Jumaat, 29 Mei 2009

Wanita mangsa ragut patah gigi

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Seorang wanita patah dua batang giginya setelah menjadi mangsa ragut ketika sedang berjalan di Gong Badak di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 11 pagi tadi, Mazlina Nawang, 45, yang bekerja di kedai dobi di Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu turut mengalami lebam di mulut dan bahagian mata kanannya.

Menurut anaknya, Nur Aqidah Nasffati, 23, beliau mendapat tahu kejadian yang menimpa ibunya itu setelah dihubungi oleh seorang lelaki menggunakan telefon ibunya.

"Lelaki itu berkata ibu saya diragut, bagaimanapun peragut gagal melarikan beg tangan ibu yang mengandungi wang tunai lebih kurang RM600 serta telefon bimbit," katanya.

Mazlina dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menjalani pemeriksaan kerana dipercayai turut mengalami gegaran otak.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Terengganu DSP Harry Chung Chiu Mok mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan.

Tiada ulasan: