengemukakan saksi-saksi berkaitan.

Bagaimanapun, menurut ahli majlis eksekutif NUJ Utusan itu, Amran mahu diwakili peguam yang dilantiknya M Manoharan – juga ADUN DAP Kota Alam Shah – bagi menangani pertuduhan terhadapnya.

Surat permintaan untuk hadir bagi membela anak guamnya itu dikirim Isnin lalu – sejurus selepas Amran menerima notis – tetapi setakat ini belum dijawab, kata Wan Syamsul.

Sementara itu, majlis memperingati genap setahun kegagalan NUJ Utusan mematerai perjanjian bersama (CA) akan berlangsung jam 8 malam ini di kawasan letak kenderaan syarikat berkenaan.

Ia dijadual dihadiri beberapa bekas pengerusi kesatuan tersebut Datuk Yazid Othman dan bekas presiden NUJ Abdullah Tahir.

Said Zahari – yang terkenal kerana memimpin "mogok Utusan" pada 1961 kerana menentang pengambilalihan akhbar itu oleh Umno – tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Amran akan berucap malam ini menjelaskan status terkini CA mereka kepada kira-kira 300 ahli kesatuan itu, melibatkan wartawan, jurugambar dan artis grafik di penerbitan itu.

Apakah MCA teruskan dengar isu DVD seks Dr Chua?

MALAYSIA KINI


Apakah Jawatankuasa Disiplin MCA akan membatalkan pendengaran kes penglibatan timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam kes DVD seks selepas pengadu menarik balik aduannya?

Pengerusi MCA Simpang Renggam, Eng Cheng Guan sebelum ini memfailkan aduan kepada lembaga disiplin parti meminta tindakan diambil terhadap bekas menteri kesihatan itu kerana menjejas reputasi dan imej parti, serta melanggar tata susila anggota MCA.

Eng bagaimanapun berkata beliau telah memberitahu lembaga itu semalam hasratnya untuk menarik balik kes itu dan tidak berhasrat meneruskannya, lapor Bernama.

"Ia sudah terlalu lama. Dalam politik, seharipun dianggap terlalu lama. Saya kemukakan aduan ini pada 2008. Kini sudah lebih setahun.

"Saya tidak berhasrat meneruskan kes ini lagi," katanya kepada agensi berita itu.

Keputusannya menarik balik kes itu atas kehendaknya sendiri
dan tidak disebabkan tekanan atau arahan pihak lain, tambah Eng.

"Ini keputusan saya sendiri. Lagipun, bila saya kemukakan aduan ini, ia dialamatkan kepada Tan Sri Chan Kong Choy, sudah lebih setahun sekarang (bila Chan timbalan presiden parti dan ketua Lembaga Disiplin MCA)," beliau dipetik berkata.

Chan tidak lagi memegang kedua-dua jawatan itu selepas pemilihan parti pada Oktober tahun lepas.

Penghujung 2007, DVD yang dirakam secara rahsia yang menunjukkan babak-babak seks Dr Chua dan teman wanitanya diedarkan di beberapa tempat di Johor.

Susulan itu, Dr Chua mengakui beliau orangnya dalam DVD itu dan beliau meletakkan semua jawatan dalam kerajaan dan parti.

50,000 hadiri demo anti-ISA, Sabtu ini

Jimadie Shah Othman


Tinggal dua hari lagi sebelum perhimpunan besar anti-ISA, kumpulan penentang akta itu yakin mendapat sokongan sekurang-kurangnya 50,000 penunjuk perasaan bagi menyatakan bantahan mereka.

"Berdasarkan maklum balas yang kita terima, sekurang-kurangnya 50,000 orang," kata ahli jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Norlaila Othman kepada Malaysiakini hari ini.

Norlaila, yang juga isteri bekas tahanan ISA Mat Sah Mohamad Satray, berkata perhimpunan anti-ISA dijangka mendapat lonjakan sokongan ekoran kematian misteri Teoh Beng Hock baru-baru ini.

"Setakat ini kita dapat sambutan baik, antaranya melalui maklum balas daripada ceramah-ceramah," kata Norlaila lagi.

Tambahnya, pihaknya kini mengambil langkah berjaga-jaga untuk berdepan dengan kemungkinan cubaan pihak berwajib mengambil tindakan awal bagi menggagalkan perhimpunan anti-ISA, Sabtu ini.

"Kita berjaga-jaga sekarang. Kita tidak tolak kemungkinan itu," tambahnya.

Norlaila berkata, GMI dijadual menghantar surat kepada pihak polis hari ini, bagi memaklumkan mengenai perhimpunan berkenaan.

Mengenai "Deklarasi Rakyat" menentang akta itu - yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong - beliau berkata, ia akan diedarkan kepada media pada pagi 1 Ogos ini.

Kumpulan anti-ISA merancang bergerak mulai jam 2 petang dari tiga lokasi - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara - dengan berpakaian hitam dan merah - sebelum bergerak ke Istana Negara.

Pada masa yang sama, kumpulan pro-ISA pimpinan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dengan berpakaian putih pula berkumpul di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Di sana, mereka akan menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki dan berarak ke Istana Negara.

MIC mahu kuota 7.4 peratus dalam GLC

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: MIC mahu sekurang-kurangnya kuota 7.4 peratus kaum India berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),termasuk pada peringkat eksekutif dan pengurusan kanan, kata presiden parti, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Beliau berkata kuota itu berdasarkan sasaran minimum 7.4 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam.

"Kita sedar bahawa banyak GLC telah menambah bilangan pengambilan kaum Indiatetapi lebih ramai boleh dilakukan," katanya merasmikan persidangan perwakilanMIC Terengganu di sini hari ini.

Telekom Malaysia Berhad semalam berjanji kepada Menteri Sumber Manusia DatukDr S.Subramaniam untuk mengambil lebih ramai kaum India bagi memenuhi kuota 7.4peratus oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dr Subramaniam, yang juga setiausaha agung MIC berkata setakat ini bilangankaum India di syarikat tersebut hanya 4.6 peratus dan ini perlu ditambah bagimenunjukkan keseimbangan kaum dalam tenaga kerja di sektor awam.

Samy Vellu juga berkata MIC telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yangdiketuai Datuk Dr Denison Jayasooria untuk menyediakan laporan komprehensifmengenai rancangan, dasar dan program bagi masyarakat India dalam RancanganMalaysia Kesepuluh (RMK-10) bermula 2011 hingga 2015.

Di Terengganu pula, Presiden parti itu berkata beliau akan menemui MenteriBesar Terengganu Datuk Ahmad Said tidak lama lagi untuk meminta lebih banyakpeluang perniagaan bagi kaum India di negeri ini.

"Sunggguhpun jumlah kaum India di Terengganu kurang satu peratus, ramai yangterbabit dalam perniagaan kecil dan sebagai kontraktor.

Kerajaan negeri ini boleh memperuntukkan sesetengah kontrak kerajaan kepadamereka," tambah Samy Vellu.

Demo ISA: Polis mulakan sekatan jalan-jalan utama di Lembah Klang

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Polis telah mula mengadakan sekatan lalu lintas di lokasi-lokasi utama di Lembah Klang sejak pagi bagi halang perhimpunan anjuran 2 kumpulan di Kuala Lumpur esok

Dua kumpulan yang masing-masing pro dan anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Sabtu ini, Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran).

Magaran merupakan kumpulan yang mahu ISA dikekalkan.

Esok Magaran merancang untuk mula berkumpul di tiga kawasan iaitu di Masjid Negara, Padang Merbok dan Pasar Seni sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Mereka kemudiannya akan menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang antaranya menyatakan sokongan terhadap ISA.

Sementara itu, kumpulan anti-ISA - GMI turut akan berkumpul di tiga lokasi iaitu di kompleks membeli-belah SOgo, Masjid Negara dan Masjid Jamek.

Dari tiga lokasi berkenaan, penyokong GMI akan bergerak serentak menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan 'Deklarasi Rakyat' kepada Yang di-Pertuan Agong.

H1N1: 11 kem PLKN ditutup tujuh hari

BERNAMA


PULAU PINANG: Sebelas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di semenjung diarah tutup setakat ini berikutan pelatihnya menunjukkan tandatanda jangkitan influenza A (H1N1).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penutupan kem itu melibatkan 4,500 pelatih dan kirakira 200 petugas dan mereka diminta berada di rumah selama seminggu.

Beliau berkata semua aktiviti PLKN akan diadakan semua mengikut modul yang ditetapkan selepas semua pelatih dibenar kembali ke kem.

"Kami akan ambil tindakan sama ke atas kem PLKN yang lain jika keadaan yang sama berlaku di kem-kem itu. Terdapat 87 kem di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan petugas kem tentera Tun Razak di Bayan Lepas, di sini, semalam.

Ditanya jumlah pelatih yang disahkan positif virus itu, Ahmad Zahid berkata: "Kami tidak pasti berapa ramai yang dijangkiti tapi daripada maklumat yang saya dapat, tiada yang pulang dari dari luar negara, termasuk petugas kami".

Beliau meminta ibu bapa pelatih terlibat supaya tidak panik kerana kementerian akan mengambil tindakan drastik bagi mengatasi masalah itu.

Ahmad Zahid juga berkata pertandingan akhir kem PLKN terbaik seluruh negara yang dijadual 19 Ogos telah ditunda.

Penyokong Pakatan, MIC bertembung di ibu pejabat MIC

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 penyokong MIC dan Pakatan Rakyat 'bertembung' di luar bangunan Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat di sini berhubung isu Maika Holdings dan Kg. Buah Pala, semalam.

Kedua-duanya menunjukkan 'kekuatan' masing-masing apabila kira-kira 500 penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula berkumpul di luar bangunan MIC.

Mereka membawa kain rentang tertulis 'perhimpunan demi keadilan kepada pelabur-pelabur Maika Holdings' dan 'pulangkan hak kami'.

Perhimpunan tersebut diketuai Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Pada pukul 12 tengah hari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu tiba di bangunan itu dan bertemu dengan Ketua Pemuda MIC, T Mohan untuk menyerahkan memorandum berkaitan tuntutan Maika Holdings.

Bagi 'melawan' penyokong PKR, kira-kira 700 penyokong MIC turut berhimpun melaungkan 'Pakatan penipu' dan memegang kain rentang tertulis 'Pakatan Rakyat aniaya penduduk Kampung Buah Pala, pulangkan tanah kami, Kampung Buah Pala'.

Ekoran perhimpunan itu, kesesakan lalu lintas teruk selama dua jam berlaku di Jalan Ipoh dan Jalan Tun Razak di sini sejak pukul 11 sehingga polis terpaksa menutup Jalan Ipoh sehingga pukul 1 tengah hari.

Antara pemimpin DAP dan PKR yang turut serta dalam perhimpunan itu adalah Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Prof P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang; Naib Presiden PKR, R. Sivarasa.

Ketika kejadian itu, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC sedang berlangsung dan dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri S Samy Vellu.

Anak Samy Vellu, Vell Paari hadir di pekarangan bangunan MIC ketika itu. Isnin lalu, Vell Paari yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings berkata, beliau sedia untuk bertemu dengan sesiapa hari ini untuk menerangkan keadaan sayap pelaburan MIC itu.

Dalam satu sidang media di aras tiga, bangunan MIC, Vell Paari berkata, pihaknya telah menerima memorandum yang diserahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Ronnie Liu.

“Selepas menyerahkan memorandum saya turut memberi penjelasan kepadanya (Ronnie Liu) mengenai Maika Holdings.

“Dalam memorandum berkenaan mereka (Pakatan Rakyat) telah meminta kami (Maika Holdings) menjelaskan liabiliti (hutang) yang ditanggung oleh Maika Holdings,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, perhimpunan itu yang diketuai oleh beberapa pemimpin parti DAP dan PKR bermula pukul 11.30 pagi di sebuah hospital swasta berhampiran Ibu Pejabat MIC sebelum berarak menuju ke bangunan tersebut.

Menurut beliau, untuk mengelakkan berlaku kekecohan dan pergaduhan, polis mengambil tindakan dengan menempatkan beberapa anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

"Polis telah dapat mengawal keadaan dan tiada sebarang kekecohan yang berlaku, serta tiada tangkapan dibuat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa kain rentang yang dibawa dan menyuraikan perhimpunan itu pukul 1 tengah hari.

Polis siasat 'orang dalam' seludup pil Eramin bernilai RM20 juta

BERNAMA


PULAU PINANG: Polis tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan 'orang dalam' berhubung penyeludupan pil eramin 5 bernilai RM20 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Sungai Dua di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata ini kerana kesemua pil khayal berkenaan dibawa masuk melalui kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) dari Taiwan tanpa sebarang masalah.

"Kita sedang siasat dan teliti semua dokumen perjalanan kontena yang membawa dadah berkenaan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan pembabitan 'orang dalam' di lapangan terbang berkenaan yang membolehkan dadah itu diseludup dari Taiwan tanpa sebarang masalah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" adalah antara enam lelaki dan dua wanita yang diberkas berhubung penemuan sejuta biji pil khayal itu pada Selasa lepas dalam serbuan di gudang yang terletak di belakang sebuah restoran itu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis ketamin seberat 374 gram dan menahan lima lelaki yang terdapat dalam gudang itu bagi membantu siasatan.

Ayub berkata lelaki berstatus "Datuk" itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes rasuah, senjata api dan curi.

Beliau berkata polis turut menyita pelbagai barangan milik mereka yang ditahan itu antaranya tujuh buah kenderan termasuk kenderaan mewah, wang tunai pelbagai mata wang, barang kemas, barangan elektrik dan jam tangan mewah yang kesemuanya bernilai RM3.5 juta.

Ayub berkata siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan dan pengedaran pil berkenaan mempunyai rangkaian di beberapa negeri lain dan telah aktif sejak setahun lepas.

Beliau berkata penyeludupan itu berjaya dibanteras hasil risikan dan intipan selama lima bulan serta kerjasama daripada polis Taiwan.

"Terima kasih kepada Polis Taiwan yang menyalurkan maklumat kepada kita sehingga berjaya merampas pil berkenaan di gudang yang dipercayai dijadikan tempat pemunggahan serta penyimpanan stok dadah itu," katanya.

Katanya polis percaya pil yang dijual dengan harga RM20 sebiji itu adalah untuk pasaran dalam negara.

"Daripada kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 50 tahun itu, tujuh direman sehingga 4 Ogos ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (memperuntukan hukuman mati mandatori).

"Manakala enam lagi disiasat menurut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (LangkahLangkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.

Khamis, 30 Julai 2009

Dua pemimpin Pemuda Pas kena siasat

BERITA HARIAN ONLINE


KUANTAN: Polis mengambil keterangan dua pemimpin Pemuda Pas semalam bagi membantu siasatan kes menghasut orang ramai supaya menghadiri perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata Ketua Dewan Pemuda Pas Paya Besar, Tarmizi Yahya, 34, dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi, 35, dipanggil memberi keterangan selepas mengajak orang ramai menghadiri membantah ISA.

"Hasutan itu dipercayai dibuat dalam ceramah umum di Markas Pas Kampung Pandan 2 dekat sini, kelmarin," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin, berhubung permintaan pelbagai pihak termasuk peniaga, kesatuan sekerja serta badan bukan kerajaan (NGO) supaya penganjur perhimpunan haram yang mahu bagi mendesak kerajaan menghapuskan dan mengekalkan ISA di ibu negara Sabtu ini, membatalkan hasrat mereka.

160,000 majikan dikesan gagal carum perlindungan

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar


ALOR GAJAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mengadakan gerakan memburu kira-kira 160,000 majikan di seluruh negara yang dikesan gagal membuat potongan caruman bulanan untuk pekerja yang layak menerima perlindungan daripada agensi kerajaan itu, bermula Sabtu ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata gerakan pemeriksaan itu akan diadakan secara besar-besaran membabitkan semua pejabat cawangan agensi berkenaan yang dilaksanakan menerusi konsep dari pintu ke pintu semua pejabat majikan yang disenaraikan.

"Kita sudah memberi tempoh sehingga 1 Ogos ini kepada mereka untuk segera membuat caruman dan kita harap pihak berkenaan akan mematuhinya.

"Selepas itu, kita akan mengambil tindakan menerusi gerakan memburu secara besar-besaran," katanya selepas menghadiri majlis jamuan dan dialog sempena Bengkel Pemahaman Perkeso Bersama Wartawan 2009 di sini, malam kelmarin.

Bengkel yang dihadiri kira-kira 30 wartawan itu antara lain bertujuan membentuk keharmonian dan hubungan baik antara kedua-dua pihak, di samping meningkatkan kemahiran serta pengetahuan membabitkan hak pekerja dan majikan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkeso, K Selvarajah.

Maznah berkata, pada masa ini ada 550,000 majikan berdaftar di seluruh negara dengan hanya 41 peratus atau 389,000 majikan yang aktif mencarum untuk pekerjanya yang berjumlah 5.6 juta.

Katanya, mengikut Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan yang gagal membuat caruman boleh didenda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Gerakan pemeriksaan itu juga membabitkan majikan yang lewat membuat bayaran caruman, walaupun sudah memotong gaji bulanan pekerja," katanya.

Terdahulu, Maznah ketika berucap berkata, seramai 315,172 pekerja yang terbabit dalam pelbagai masalah pada tahun lalu, sudah menerima faedah daripada Perkeso berbanding 290,463 pada tahun sebelumnya.

"Mengikut rekod tahun lalu, Perkeso sudah membayar sebanyak RM1.186 juta kepada mereka yang terbabit dalam kemalangan ketika bekerja, manakala bagi 2007 pula, sebanyak RM1.061 juta sudah dijelaskan," katanya.

Pekerja lihat pelakon buang harga buku

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini semalam, diberitahu pelakon Gerak Khas, Mohd Farid Amirul Hisham Wu Abdullah menanggalkan kod penggera dan harga dua buku MPH Bookstore sebelum memasukkannya ke dalam beg sandang, Mac lalu.

Detektif dalaman MPH Bookstore, Mid Valley, Mohd Aqib Mohd Yusof, 18, berkata beliau melihat dengan jelas tertuduh menanggalkan kod penggera buku The Sistine Secrets dan Decoding The Heavens sebelum mencampaknya ke lantai.

Saksi utama pendakwa itu yang menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli, berkata beliau mengekori tertuduh sehingga ke bahagian buku muzik selepas mendapati dia menanggalkan tanda harga dua buku itu dan berlegar di sekitar kedai buku terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Aqib berkata, beliau tidak mengambil kod penggera yang dibuang kerana mengekori tertuduh agar tidak melarikan diri.

“Tertuduh ke kaunter dan hanya membayar dua buku di tangannya.

“Ketika pemeriksaan, kami dapati dua buku di dalam beg sandangnya dan dia mengaku mencuri buku itu,” katanya.

Perbicaraan ditangguh pada 7 Ogos ini. Tertuduh yang terkenal dengan watak detektif Lim dituduh mencuri dua buku berharga RM194.90 itu di kedai MPH Bookstore, Mid Valley, di sini pada jam 7.15 malam, 27 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Perbicaraan di depan Majistret Mohd Faizi Che Abu ditangguh pada 7 Ogos ini.

100 rumah rosak dipukul ribut


Pelajar Amirul Abu Kassim menjemur buku sekolah yang basah selepas bumbung rumahnya musnah dihempap pokok pada kejadian ribut di Kampung Buloh Poh, Melor, Kota Bharu, semalam. - utusan/Hafiz Johari


UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU - Hampir 100 buah rumah, melibatkan lebih 200 keluarga di empat kampung di Melor, dekat sini, musnah akibat dipukul ribut petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 petang itu mengakibatkan sebahagian besar bumbung dan siling rumah-rumah terbabit diterbangkan angin.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Lanchang, Kampung Buloh Poh, Kampung Padang Tok Mat dan Kampung Durian Pahit.

Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan meskipun ketika kejadian tersebut kebanyakan penghuni berada dalam rumah masing-masing.

Mangsa, Ranani Ismail, 47, berkata, dia baru selesai menunaikan solat asar dan suaminya di ruang dapur manakala tiga anak mereka dalam bilik.

"Secara tiba-tiba angin kencang melanda, saya dengar ranting kayu jatuh di atas bumbung dan nampak pokok kelapa bergoyang dipukul ribut.

"Saya yang bimbang keadaan itu, menjerit semua ahli keluarga lari keluar rumah menyelamatkan diri," katanya.

Beliau berkata, selang beberapa ketika, sebatang pokok durian di belakang rumahnya tumbang.

Katanya, hujan lebat kemudian menyebabkan semua perabot dan peralatan rumahnya basah dan rosak.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad yang melawat tempat kejadian menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk terlibat.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada masa ini sedang mentaksir jumlah kerugian dan akan menyalurkan bantuan mengikut kerosakan dialami,'' katanya.

Doktor pukul wartawan mohon maaf

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Seorang doktor di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang didakwa mengasari wartawan akhbar China Press kelmarin mengakui kesilapannya dan telah memohon maaf kepada petugas media itu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh HPP menerusi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Phee Boon Poh dalam satu dialog tertutup bersama pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak HPP memaklumkan bahawa doktor muda itu bertindak sedemikian bagi mempertahankan seorang pesakit mental.

"Bagaimanapun, selepas siasatan lanjut dibuat, beliau menyedari tindakan mengasari wartawan terbabit merupakan satu kesilapan.

"Sehubungan itu, beliau secara ikhlas memohon maaf atas kesilapannya dan saya berharap perkara itu tidak berlaku lagi,'' katanya pada majlis dialog tersebut.

Ia dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Datuk Dr. Teh Lei Choo; Pengarah HPP, Dr. Juita Ghazalie; Timbalan Pengarah Kesihatan Awam JKN, Dr. Yasmin Sulaiman dan Timbalan Pengarah Perubatan JKN, Dr. Hassan Merican.

Turut hadir Pakar Perubatan Kecemasan HPP yang juga ketua siasatan kes berkenaan, Dr. Teo Aik Howe; Pengerusi Kelab Penang Press, Wong Soon Eng serta wakil-wakil media daripada agensi masing-masing.

Dalam kejadian itu, mangsa, Teh Chee Hean, 30, mendakwa dikasari oleh seorang pegawai perubatan HPP ketika mengambil gambar pesakit di pekarangan tempat letak kenderaan di Unit Kemalangan dan Kecemasan HPP.

Chee Hean yang mengalami cedera ringan di lutut, bahu dan tangan menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Menurut Boon Poh, kedua-dua pihak menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

''Mereka juga bersedia untuk memberikan kerjasama membantu siasatan. Pihak HPP akan menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian tempoh hari,'' jelasnya.

Sementara itu, Soon Eng yang mewakili Chee Hean menerima permohonan maaf daripada doktor yang berusia 30-an itu, namun siasatan polis terhadap insiden berkenaan diteruskan

'Kembalikan saham Bernas kepada rakyat'

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk mengembalikan saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang kini dimiliki orang luar ke tangan rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, Gabem akan membuat gesaan bertulis kepada kerajaan supaya kedudukan saham Bernas itu dikaji semula.

''Kalau boleh biar Bernas jadi macam badan korporat di mana sahamnya diapungkan di pasaran jadi komoditi strategik.

''Macam mana kita boleh benarkan sampai 30 peratus komoditi penting seperti makanan harian rakyat Malaysia dikuasai orang luar,'' soalnya ketika ditemui pemberita di pejabat Gabem di sini hari ini.

Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. yang kini muncul pemegang saham tunggal terbesar dalam syarikat strategik pembekalan beras negara itu.

Mengikut laporan tersebut, berdasarkan pengumuman urus niaga pemegang saham utama Bernas di Bursa Malaysia baru-baru ini, Wang Tak menguasai 147.51 juta saham atau 31.36 peratus daripada keseluruhan 470.402 juta saham Bernas.

Rahim berkata, demi kepentingan nasional, komoditi strategik Malaysia termasuk beras mesti dikuasai rakyat negara ini jika tidak dikuasai kerajaan demi menjaga masa depan negara.

''Sebelum ini pun pandangan supaya saham-saham yang dikuasai orang luar dalam perniagaan seperti beras dikembalikan ke tangan rakyat Malaysia sudah dinyatakan dalam satu atau dua forum,'' ujarnya.

Tambah beliau, Malaysia kekurangan beras dan jika ada unsur-unsur luar atau negara luar menguasai saham-saham pada jumlah yang besar, ia dikhuatiri dapat dimanipulasi pada saat-saat genting.

''Kita patut ingat beras ialah makanan asasi rakyat Malaysia, jadi jangan kita buka luas saham kita sehingga orang luar dalam diam sudah ambil dalam jumlah yang besar.

''Walaupun kita rasa kita boleh kawal, namun persepsi rakyat kita tidak dapat menerima saham dimiliki negara luar,'' kata Rahim.

Jelasnya, beras merupakan kepentingan negara kerana ia bukan sahaja dimakan oleh orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia termasuk Iban, Cina dan India.

Balak: Pemuda buat laporan kepada SPRM

UTUSAN ONLINE


ALOR SETAR - Pergerakan Pemuda UMNO negeri hari ini membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud penyelewengan dalam pemberian tender balak di Kubang Pasu dekat sini.

Ketua pergerakannya, Badrol Hisham Hashim membuat laporan pukul 4 petang ini bagi meminta SPRM melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan itu yang sedang hangat di negeri ini.

Badrol yang ditemui pemberita selepas membuat laporan itu berkata, keterangannya dibuat di hadapan Timbalan Pengarah SPRM negeri, Abdul Aziz Ishak dan seorang pembantunya selama hampir sejam setengah berhubung isu itu.

Katanya, isu tersebut sudah lama timbul dan baru sekarang pihaknya mendapat bukti bahawa wujud ketidaktelusan dalam pemberian tender pengeluaran balak di satu kawasan di Kubang Pasu.

Beliau mendakwa, isu penyelewengan pemberian tender balak tersebut turut melibatkan salah guna kuasa pemimpin kerajaan negeri ini.

''Pemuda UMNO negeri meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap SPRM supaya menyiasat kes ini dengan telus dan seadil-adilnya," katanya.

Gerakan buat laporan SPRM

Oleh NURUL HUDA HASSAN


PULAU PINANG - Gerakan negeri hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung proses tukar hak milik tanah Kampung Buah Pala yang didakwa dilakukan oleh kerajaan negeri.

Naib Ketua Pemudanya, H'ng Khoon Leng berkata, laporan dibuat melalui faksimile dan e-mel yang dialamatkan kepada Pengarah SPRM negeri, Latifah Md. Yatim pada pukul 1.22 petang.

Katanya, tindakan kerajaan negeri itu sebenarnya yang telah 'membunuh' harapan penduduk kampung berkenaan apabila surat pengesahan pemilikan tanah itu dilakukan selepas dua minggu mengambil alih kepimpinan negeri ini.

Tambahnya, ia jelas terbukti apabila kerajaan negeri membayar baki premium sebanyak RM2.4 juta kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang (Koperasi) pada 14 Mac 2008.

Menurutnya, surat pengesahan pemilikan tanah berkenaan yang berstatus Tanah Negara pula telah disempurnakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada 27 Mac 2008.

Sedangkan pada hakikatnya, beliau menjelaskan, perjanjian sebenar telah pun terbatal kerana baki bayaran dibayar selepas tempoh diberikan tamat, tetapi kerajaan negeri di bawah pimpinan Guan Eng memilih untuk meneruskan perjanjian tersebut.

''Bayaran pertama dibuat pada 25 April 2007 dan mereka perlu membayar baki dalam tempoh tiga bulan, namun baki hanya dibayar pada 14 Mac 2008 iaitu enam hari selepas mereka memerintah negeri ini.

''Ini yang menimbulkan keraguan dan menjadi tanda tanya, mengapa ia dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa sehingga penduduk kampung kalah dalam proses mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, perkara tersebut memerlukan perhatian serius memandangkan DAP telah membuat pelbagai janji kepada penduduk kampung itu bahawa rumah mereka akan kekal dan selamat.

Mengulas lanjut, Khoon Leng memberitahu, perjanjian proses tukar milik tanah yang dibuat kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum itu adalah untuk memastikan kebajikan penduduk di situ diutamakan.

KDN arah siasat

Oleh HELMI MOHD. FOAD


PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu polis menyiasat secara terperinci dakwaan terdapat kongsi gelap menaja segelintir wakil rakyat bagi menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, siasatan itu penting kerana ia melibatkan kedudukan institusi negara iaitu Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

''Saya mahu ia disiasat secara terperinci, bukan susah nak kenal pasti, cuma saya mahu melihat laporan tertentu yang telah dibuat kepada polis.

''Kalau dakwaan ini dibiarkan tergantung, ia bukan sahaja akan mencemarkan wakil rakyat tertentu malah turut akan mencemarkan kedudukan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN," tegasnya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang menyebut seorang penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir wakil rakyat ditaja oleh kongsi gelap tertentu untuk menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.

Hasil analisis dan pemerhatiannya mendapati, banyak kegiatan haram antaranya pusat judi, hiburan, spa dan pelacuran tumbuh di kawasan terlibat selepas wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya.

Sementara itu, Hishammuddin menegaskan, kerajaan menganggap perhimpunan yang dirancang oleh Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) adalah perhimpunan haram.

Ini kerana katanya, sehingga kini tiada sebarang kelulusan permit diberikan, malah polis tidak menerima sebarang permintaan untuk mengadakan perhimpunan.

''Sekiranya mana-mana kumpulan sama ada pro atau yang anti-ISA melanggar undang-undang, kita akan mengambil tindakan, mereka semua tahu pendirian saya dan kita akan pantau keadaan," tegasnya.

Hishammuddin turut melahirkan rasa terkilan kerana isu ISA dieksploitasi dan dipolitikkan sedangkan kerajaan menyatakan komitmen untuk mengkaji kedudukan akta tersebut.

''Kalau nak teruskan juga perhimpunan, ini menjadi tanda tanya adakah kerana nak perjuangkan isu itu atau nak wujudkan huru-hara," ujarnya.

Rabu, 29 Julai 2009

Kerajaan Negeri Menyelar Tindakan Pejabat Kerajaan Pusat Di Selangor Yang Tidak Gantung Potret Menteri Besar

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Tindakan sebahagian besar jabatan kerajaan pusat di Selangor yang tidak mempamerkan potret Menteri Besar, diselar sekeras-kerasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, tindakan mereka bercanggah dengan keputusan rakyat, sekaligus tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan semua jabatan kerajaan pusat di negeri Selangor yang tidak memasang potret Yang Amat Berhormat, Dato’ Menteri Besar iaitu YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut yang bercanggah dengan keputusan rakyat dan sama sekali tidak menghormati Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana YAB Dato’ Menteri Besar adalah dilantik oleh Tuanku”, kata Ng Suee Lim.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul tersebut pada Persidangan Dewan Negeri Selangor yang berakhir pada 15 Julai lalu.

Menurut Ng, terdapat agensi dan jabatan kerajaan yang sering berurusan dengan orang ramai seperti Balai Polis, Hospital dan Kemas, juga masih engkar berbuat demikian.

“Masih juga terdapat di setengah tempat khususnya agensi kerajaan dan jabatan kerajaan pusat di negeri Selangor sebagai contoh di Balai Polis, Hospital, Kemas dan sebagainya masih tidak memasang gambar atau potret YAB Tan Sri Dato Menteri Besar sama ada sengaja atau sebaliknya”, katanya.

Sebaliknya, pejabat kerajaan negeri Selangor tidak bersikap sebegitu, malah turut menggantung potret Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana menghormati pilihan rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Kenapa perkara sedemikian masih timbul sedangkan di Pejabat Menteri Besar Selangor sendiri Tingkat 21 juga dipasang potret YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia, walaupun beliau bukan rakan seperjuangan dan seangkatan dengan kita”, tegas Ng lagi.

TV Selangor membuat tinjauan berhubung selepas usul tersebut diluluskan pada persidangan Dewan Negeri Selangor, baru-baru ini.

Hasil tinjauan, mendapati sesetengah pejabat agensi kerajaan pusat seperti Pejabat POS Malaysia dan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU), tidak mempamerkan potret Menteri Besar.

Malah, mereka juga enggan memberi kerjasama semasa diminta menjelaskan sikap mereka yang jelas tidak menghormati pemimpin pilihan rakyat.

Bagaimanapun, pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati mengambil inisiatif mempamerkan potret Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita memang dah jadi procedure, procedure kita dah jadi arahan am pejabat, untuk menggantung siapa sajalah yang gambar-gambar pegawai dan pemimpin negeri di sesebuah negeri. Bila berubah jer kita, kita dapat sekular dari kerajaan negeri, kita gantung mengikut tatacara biasa lah tak kira siapa”, kata Ketua Cawangan KWSP Shah Alam.

Selain itu, tinjauan turut mendapat respon baik daripada pemimpin di peringkat kampung dan daerah iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Kg. Padang Jaya, Shah Alam.

Mereka mengambil langkah drastik dengan menukar potret pemimpin baharu sebagai sokongan dan komitmen kepada kerajaan Selangor terkini.

Malah mereka berpendapat keengkaran sebahagian besar pejabat kerajaan pusat berbuat demikian perlu diambil tindakan dan diberi amaran keras kerana tindakan mereka ini jelas tidak menghormati Menteri Besar.

“Kita telah pun mengambil langkah yang drastik kerana kita ingin melihat bahawa balai raya kita yang ditadbir oleh JKKK di Kota rakyat nie telah ada gambar-gambar tersebut untuk menunjukkan sokongan kita dan komitmen kita kepada kerajaan negeri baru, Selangor khasnya.

“Tindakan susulan perlu diambil dan diberi amaran keras kepada jabatan-jabatan ini kerana mereka telah melanggar ataupun tidak menghormati kedudukan Menteri Besar sendiri”, kata Setiausaha Balai Raya Kampung Padang Jawa, Shah Alam.

Stesen Janakuasa Elektrik TNB Kapar Terbakar

TV SELANGOR


Sebahagian bangunan stesen janakuasa elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang terbakar kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Kebakaran di stesen janakuasa ini dipercayai bermula dari tempat penyimpanan arang batu, sebelum merebak ke beberapa bahagian lain.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau gangguan bekalan elektrik dilaporkan. Ketika kejadian, kakitangan belum memulakan tugas.

Ketua Balai Bomba Shah Alam, Ismail Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.10 pagi dan seramai 118 anggota, termasuk pegawai dan 8 jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiada apa-apa masalah pasal kita dapat kawal kebakaran pada pukul 9.30 pagi.Kita terima panggilan 7.10 pagi, jentera pertama sampai 7.34 pagi",katanya.

Ismail berkata, setakat ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kapar Energy Ventures, Sohaimi Subahir berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengenalpasti taksiran kerosakan yang berlaku kerana belum dibenarkan masuk ke kawasan kejadian.

Bagaimanapun katanya, sistem masih lagi terkawal.

“Sebab-sebab kebakaran ini masih lagi kami kaji. Kita sedang mengambil langkah-langkah tertentu mengenalpasti apakah punca kebakaran dan juga mencari langkah-langkah yang perlu untuk mengelak kebakaran berulang kembali”

“Di pihak TNB, kita ingin memaklumkan bahawa kebakaran ini tidak akan menyebabkan sebarang ketidakupayaan TNB untuk membekalkan elektrik kepada pelanggan.Kita punya sistem adalah baik dan pembekalan adalah mencukupi seperti biasa”katanya.

Semua dijemput ke 'Himpunan Bubar Dun Perak' pada 2 Ogos

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Sempena memperingati kemelut pencabulan demokrasi di Perak, Pemuda PAS Perak akan mengadakan satu program Himpunan Pemuda PAS Perak bertemakan '1 Hitam Perak-Bubarkan Dun Perak'.

Program tersebut akan diadakan pada 2 Ogos, jam 11 pagi sehingga 6 petang di Markas PAS Kawasan Bagan Serai.

Antara pimpinan yang bakal menyampaikan pidato pada sebelah siangnya adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Dato' Seri Ir Mohamed Nizar Jamaludin.

Kemudian, pada sesi malamnya, terdapat beberapa ceramah yang diadakan di zon-zon tertentu.

Di Zon 1 iaitu sekitar Larut, ceramah akan disampaikan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu; Penolong Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohammad; AJK DPPP, Adram Musa; Salman Saleh, Ustaz Nazri Din serta beberapa Exco Pemuda PAS Perak.

Manakala di Zon 2, Sungai Siput pula, barisan penceramahnya terdiri daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; Timbalan Ketua DPPP, Ustaz Azman Shapawi; Exco DPPP, Suhaizan Kaiat; Tengku Ahmad Al-Hiss serta Zairul Tambun selain beberapa Exco Pemuda PAS Perak.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi pula dijangka menyampaikan ceramah di Zon 3 yakni Lumut bersama exconya yang lain iaitu, Ustaz Kamal Shaari, Tan Sri Zawawi Hassan dan Ustaz Akmal As-Syriyun.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof bersama exconya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ustaz Mohd Nur Amin, Aminudin Lawyer dan ahli parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar di Zon 4 iaitu di Tanjung Malim selain beberapa exco pemuda PAS Perak.

Program ini adalah bertemakan pakaian hitam sebagai tanda era kegelapan pada sistem demokrasi di Perak. - mks._

Bantah ISA, Abdullah diajak ke himpunan Mansuh pada 1 Ogos

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, diseru hadir pada majlis perhimpunan membantah kezaliman ISA 1 Ogos ini, sekiranya benar mengakui akta berkenaan adalah zalim serta tidak relevan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato' Husam Musa, berharap bekas Perdana Menteri itu dapat hadir sama pada majlis perhimpunan yang akan diadakan nanti bagi menyatakan kebersamaan hasrat bagi menentang kezaliman itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat exco, di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Abdullah yang menyarankan supaya kerajaan menimbang untuk memansuhkan ISA.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, akta berkenaan sudah tidak relevan lagi untuk diterima pakai di zaman ini.

Sambungnya, sekiranya Abdullah dapat hadir pada perhimpunan itu, majlis berkenaan yang telah dirangka beberapa bulan lalu akan berjalan dengan lebih berkesan.

Katanya, penghapusan ISA sewajarnya ditentang semua pihak dan bukannya oleh perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata, kerana akta berkenaan ternyata telah menzalimi mereka yang telah ditahan di bawah akta terbabit.

Katanya, pandangan Islam termasuk hak asasi manusiapun akta zalim itu tidak lagi sesuai untuk diguna pakai dizaman ini.

"Jadi sokongan semua pihak itu merupakan perkembangan yang baik terhadap perjuangan yang telah kita perjuangkan selama ini,"ujarnya lagi.

Sambungnya, apa yang penting penderitaan yang dialami oleh mereka yang masih ditahan di bawah akta berkenaan perlu dihayati seperti 'Mat Sah' yang ditahan lebih lapan tahun lalu.

Tegasnya, sekarang sudah sampai masanya kerajaan membebaskannya termasuk tahanan lain.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua masyarakat yang perihatin di Negara ini hadir untuk menyatakan pendirian sama bagi membantah akta berkenaan pada perhimpunan yang akan diadakan pada 1 Ogos ini. - mks. _

Keluarga Teoh tetap mahu s'jaya diraja

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 4.47pm)


Walaupun telah mendengar penjelasan perdana menteri, keluarga Teoh Beng Hock tetap menuntut sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian mendiang.

"Kami tetap dengan pendirian meminta sebuah suruhanjaya yang bebas dan adil untuk menyiasat punca kematian abang saya," kata adik perempuannya Teoh Lee Lan.

Beliau menceritakan hasil pertemuan keluarganya dengan Datuk Seri Najib Razak di pejabat perdana menteri di Putrajaya yang dilaporkan selama setengah jam awal malam tadi.

Ditemui pemberita selepas inkues hari pertama di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini, kenyataan ringkas Lee Lan dalam bahasa Cina itu diterjemahkan pemimpin popular DAP Lim Kit Siang.

"Mereka telah dengar penjelasan kenapa suruhanraya diraja tidak ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Teoh, tetapi hanya melibatkan teknik siastan SPRM.

"Keluarganya berkata, mereka mempertimbangkan penjelasan perdana menteri, bagaimanapun mereka tetap dengan pendirian supaya suruhanjaya diraja mesti ditubuhkan (bagi menyiasat punca kematian Beng Hock)," kata ahli parlimen Ipoh Timur.

Pada pertemuan itu, Najib sekali lagi dilaporkan menyampaikan takziah kepada bapa mendiang Teoh Leong Hwee, emaknya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan juga tunangnya Soh Cher Wei.

Lim menggesa Najib dan kabinetnya menghormati hasrat keluarga si mati supaya inkues ditangguhkan dan diwujudkan suruhanya diraja untuk mencari punca kematian Beng Hock.

Lim berpendapat, tidak perlu dua badan bagi menyiasat kes berhubung kematian itu.

Bekas ketua pembangkang itu membandingkan kes berkenaan dengan kematian seorang ahli sains di kementerian pertahanan Britain selepas dituduh membocorkan maklumat rasmi negara kepada media pada 2003.

Tambahnya, kes kematian saintis itu disiasat sebuah inkues dan siasatan kehakiman Hutton.

Setelah tamat proses inkuiri, tambahnya, koronernya memutuskan tidak perlu lagi inkues diteruskan.

"Persoalannya sekarang, yang mana satu?" kata Lim.

Semalam, Najib dilaporkan menjelaskan kepada keluarga Teoh bahawa suruhanjaya diraja dan inkues merupakan pendekatan serentak bagi mengenal pasti punca kematian tersebut.

Najib berkata, pendekatan itu akan dapat memastikan sama ada mana-mana aspek atau tindakan yang diambil, mungkin ada kaitan atau menyebabkan kejadian itu.

Katanya, hasil penemuan siasatan itu akan dianggap sebagai input kepada suruhanjaya diraja itu.

Sementara itu, sejak jam 7 pagi, kompleks Mahkamah Shah Alam di Seksyen 5 mula dibanjiri puluhan wartawan.

Selain kehadiran pemimpin Pakatan Rakyat dan saksi-saksi inkues, tiada kelibat penyokong Pakatan Rakyat kelihatan.

Cuma kelihatan seorang lelaki Cina memegang poster gambar Beng Hock di lobi kompleks tersebut.

Kehadiran seramai 77 orang saksi menyebabkan bilik menunggu untuk saksi, berdekatan tempat prosiding berjalan, sesak sehingga menyebabkan sebahagian mereka terpaksa menunggu di bangku luarnya.

Suasana di tempat tersebut sesak apabila jurugambar dan juruvideo berasak-asak bagi mendapatkan gambar mereka dalam posisi yang terbaik.